02 May, 2012

Ucapan Pengetua SMKSMAB sempena MACA 2012


TEKS UCAPAN PENGETUA 
MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG (MACA)
SMK SYED MOHAMED AL-BUKHARY 2012

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualikum Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera dan salam1Malaysia.
Yang Berusaha, TUAN MANSOR BIN LAT, Pengarah Pelajaran Negeri Kedah Darul Aman.
Yang Berusaha, ENCIK ZAKIMI B. ABDULLAH, Wakil Pegawai Pelajaran Daerah Kota Setar.
Yang Berbahagia, PN. HAJAH SHARIFAH FATIMAH BT. SYED NOR, wakil keluarga allahyarham Tn. Hj. Syed Mohamed Al-Bukhary.
Yang Dihormati , EN. MOHD KAMAL BIN MOHD AKHIR, Yang Dipertua PIBG SMK Syed Mohamed Al-Bukhary
Dif-dif Kehormat,
Pengetua-pengetua dan Guru Besar-Guru Besar serta wakil,
AJK PIBG,  guru-guru, para ibu bapa dan waris,  seterusnya para pelajar yang dikasihi sekalian.
     Syukur alhamdulillah  kerana dengan taufiq dan hidayah-Nya dapat kita semua berkumpul di sini bagi menyempurnakan Majlis  Anugerah Cemerlang Al-Bukhary (MACA) 2012 pada kali ini. Saya dan seluruh warga sekolah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada En. Mansor bin Lat, Tuan Pengarah Pelajaran Negeri Kedah Darul Aman  kerana sudi hadir bagi merasmikan Majlis  Anugerah Cemerlang Al-Bukhary (MACA)  dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pelajar terpilih. Saya juga mengambil kesempatan ini mengalu-alukan kehadiran Pn. Hajah Sharifah Fatimah serta tuan-tuan dan puan-puan ke majlis ini. Sesungguhnya, kehadiran tuan-tuan dan puan-puan sekalian amat bermakna kepada semua warga sekolah ini. Keprihatinan tuan-tuan dan puan-puan sekalian pastinya akan menguatkan lagi semangat serta keazaman kami untuk menyemarakkan lagi pencapaian dan kejayaan sekolah ini.
Hadirin dan hadirat sekalian,
             Sesungguhnya pertemuan kita di Dewan Al-Farabi pada pagi ini amat besar ertinya kepada kami warga SMKSMAB. Kita bukan sahaja akan meraikan anak-anak yang cemerlang dalam pelbagai aspek, tetapi kita juga dapat menyaksikan pelbagai kebolehan anak-anak kita melalui persembahan dan pengurusan majlis. Paling manis hari ini kita dapat bersama Tuan Pengarah yang walaupun pejabat beliau sepelaungan sahaja dari sekolah, namun kehadiran beliau adalah sebagai manifestasi keutamaan yang beliau berikan di celah-celah kekalutan tugas harian.
            Tambah manis lagi, hari ini seluruh warga Al-Bukhary berpeluang sekali lagi untuk bersama-sama ahli keluarga allahyarham Tn. Hj. Syed Mohamed Al-Bukhary sendiri. Untuk itu setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kami rakamkan kepada Yang Berbahagia Pn. HajahSharifah Fatimah bt. Syed Nor yang sentiasa sudi hadir untuk bersama-sama warga Al-Bukhary walaupun pada awalnya Yang Berbahagia Puan Sri Sharifah Zara bt. Dato’ Syed Kechik iaitu isteri Tan Sri Syed Mokhtar dan bonda beliau Hajah Sofiah sendiri berhasrat untuk turut serta  bagi menyerikan majlis ini.
Para hadirin yang diberkati Allah sekalian,
            Dalam kesempatan ini juga, saya bagi pihak seluruh warga Al-Bukhary ingin mengucapkan terima kasih kepada BTPN kerana membenarkan Majlis Anugerah Cemerlang  Al-Bukhary (MACA) 2012 kali ini dijalankan di dewan yang permai ini bersesuaian dengan semangat pemuafakatan JPN, BTPN dan sekolah-sekolah dalam kompleks pendidikan. Memang menjadi impian saya semenjak hadir di sini sebagai Pengetua untuk mengadakan majlis sebegini yang dihadiri oleh seberapa ramai waris pelajar. Namun disebabkan ruang yang masih terhad, kita hanya mampu menjemput sebahagian waris dan jemputan serta mengisi  segenap ruang dewan ini dengan pelajar tertentu sahaja. Disebabkan sambutan para waris yang amat menggalakkan nampaknya, pihak sekolah perlu mengubah venue pada tahun hadapan ke dewan yang lebih besar.
Hadirin yang dihormati sekalian,
