20 February, 2012

Perginya sebutir mutiara....Cikgu Nordin Bin Pawanchik

Pada tanggal 11 Februari 2012 yang lalu, SMKSMAB dikejutkan dengan suatu berita sedih dan membuatkan suasana pagi hari Sabtu diselubungi rasa terharu semua warga sekolah. 
Cikgu Nordin B Pawanchik telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 3.30 pagi, semasa beliau menerima rawatan di PUTRA MEDICAL CENTRE. Arwah telah berkhidmat selama 27 tahun di SMKSMAB dan merupakan antara guru paling lama berkhidmat di sekolah ini. 



Semasa hayatnya arwah cikgu Nordin merupakan seorang guru pakar dalam subjek sains. Beliau merupakan salah seorang penggubal soalan sains peringkat PMR. Kepakarannya banyak menyumbang kepada kejayaan para pelajar dalam akademik. Tidak terkira bilangan pelajar  SMKSMAB yang telah  menerima didikan beliau, dan mengenali arwah sebagai guru yang suka bergurau dan kelakar.

Arwah cikgu Nordin bersama rakan setugas serta pelajar di sekitar tahun 1992. Kelihatan juga Penolong Kanan SMKSMAB, Puan Jamaliah Bt Abdul Fatah.

Cikgu Shahidan yang merupakan antara tenaga pengajar yang seangkatan dengan cikgu Nordin serta Ustaz Khairul Bazli dan para pelajar sempat menghadiahkan bacaan yassin sebaik sahaja berita kematian arwah dimaklumkan.

Arwah cikgu Nordin bersama barisan AJK PIBG SMKSMAB.

Kami warga Bukhary mengucapkan takziah buat ahli keluarga allahyarham serta mendoakan agar rohnya ditempatkan beserta para solihin. Sesungguhnya budi jasa beliau akan terus dikenang, namanya kekal harum sebagai pejuang bangsa dan agama. SMKSMAB kini kehilangan sebutir mutiara, apalagi yang boleh diucapkan selain ucapan terima kasih dan doa setulus hati.

"Seorang guru yang menyampaikan ilmu yang bermanfaat, menjadikan pahala yang diterimanya akan terus-terusan mengalir malah dilipat gandakan sekiranya anak muridnya mengamalkan dan menyebarkan ilmu tersebut kepada mereka yang lain dan pahala itu tetap akan sampai kepadanya walaupun telah meninggal dunia berabad lamanya."



Related Posts with Thumbnails