27 August, 2012

KHATAM AL-QURAN dan MAJLIS PENUTUPAN IHYA RAMADHAN

Pada 15 Ogos 2012, bersamaan hari Rabu iaitu hari terakhir sebelum sekolah mula bercuti seminggu,  berlangsunglah Majlis Penutupan Ihya Ramadhan dan Khatam Al-Quran pada 2012. Majlis itu dimulakan pada jam 9 pagi dan berakhir pada jam 11 pagi.

Majlis ini disempurnakan oleh Puan Hajah Sharipah Fatimah iaitu waris kepada pengasas SMKSMAB. Para waris dan AJK PIBG juga dijemput untuk memeriahkan lagi sambutan pada kali ini.
Program Majlis Penutupan Ihya Tamadhan dan Khatam Al-Quran 2012
Para peserta Program Bertadarus Al-Quran yang berlangsung pada sepanjang bulan Ramadhan disediakan cenderahati berupa senaskah Al-Quran, sehelai sejadah serta buah kurma sebagai tandan ingatan ikhlas dari pihak sekolah.



Ketibaan Puan Hajah Sharipah Fatimah disambut dengan iringan bunga manggar serta paluan kompang. Beliau turut diiringi oleh Tuan Pengetua SMK Syed Mohamed Al-Bukhary, Puah hajah Dewi Rosnah Bt Radin Suhadi serta Guru-guru Kanan dan AJK PIBG.
Ustaz Khairul Bazli sebagai wakil kumpulan guru lelaki yang menyertai aktiviti bertadarus menerima cenderahati daripada Puan Hajah Sharifah Fatimah

Ustaz Mohamed Zaki, Ustaz Khairul Bazli dan Cikgu Shahidan mengiringi Tuan Pengetua, Puan Hajah Sharipah serta para pelajar dalam majlis Khatam Al-Quran.

Pelajar yang menyertai aktiviti bertadarus menerima cenderahati daripada Puan Hajah Sharifah Fatimah.

Guru Penolong Kanan HEM, En Azizan  Bin Saud bersama para waris yang turut hadir memeriahkan program.
 
Kumpulan nasyid sekolah  mengakhiri majlis dengan persembahan nashid yang mantap sekaligus  memukau para hadirin yang hadir.
Majlis berlangsung dengan meriah, para pelajar yang layak menerima sumbangan telah diberikan pelbagai bantuan berupa duit raya dan juga bantuan zakat. Pihak sekolah juga turut meraikan pekerja-pekerja am sebagai penerima sumbangan. Alhamdulillah rezeki yang berkat dapat diagihkan buat sesama insan yang memerlukan. Semoga objektif memakmurkan Ramadhan tahun ini berjaya dikecapi dengan adanya majlis seperti ini hinggalah bertemu kembali Ramadhan pada tahun depan. Insyaallah


12 August, 2012

SEMARAK MERDEKA DI BUMI BERTUAH

Sinar pagi hari Isnin bersamaan 6 hb Ogos 2012, telah berlangsunglah Majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah. Semua pelajar dan guru-guru berkumpul di Anjung Mutiara. Setelah doa dibacakan oleh wakil pelajar, majlis telah dipersembahkan dengan batu persembahan pentomin berunsurkan patriotik yang dibimbing oleh En Ezzat bin Omar.
Dalam masa yang sama Pasukan Tambor sekolah telah mengiringi perarakan bendera panjang ke pentas. Selepas itu, semua hadirin tersentuh jiwa serta semangat dengan deklamasi  sajak oleh Cikgu Ezzat yang diiringi dengan tiupan flute oleh Cikgu Ezhar. Gabungan persembahan yang mantap ini mampu menyentuh dan menyuntik semangat patriotik semua warga sekolah. Sememangnya terbaik.

Jalur Gemilang diarak ke pentas diiringi pasukan Tambor sekolah.

Upacara Perasmian Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah telah disempurnakan oleh Penolong Kanan , Pn Jamaliah Bt Abdul Fatah dan semua Penolong-penolong  Kanan serta diiringi juga oleh Guru-guru Kanan.


6 pelajar berpakaian kebangsaan lengkap dengan memakai topeng berwajahkan enam Perdana Menteri Malaysia, melaungkan laungan keramat "Merdeka" sebanyak tujuh kali sebagai gimik sejarah kemerdekaan negara dari 1957
hingga kini.


Nyanyian beramai-ramai lagu patriotik oleh semua warga sekolah, diketuai oleh pihak pengurusan sekolah serta semua  guru dengan penuh bersemangat menyanyi sambil mengibarkan bendera.
Semarak bergema nyanyian pelajar di bawah pentas sambil mengibar jalur gemilang dan bendera negeri Kedah.


Dengan perasmian Bulan Kemerdekaan  ini, bermulalah pelbagai aktiviti dan penyertaan pelajar dalam menjayakan hari-hari istimewa negara yang kita cintai ini. Semarak merdeka di bumi bertuah!. Selamat Menyambut Hari kemerdekaan Negara kali ke 55. Merdeka, Merdeka, Merdeka.

02 August, 2012

AHLAN YA SAHLAN YA RAMADHAN 1433 HIJRAH

Ramadhan datang lagi,..alhamdulillah warga SMK Syed Mohamed Al-Bukhary sememangnya bersedia bagi mengisi bulan kemuliaan Islam ini dengan pelbagai aktiviti penghayatan. Panitia Pendidikan Islam telah mengambil inisiatif bagi menjayakan program Ihya Ramadhan 1433 hijrah kali ini dengan menyusun pelbagai aktiviti samada buat guru atau pelajar.

Tuan Pengetua SMK Syed Mohamed Al-Bukhary, Puan Hajah Dewi Rosnah Bt Radin Suhadi  semasa merasmikan pelancaran Ihya Ramadhan 1433 Hijrah.
Majlis pelancaran Ihya Ramadhan dijalankan dengan penuh meriah pada 16 Julai lalu. Selari dengan itu setiap saat Ramadhan yang berlalu dimanfaatkan sebaiknya oleh semua warga sekolah. Guru-guru lelaki dan wanita menjayakan kumpulan-kumpulan kecil untuk bertadarrus. Pada waktu rehat pula, para pelajar bergegas ke surau untuk bersolat sunat Dhuha serta bertadarus. Selain itu, pada waktu rehat juga persekitaran sekolah dialunkan oleh gema zikir memuji Allah. Bacaan yassin setiap pagi pula diteruskan dengan penuh bersemangat. Semoga semua amal kebaikan ini akan menyemarakkan rasa takwa dalam diri setiap warga Al-Bukhary. Insyaallah, sekolah yang kita semua sayangi ini akan dilimpahi rahmat dah hidayah Allah. Amin.

Related Posts with Thumbnails