            Tema MACA pada tahun ini ialah  ” Al-Bukhary Selamanya” atau ”Forever Bukharians ”. Tema ini dipilih bagi menanamkan rasa cinta dan patriotisme seluruh warga sekolah terhadap organisasi ini. Bermula daripada keterbilangan allahyarham Tn. Hj. Syed Mohamed Al-Bukhary sendiri pada masa hayatnya, maka sewajarnya guru-guru, staf, waris dan anak-anak yang pernah bernaung, berurusan, dan dewasa di sini mengekalkan ciri-ciri keterbilangan tersebut. Hal ini dapat diterjemahkan melalui pengurusan yang cekap dan telus, PDP yang efektif dan berkesan, aktiviti HEM dan kokurikulum yang kreatif dan efisien, seterusnya membuahkan hasil seperti yang tercatat dalam buku program hari ini. Tahniah diucapkan kepada anak-anak Al-Bukhary yang berjaya ditampilkan sebelum ini, hari ini dan juga untuk masa-masa akan datang. Sesungguhnya anda semua ialah khalayak kami. Mendidik, membimbing, dan melayani segala kerenah dan ’feel’ anak-anak Al-Bukhary adalah tanggungjawab kami para guru. Namun sebelum itu tidak lupa saya ucapkan setinggi-tinggitahniah dan terima kasih kepada para waris yang begitu ikhlas memberi kerjasama dan kepercayaan kepada kami untuk melaksanakan tugas sehingga mencapai kejayaan yang melebihi sasaran antaranya:
i)          Memastikan anak-anak tiba di sekolah sebelum 7.30 pagi dan peratus purata kehadiran pelajar setiap hari melebihi 96%.
ii)       Memastikan anak-anak memakai uniform lengkap setiap hari Selasa dan mengambil mereka tepat pada masanya selepas aktiviti kokurikulum dan kelas tambahan.
iii)     Menyelesaikan segala urusan dan sumbangan PIBG dengan rekod kutipan melebihi 95%  dan kehadiran mesyuarat PIBG serta SISWA     (Sesi Interaksi Bersama Waris) sentiasa melebihi 85%.
Hadirin yang dimuliakan,
           MACA kali ini bertambah meriah dan bermakna kerana selain kualiti peratus dan gred purata (GP) PMR dan SPM yang jauh lebih baik pada tahun ini, pihak pengurusan  berjaya menampilkan beberapa kategori anugerah tambahan bagi mengiktiraf pencapaian warga Al-Bukhary. Antaranya:
i)        Anugerah Kembara Al-Bukhary disampaikan kepada warga Al-Bukhary yang telah berkhidmat di sekolah ini lebih dari 30 tahun.
ii)       Anugerah Kehadiran Penuh disampaikan kepada pelajar-pelajar yang hadir 100% bermula bulan Januari 2011 hingga Mac 2012.
iii)     Anugerah Bakti Al-Bukhary disampaikan kepada warga SMKSMAB yang telah menunjukkan kewibawaan dan kepelbagaian  serta mencapai prestasi yang membanggakan dalam tugas-tugas khas yang diberikan.
iv)     Anugerah Lestari Murni Al-Bukhary disampaikan kepada pelajar serba boleh (all-rounder) yang mengekalkan prestasi yang membanggakan dalam pelbagai bidang.
v)      Anugerah Lestari Budi Al-Bukhary disampaikan kepada pelajar yang telah menunjukkan kerjasama yang padu dalam setiap aktiviti sekolah.
vi)     Anugerah Tn. Hj. Baharudin b. Abdul Majid disampaikan kepada pelajar asrama yang menunjukkan prestasi yang membanggakan dalam pelbagai bidang.
Paling manis buat pertama kalinya kita juga menyampaikan Anugerah Pencapaian Khas Al-Bukhary kepadaPIBG SMKSMAB kerana telah berjaya menjadi Johan Pengurusan PIBG Cemerlang Peringkat Daerah Kota Setar dan Negeri Kedah Darul Aman bagi kategori Sekolah Menengah Bandar dan seterusnya dipilih mewakili negeri Kedah Darul Aman ke peringkat kebangsaan.Tentunya kejayaan sebegini sukar untuk diulangi. Lebih istimewa AnugerahPermata Al-Bukhary juga disampaikan khusus bagi meraikan bekas pelajar SMKSMAB yang berjaya mengharumkan/menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa. Tahun ini Anugerah Permata Al-Bukhary disampaikan kepada ’bukharians’ yang telah menjulang nama negeri dan negara dalam arena bola sepak. Pada tahun-tahun akan datang, mungkin anugerah akan disampaikan pula kepada kumpulan usahawan, pengurusan tertinggi, pemimpin dan sebagainya. Sehubungan itu, saya mengambil kesempatan di sini merakamkan ucapan terima kasih daun keladi kepada semua penaja/penyumbang anugerah.
Khas kepada keluarga allahyarham Tn. Hj. Syed Mohamed Al-Bukhary, Saya mewakili seluruh warga SMK Syed Mohamed Al-Bukhary ingin menyatakan penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga daripada pihak kami atas segala sumbangan kewangan yang telah diberikan dalam membantu pembangunan dan penambahbaikan prasarana sekolah pada tahun ini . Antaranya, sumbangan sebanyak RM 27,405.70  untuk menaik taraf Surau Al-Bukhary, RM 10,000.00  sebagai bantuan persekolahan kepada pelajar-pelajar miskin dan RM 1300.00 untuk MACA 2012 ini.
