23 December, 2010

Sejarah Anjung Al-Bukhary

Idea untuk membina ANJUNG AL~BUKHARY telah diilhamkan oleh pengetua SMK Syed Mohamed Al-Bukhary (SMKSMAB) yang ke-13, iaitu Pn. Hjh. Dewi Rosnah binti Radin Suhadi. Sebaik sahaja menerima memo pertukaran mulai 16 Januari 2010, beliau telah cuba untuk membayangkan apakah mercu tanda bagi sekolah ini. Apabila  mula bertugas secara rasmi pada 2 Februari 2010, beliau melihat pelajar-pelajar terpaksa berlari mengharungi hujan ketika dihantar dan diambil oleh para waris yang menunggu di luar pagar sekolah. Kenderaan mereka tidak boleh masuk kerana laman sekolah yang sempit. Bimbang akan keselamatan pelajar-pelajar, pengetua yang lebih mesra dipanggil “madam” lantas membawa hasrat ini ke meja perundingan bersama guru-guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kedah.
Disebabkan kegawatan, pihak JPN tidak dapat menyalurkan peruntukan kewangan tetapi bersedia memberi kerjasama dan sokongan teknikal. PIBG pula bersetuju untuk mencari dana melalui program “A Morning In Al~Bukhary” (AMONIA) yang telah diadakan pada 15 Mei 2010. Program yang bermula pada jam 7.30 pagi diisi dengan senamrobik, gotong royong kebersihan, jualan makanan dan cabutan bertuah sungguh meriah sehingga jualan kupon terpaksa diulang cetak. Kutipan kasar keseluruhan berjumlah RM 12746.00, agak jauh dari sasaran mengikut pelan asal yang telah dirancang iaitu sebanyak RM60,000.00 (termasuk dua balai menunggu di luar pagar sekolah).  Cikgu Maimunah bt Abdul Majid  berjaya menghubungi cucu Allahyarham Syed Mohamed Al-Bukhary, Pn. Hjh. Sharifah Fatimah bt. Syed Nor. Beliau yang  mewakili keluarga allahyarham amat prihatin dengan keperluan sekolah  tampil membantu. Akhirnya sejumlah RM 15200.00 telah berjaya dikumpul melalui sumbangan dari  pelbagai pihak penaja dan individu . Akhirnya, mesyuarat bersama PIBG bersetuju untuk membina anjung ini dengan rekabentuk yang diubahsuai mengikut bajet RM26 ribu. Berdasarkan beberapa sebutharga yang diterima, Syarikat Prisma telah dipilih untuk melaksanakan tugas ini dalam masa satu bulan. 


Warga sekolah begitu teruja. Namun banyak dugaan yang tiba. Tiga batang pokok “meranti laut” yang rimbun perlu dikorbankan. Dengan  penuh  rasa rendah hati “madam” mewakilkan PK HEM, Cikgu Azizan Saud untuk merayu kepada Majlis Bandaran Alor Setar (MBAS). Syukur alhamdulillah, Cikgu Azizan pulang dengan senyuman meleret kerana pihak MBAS memberi kebenaran bertulis tanpa mengenakan  sebarang bayaran gantirugi; satu amaun tiga angka yang memang tiada dalam bajet. Pada hari pokok itu ditebang, sebatang dahan telah menimpa kabel elektrik menyebabkan sebahagian kawasan kompleks pendidikan dan kampung sekitarnya tiada bekalan selama beberapa jam. Dalam keadaan kritikal itu sekali lagi “madam” menghantar wakil untuk merayu kepada pihak TNB. Niat yang murni sentiasa direstui Allah. Pihak TNB bukan sahaja datang memulihkan bekalan elektrik malah menyediakan “fork lift” dan tenaga kerja untuk memotong semua dahan yang melepasi kabel elektrik. Disebabkan gangguan ini, kerja-kerja  menebang dan mengangkut berlarutan selama tiga hari tetapi pihak kontraktor tidak mengambil sebarang kos tambahan. Satu lagi amaun tiga angka di luar jangkaan dapat diselamatkan. Terima kasih Mr. Alai yang demam  selepas itu akibat gigitan sekawan kerengga yang terganggu sarangnya.



Kerja-kerja pembinaan ANJUNG AL~BUKHARY dan LALUAN AL~BUKHARY berjalan mengikut jadual walau pun bulan puasa. Cikgu Aziz ditugaskan untuk memantau progres. Satu sepanduk diuruskan oleh PK Kokurikulum, Cikgu Fauziah Ahmad bertulis, “ANJUNG AL~BUKHARY: diusahakan bersama PIBG SMKSMAB..pelajar didahulukan, keselamatan diutamakan” menjadi tarikan semua yang lalu lalang. Ada juga yang terpanggil untuk terus menghulurkan bantuan tambahan.


Sebaik sahaja sesi sekolah bermula selepas cuti Hari Raya ia terus digunakan. Kebetulan pula pagi itu hujan lebat. Anjung tersebut boleh memuatkan tiga hingga lima kenderaan serentak bergantung kepada cara kenderaan berhenti menurunkan pelajar. Ucapan “madam” pada perhimpunan pagi itu berkisar tentang “ownership” mengajak seluruh warga Al~Bukhary menghargai kewujudan ANJUNG AL~BUKHARY yang menjadi mercu tanda sekolah. Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Tn. Hj. Asmee bin Tajuddin yang datang menjengah semasa perhimpunan dalam hujan pagi itu turut memuji kesungguhan dan kejayaan   warga sekolah membina anjung tersebut dengan usaha sendiri. 
Madam Dewi Rosnah mengiringi Pn Hajah Sharifah pada hari perasmian Anjung Al~Bukhary.

Pada 10 November 2010, ANJUNG AL~BUKHARY telah dirasmikan oleh Pn. Hjh. Sharifah Fatimah bt. Syed Nor, cucu kepada Allahyarham Syed Mohamed Al-Bukhary.Kini pelajar Al~Bukhary tidak basah kuyup lagi. Kejayaan dan "modus operandi"  ini digunakan sekali lagi untuk membina gelanggang serbaguna ARENA AL~BUKHARY sebagai projek 2011.

Related Posts with Thumbnails