Buat anak-anak yang berjaya meraih anugerah pada hari ini pula,
         Tahniah dan syabas saya ucapkan. Namun jangan dilupa, kejayaan hari ini bukanlah sesuatu yang mutlak. Masih banyak lagi rintangan, dugaan dan cabaran yang bakal ditempuhi pada masa hadapan. Jangan lupa, hormatilah ibu bapa dan guru-guru.
Kepada pihak PIBG,
           Saranan saya agar pihak PIBG akan sentiasa bersedia bergerak sederap seperti pernyataan misi kita dan slogan ”Waris dan Guru Berpisah Tiada”.
  Akhir sekali, untuk semua rakan-rakan guru SMK Syed Mohamed Al-Bukhary, Teruskanlah curahan kasih sayang kepada anak didik kita. Selain tugas hakiki guru yang menyampaikan ilmu dan sebagai fasilitator ketika dalam bilik darjah, jadilah jua;
akauntan yang cekap  ketika mengurus sumbangan waris,
jururawat dan doktor yang jitu ketika murid mengadu sakit,
pengawal keselamatan yang padu ketika menunggu murid tiba dan pulang,
siak / imam yang tertib/tartil ketika masuk waktu solat dan bacaan Yasin,
pereka hiasan dalaman yang berseni ketika menceriakan kelas,
arkitek/tukang kayu yang tepat ketika murid mengadu kerusi atau meja patah,
dukun dan bomoh yang sukarela ketika murid murung/ histeria,
pegawai penyiasat yang efisyen ketika ada kecurian dan kehilangan dalam kalangan murid,
pemandu ambulans berhemah jika murid sakit/dalam kecemasan,
pakar motivasi efektif jika murid hilang arah tujuan,
majistret/hakim yang adil jika ada pertelingkahan dalam kalangan pelajar,
pengurus pentas ’glamour’ jika murid menyertai pertandingan tunjuk bakat,
Pegawai Kebajikan Masyarakat yang prihatin ketika murid dalam kesempitan dan kesusahan dan sebagainya.
            Semuanya adalah lambang kita semua menjulang tuntutan  ”Guru Sayang Murid” seperti termaktub dalam program Sekolah Penyayang. Begitulah kasihnya kami para guru terhadap murid khususnya anak-anak Al-Bukhary, sehingga sanggup ”membakardiri” agar mereka diterangi. Semoga segala usaha kita diredhai dan beroleh keberkatan.
       Sebelum mengundur diri, sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berusaha Tuan Mansor Lat, Pengarah Pelajaran Negeri Kedah Darul Aman kerana sudi meluangkan masa untuk menghadiri dan merasmikan  Majlis Anugerah Cemerlang Al-Bukhary (MACA) 2012 serta menyampaikan anugerah kepada semua penerima hari ini. Kepada Yang Berusaha Encik Zakimi, wakil Pegawai Pelajaran Daerah Kota Setar dan Pn. Hajah Sharifah Fatimah bt. Syed Nor juga diucapkan terima kasih kerana sudi hadir menyerikan majlis kami. Kepada  En. Mohd Kamal bin Mohd Akhir,Yang Dipertua PIBG dan semua ahli jawatankuasa PIBG saya merakamkan jutaan terima kasih kerana tidak jemu-jemu memberi sokongan kepada pihak sekolah. Kepada para hadirin sekalian, tidak lupa juga ucapan terima kasih kerana sudi meluangkan masa.
       Akhir kata, andai ada tersalah bicara, tersasul bahasa, saya memohon ampun dan maaf atas segala kekurangan kami. Bagi mengakhiri ucapan ini saya ingin mengulangi empat rangkap pantun yang pernah saya ucapkan dalam majlis seumpama ini pada tahun-tahun lalu:
Anak udang udanglah juga,
Manakan sama anak tenggiri;
Anakmu tuan anakku jua,
Kudidik bagaikan anak sendiri.
            Dahulu sawah kini belukar,
Tempat bujuk beranak pinak;
Dididik susah diajar sukar,
Harimau dipujuk lagikan jinak.
           Di kiri jalan di kanan pun jalan,
           Di tengah-tengah pohon meranti;
           Diiri jangan dipuji pun jangan,
           Sama-sama membina Al-Bukhary.
           Anakmu tuan anakku jua,
           Berkembang bakat di al-Bukhary;
           Kemenjadian terserlah permata negara,
           Untukmu ayah, ibu dan pertiwi.

Sekian, terima kasih. Wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.




No comments:

Post a Comment

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails