28 April, 2011

Karnival Kesenian dan Kebudayaan Kota Setar.- Kombo Al-Bukhary menang lagi.

Khamis 28 April 2011-  Kombo al-Bukhary sekali lagi menunjukkan taringnya setelah berjaya menjuarai Pertandingan Kesenian dan Kebudayaan Peringkat Kota Setar kategori kugiran. Kejayaan yang sama telah diraih pada tahun 2010. Ini bermakna Kombo Al-Bukhary telah 2 tahun berturut-turut bergelar juara. Shabas.
Kategori Kugiran juga memperlihatkan SMK Sutanah Bahiyah menjadi Naib Johan manakala Kolej Sultan Abdul Hamid sebagai pemenang ketiga.

Juara lagi,..pasukan Kombo Al-Bukhary unggul menjuarai kategori Kugiran

Antara aksi yang menarik ditunjukkan oleh Kombo Al-Bukhary.

Para guru dan jurulatih berkongsi kegembiraan setelah berkorban masa dan tenaga melatih pasukan sekolah. Kelihatan Puan Azizahwati dan Pn Norazaina  yang bangga dengan kejayaan ini. tahniah.
Dalam kategori Nayanyian Solo, peserta SMKSMAB berjaya memberikan persembahan menarik walaupun tidak berjaya mendapat tempat pada kali ini. Cuba lagi tahun hadapan.

Penyanyi kategori solo dalam pertandingan Nyanyian lagu patriotik, Salsabela tampil menarik dengan pakaian yang direka beradaptasikan Jalur Gemilang.


22 April, 2011

Tahniah Pasukan Bola Baling SMKSMAB.

Pasukan Bola Baling sekolah berjaya meraih tempat ketiga dalam kejohanan Bola Baling Peringkat Daerah Kota Setar. Kejayaan ini telah menamatkan kemarau sejak 4 tahun lalu di mana kali terakhir kejayaan yang sama dikecapi pada tahun 2007. Tahniah diucapkan.

Kelihatan Pasukan Bola Baling SMKSMAB meraikan kejayaan mereka. Turut bersama berkongsi kegembiraan ini adalah Penolong Kanan Kokurikulum SMKSMAB, Puan Pauziah Bt Ahmad, Pengurus Pasukan Cikgu Sobri B Yusof dan penyokong kuat aktiviti sukan saudara Azuan. Tahniah.

Pasukan Bola baling SMKSMAB berjaya melepasi pusingan suku akhir dengan mengalahkan Pasukan kolej Abdul Hamid 3 -1 tetapi kalah di peringkat separuh akhir di tangan SMK Kubang Rotan 1 - 3. Biarpun hanya di tempat ketiga, ini tidak bermakna pasukan sekolah kita kalah. Insyaallah jika berusaha bersungguh-sungguh tidak mustahil impian untuk menjadi Juara pada tahun hadapan akan menjadi kenyataan. Cuba lagi ye..Sekalung tahniah.

MACA 2011... Luahan hati seorang "madam principal", guru dan....ibu...

"...makkkkkkk!!!!!!! ini Tanggang mak!!!benar ini Tanggang anak mak!! makkkkkkkkkkkkkkk!!!!!!!!!!!!!!!!!!!"

Laungan dan raungan penuh emosi watak si Tanggang yang dipamerkan oleh Syaqieren  begitu memilukan sehingga ramai para hadirin wanita menitiskan air mata manakala hadirin lelaki terkedu hiba...

Sebenarnya, MACA 2011 dengan tema "untukmu ayah dan ibu" telah memberi ruang untuk saya dan warga Al~Bukhary meluahkan perasan kami melalui ucapan, persembahan dan penganjuran secara keseluruhan. Bermula dengan acara sambutan oleh pesilat, perarakan , pemeriksaan barisan kehormat, gamelan, pengacaraan, penyampaian anugerah, persembahan dan penyajian, hampir semuanya dijayakan oleh pelajar dengan bimbingan para guru khusus untuk meraikan para ibu bapa. Sesi ucapan pengetua telah saya abadikan untuk meluahkan perasaan, kepercayaan, komitmen dan ketulusan hati saya untuk KEMENJADIAN anak-anak Al~Bukhary manakala sketsa si Tanggang dan lagu-lagu yang didendangkan semuanya untuk kita sama-sama hayati dan renungi tanggung jawab serta amanah yang diberikan kepada kita sebagai ayah dan ibu, juga untuk ayah dan ibu kita semua.

Hayatilah kandungan teks ucapan saya..luahan hati seorang "madam principal", guru dan...ibu...

Madam Dewi Rosnah Binti raden Suhadi.
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamulaikumwarahmatullahi wabarokatuh
Yang Berbahagia, Tn Hj. Mustafa b. Abd. Hamid,
Ketua Sektor Jaminan Kualiti.
Jabatan Pelajaran Negeri Kedah Darul Aman

Yang Berusaha En. Amry bin Abd Latib
Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kota Setar,
Unit Pengurusan Sekolah

Yang dihormati Pn. Hjh Sharifah Fatimah bt. Syed Nor mewakili keluarga Allahyarham Syed Mohamed Al-Bukhary

Yang dihormati En. Zainal Annuar b. Mohd Zain,
Naib Yang diPertua PIBG SMKSMAB

Para jemputan Khas, Mantan Pengetua dan Mantan Penolong Kanan SMK Syed Mohamed Al-Bukhary,

Pengetua-Pengetua dan Guru Besar-Guru Besar,
Dif-Dif Jemputan, Para Waris, Guru-Guru dan pelajar-pelajar sekalian.

Terlebih dahulu saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan rahmat-Nya kita berkesempatan hadir pada pagi ini ke majlis yang telah dirancang. Keutamaan, keperihatinan dan pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan untuk meluangkan masa amatlah kami hargai dan diucapkan jutaan terima kasih.

Hadirin yang dihormati sekalian,
Seperti yang saya nyatakan dalam ucapan saya dalam majlis yang sama tahun lepas, sebenarnya kami amat berhasrat untuk menjemput semua ibu bapa termasuklah para waris yang anak-anaknya terlibat dalam persembahan pada hari ini. Tambahan pula senarai penerima anugerah tahun ini semakin bertambah seperti yang tercatat dalam buku program. Namun begitu, disebabkan ruang dewan yang amat terhad dan kurang selesa, maka hasrat ini terpaksa sekali lagi ditangguhkan.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Majlis Anugerah Cemerlang Al-Bukhary (MACA 2011) pada tahun ini dirancang bertemakan “Untukmu ayah dan ibu”. Kami memilih tema ini sebagai menghargai jasa dan sumbangan para ibu bapa dalam memastikan kejayaan anak-anak masing-masing. Kegigihan para ibu bapa mendidik dan mentarbiahkan anak-anak di rumah menjadikan tugasan kami sebagai guru lebih lancar. Saya juga ingin meluahkan rasa syukur dan terharu atas kepercayaan penuh yang telah diberikan oleh para ibu bapa sekalian terhadap kami. Sepanjang 443 hari saya menerajui sekolah ini, tiada sebarang insiden yang melibatkan pertelingkahan atau konflik di antara pihak sekolah dengan para ibu bapa. Beberapa masalah memang pernah timbul tetapi dapat diselesaikan secara musywarah dan permuafakatan. Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kepada semua ayah dan ibu para pelajar Al-Bukhary. Saya mengharapkan agar kepercayaan dan keakraban kita akan berterusan. Saya juga berhasrat untuk terus berbakti
bersama-sama rakan guru dan staf yang lain demi kecemerlangan anak-anak yang diamanahkan oleh para ibu bapa kepada kami.

Hadirin yang dimuliakan,
Mengimbas kembali komitmen kami tahun lepas, kita telah membuat perancangan dan sasaran headcount , iaitu 89.4% PMR dengan GPS 2.28 dan 74.7 % SPM dengan GPS 4.60. Sebagai motivasi awal mulai tahun lepas juga kita bersetuju menawarkan pelbagai anugerah berserta hadiah iringan dan wang tunai sebagai insentif berdasarkan kriteria pencapaian seperti yang tercatat dalam buku program yang telah diedarkan. Contohnya, ANUGERAH KARISMA AL~BUKHARY, ANUGERAH MUMTAZ AL~BUKHARY, ANUGERAH TUNAS AL~BUKHARY, dan tahun ini ditambah dengan ANUGERAH PEKERTI AL~BUKHARY. Di kesempatan ini juga, saya bagi pihak seluruh warga sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang, khususnya untuk anugerah-anugerah atas nama keluarga yang akan disampaikan setiap tahun terutama kepada Pn. Hjh. Sharifah Fatimah mewakili keluarga Allahyarham Syed Mohamed AlBukhary. Terima kasih daun keladi.

Bagaimanapun terus terang saya katakan bahawa keputusan peperiksaan awam 2010 tidak begitu membanggakan; ibarat air laut, tentu ada pasang dan surutnya...namun tidaklah sampai berlaku tsunami... Untuk PMR kita berjaya meningkat sebanyak 3% iaitu dari 76.8% kepada 79.8% manakala GPS dapat dikekalkan kepada 2.5 Namun begitu, keputusan SPM yang begitu melonjak pada tahun 2009 kembali melorot ke posisi normalnya iaitu dari 70.9% kepada 62.2% manakala GPS turut menyusut dari 4.69 kepada 4.97 Keputusan penuh pencapaian mata pelajaran 2010 ada tertera dalam buku program. Namun begitu hadirin sekelian, kita sewajarnya bersyukur kerana keputusan keseluruhan sekolah ini masih lagi berada di tahap baik berpandukan keputusan keseluruhan daerah Kota Setar dan negeri Kedah. Saya yakin kita masih akan kekal di band 4 kalau pun tidak berpeluang memperolehi bai’ah.

Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah,
Bercakap tentang kejayaan pelajar, saya rasa kita sering kali tersilap tanggapan. Acap kali apabila keputusan peperiksaan awam diumumkan, maka anak-anak kita yang berjaya dengan cemerlang akan dijulang dan diberikan pengiktirafan, malah hebahan, keraian dan insentif istimewa. Sebagai seorang pengetua, madam principal, guru dan pendidik, tentulah saya turut berbangga dengan pencapaian mereka. Namun naluri hati saya sebagai ibu seringkali terlerai melihat lirik mata dan senyum pahit anak-anak kita yang kurang cemerlang dalam akademik. Jauh disudut hati mereka saya yakin bahawa mereka juga ingin mengecapi kejayaan. Hakikatnya, anak-anak kita memang berbeza-beza.. dari segi kecerdasan minda, IQ, bakat, kebolehan, latar belakang keluarga malahan fizikal anak-anak itu sendiri. Ada yang sangat beruntung tetapi ada juga yang kurang bernasib baik or under privileged. Bertitik tolak dari suasana itulah maka MACA 2011 mengambil inisiatif mempelbagaikan kategori
anugerah. Anak-anak Al~Bukhary bukan sahaja dinilai dan diiktiraf dari segi pencapaian akademik tetapi kita juga mempertimbangkan pencapaian mereka dalam bidang sahsiah dan kokurikulum. Kami benar-benar cuba memberi ruang kepada kemenjadian pelajar mengikut bakat dan kemampuan mereka dalam bidang masing-masing. Untuk itu, para ibu bapa sekalian, saya rasa bersyukur kerana anak-anak Al~Bukhary berjaya memperlihatkan aspek-aspek kemenjadian ini dengan baik. Misalnya, dalam bidang sukan dan permainan, kita seringkali mencuri perhatian kerana semangat juang, kesungguhan dan permainan bersih walaupun jarang sekali menjadi juara. Dalam bidang uniform pula, anak-anak Al-Bukhary segak bergaya mematuhi pemakaian pakaian seragam setiap hari Selasa dan aktif sehingga petang. Paling menyejukkan hati dan melapangkan dada ialah anak-anak Al-Bukhary siap siaga membaca surah Ya-Sin tepat jam 7.30 pagi setiap hari sebelum masuk ke kelas. Jadi, marilah sama-sama kita
menghargai dan membajai kemampuan dan kejayaan mereka dalam aspek bukan akademik ini.

Para ibu bapa dan hadirin yang dihormati sekelian,
Sesuai dengan tema MACA 2011, iaitu “Untukmu ayah dan ibu”, sebentar tadi tuan-tuan dan puan-puan telah menyaksikan sendiri bakat dan kebolehan anak-anak kita beraksi dengan silat, sambutan, barisan kehormat, tambur, gamelan dan pengacaraan. Bersesuaian rasanya dengan konsep majlis yang kita hadiri pada hari ini yang dahulunya lebih dikenali dengan panggilan Hari Ucapan atau Hari Ibu Bapa. Selain mendengar ucapan, selepas ini para ibu bapa akan menyaksikan pelbagai persembahan anak-anak Al~Bukhary serta turut dijemput menghadiri kenduri kesyukuran kami. Semoga kehadiran tuan-tuan dan puan-puan hari ini amat bermakna, diingati dan dihargai.
Sebelum mengundur diri, saya mewakili seluruh warga SMKSMAB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tn. Hj. Mustafa b. Abd. Hamid atas keprihatinan beliau terhadap kemenjadian SMKSMAB melalui program pemuafakatan sekolah-sekolah dalam kawasan kompleks pendidikan. Tidak ketinggalan, ucapan terima kasih kepada En. Amry b. Abdul Latib, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kota Setar yang sentiasa cuba memenuhi permintaan kami dalam pelbagai aspek. Seterusnya kepada Pn. Hjh Sharifah Fatimah bt. Syed Nor, keluarga dermawan Al-Bukhary atas keprihatinan keluarga mereka kepada kami, kepada mantan-mantan pengetua dan mantan-mantan Penolong Kanan SMKSMAB, sesungguhnya tuan-tuan / puan-puan sekalian telah gigih membangunkan sekolah dan sentiasa melekat di hati Al-Bukhary. Kepada dif-dif jemputan, para penyumbang serta hadirin sekalian, saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kerana sudi memeriahkan majlis kami. Tidak
lupa juga sekalung penghargaan kepada para guru dan staf, PIBG, waris dan pelajar-pelajar atas segala pengorbanan dan sumbangan material, idea, keringat dan masa demi Al-Bukhary Intergrasi.
Sebelum saya mengakhiri bicara, terimalah tiga rangkap pantun seloka:

Bagaimana tidak ku rebut,
Batu berendam dari hulu;
Bagaimana tidak kusebut,
Sudah ku pendam dari dahulu.

Di kiri jalan di kanan pun jalan,
Di tengah-tengah pohon meranti,
Diiri jangan dipuji pun jangan.
Sama-sama membina Al-Bukhary

Anakmu tuan anakku jua,
Berkembang bakat di Al-Bukhary;
Kemenjadian terserlah permata negara,
Untukmu ayah, ibu dan pertiwi.

Akhir sekali, marilah sama-sama kita menzahirkan rasa cinta dan komitmen kita terhadap anak-anak Al-Bukhary, menyokong segala usaha mereka memburu kecemerlangan yang seimbang, menghargai kemampuan mereka seadanya dan berdoa agar tercapai apa yang mereka idamkan.

SMAB: Sentiasa Menandingi Aura Bestari
Sekian. Terima kasih.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

20 April, 2011

MACA 2011 - Untukmu Ibu dan Ayah

Tanggal 20 April 2011, sempurnalah sudah acara tahunan terbesar bagi setiap sekolah iaitu majlis pengiktirafan untuk warga sekolah terutamanya para pelajar yang berjaya dalam bidang Kurikulum dan Kokurikulum. SMKSMAB juga turut menganjurkan acara ini hari ini dan telah dijenamakan semula sebagai Majlis Anugerah Cemerlang Al-Bukhary atau singkatannya MACA 2011 dengan temanya iaitu "Untukmu Ibu dan Ayah". Tema ini bersesuaian dengan pengorbanan ibu bapa dalam memberi pendidikan yang sempurna bagi anak masing-masing sehingga mereka berjaya meraih kejayaan.

Pasukan Tambor SMKSMAB yang sentiasa hebat beraksi, menyambut kedatangan tetamu utama dengan persembahan mereka yang memukau.


Majlis ini telah dirasmikan oleh Ketua Sektor Jaminan Kualiti, Jabatan Pelajaran Negeri Kedah iaitu Tuan Haji Mustafa B Abdul Hamid, BCK. Turut meluangkan masa adalah En Amri B Abdul Latif iaitu Pegawai Khas dari Pejabat Pendidikan Daerah Kota Setar. Majlis yang  telah dilangsungkan dengan penuh meriah di Dewan Iltizam SMKSMAB ini turut diserikan dengan kehadiran ramai tetamu jemputan dari kalangan pengetua sekolah berhampiran serta tetamu undangan lainnya. Puan Hajah Sharifah Fatimah (waris Tuan Syed Mohamed Al-Bukhary) juga sudi meluangkan masanya untuk turut serta.

Tetamu utama MACA 2011
Pasukan Gamelan Al-Bukhary yang sangat menonjol dalam menampilkan persembahan mereka. Tahniah Cikgu Norazaina yang bertungkus lumus melatih tanpa kenal penat.

Majlis kenduri di Anjung Mutiara. Sambil makan, tetamu utama,  para waris, guru dan pelajar yang terlibat dalam MACA 2011 menikmati hidangan istimewa sambil dihiburkan dengan pelbagai persembahan pelajar.


Penyanyi cilik SMKSMAB telah mempesonakan tetamu dengan dendangan lagu "Oh Ibu". MACA 2011 bertemakan "Untukmu Ayah dan Ibu" sebagai simbolik dalam meraikan kejayaan anak-anak. Pengorbanan ibu bapa adalah asas bagi kejayaan, oleh itu wajarlah kegembiraan hari ini dikembalikan kepada insan yang banyak berkorban demi memartabatkan pendidikan keluarga.

Najihah Bt Amer Wahyudin yang diiringi oleh bapanya menrima Anugerah Perak Al-Bukhary setelah berjaya menjadi pelajar paling cemerlang dalam PMR 2010. Hadiah berupa sijil dan wang saguhati berjumlah RM300. 

Pelajar terbaik SPM 2010, Fairuz Adibah bt Mohd Abdul Kadir  menerima Anugerah Emas Al-Bukhary yang mengandungi sijil penghargaan dan wang saguhati berjumlah RM500. Tahniah.

Sebagai penghargaan atas kesudian Tuan Haji Mustafa menjadi tetamu utama MACA 2011, Madam Dewi Rosnah telah menyampaikan cendera hati sebagai tanda ingatan.

Sesungguhnya MACA 2011 banyak memberi natijah kepada semua warga SMKSMAB. Anugerah tahunan ini bukan sahaja mengiktiraf pelajar yang berjaya dalam bidang akademik sahaja malahan memberi peluang juga kepada pelajar yang cemerlang sahsiah dan berbudi pekerti mulia. .Tahniah buat semua yang berjaya

14 April, 2011

Pertandingan Puisi dan Lagu Peringkat Kota Setar

Nasihah Ghazali
Bertarikh 13 April 2011, Pertandingan Puisi dan lagu telah dilangsungkan di Sekolah menengah Kebangsaan Bukit Payong, Pokok Sena. SMKSMAB telah menyertai pertandingan tersebut dan berjaya memperoleh tempat ke 2 kategori Lagu.
Peserta-peserta telah dilatih oleh Puan Lai Shiau Ling, Pn Norazaina dan Encik Ezat. Tahniah diucapkan kepada pelajar yang terlibat iaitu Salsabila (3A1), Noraini (3A2), Khairul Fitri (4AKG), Faiz (3RK), Al-Hafiz (4PD) dan pendeklamator sajak Nasihah (3AG).
Kumpulan Puisi dan Lagu yang berjaya menjadi Naib Johan Daerah Kota Setar. Tahniah dan Syabas.

13 April, 2011

Selamat Bersara Tuan Pengarah Jabatan Pelajaran Kedah.

Tanggal 13 April 2011, Tuan haji Abdullah Bin Saad, BCK, akan menamatkan perkhidmatan perkhidmatannya sebagai Pengarah Pelajaran Negeri Kedah. Beliau telah memulakan tugasnya sebagai Pengarah Pelajaran kedah mulai 1 November 2010 bagi menggantikan Tuan Haji Shahidan Bin Abdul Rahman yang telah bersara pada 18 Oktober 2010.

Pada Selasa 12 April 2011, Tuan Pengarah Pelajaran Kedah, Haji Abdullah Bin Saad sempat menghadiri perhimpunan Rasmi Kokurikulum SMKSMAB. Beliau sempat memeriksa perbarisan pelajar-pelajar pada hari tersebut.  


Tuan Pengarah Pelajaran sempat memberi ucapan terakhir beliau kepada pelajar-pelajar SMKSMAB. Sudah tentu banyak pengalaman yang beliau perolehi disepanjang tugasnya dapat dimanfaatkan untuk kebaikan semua pelajar.







Pasukan Tambor yang selalu menjadi pengiring Majlis Sambutan peringkat sekolah, daerah dan kebangsaan.
 Sekitar Majlis Sambutan Persaraan Tuan Pengarah Pelajaran Negeri Kedah di Bangunan MBAS

Kehadiran Tuan Pengarah disambut oleh Pegawai-pegawai dari pelbagai jabatan.

Pelajar-pelajar SMKSMAB yang menyertai Sambutan Persaraan Tuan Pengarah Pelajaran di Bangunan MBAS sebagai pasukan kompang. 
SMKSMAB ditugaskan sebagai AJK sambutan dalam Majlis Persaraan Pengarah  Pelajaran. kelihatan Tuan Haji Abdullah bersalamanan dengan wakil dari pelajar-pelajar SMKSMAB.
Wakil dari guru-guru SMKSMAB yang menyertai Majlis Sambutan Persaraan Tuan Pengarah.
Semoga Tuan Pengarah Pelajaran yang akan bersara mulai 16 April nanti akan dikurniakan rahmat dan kesejahteraan di sepanjang kehidupannya. Selamat Bersara. Terima Kasih atas segala jasa baik yang telah disumbangkan di sepanjang perjalanan tugasnya di bidang pendidikan. Terima kasih.

12 April, 2011

Bukan di sini noktahnya. (Dedikasi buat cikgu Azeyan)

Guruku...
Mungkin esok kalibatmu sudah tiada di daerah ini,.
daerah yang mewarnai kehidupanmu selama ini..dengan segala suka dukamu.
Mungkin esok kami termangu-mangu mencari bebayangmu..yang kian jauh...
Mungkin jua...senyuman manismu bakal kami rindui.
yang pasti hanyalah terngiang-ngiang suara lunakmu,
mendidik kami dengan angka-angka,
mengajar kami mengira,
memberi kami latihan demi latihan....
Terkadangkala nada lembut bertukar marah,..
Itulah nilai kasih sayang yang indah.

Guruku...
Mungkin esok kau sudah hilang dari pandangan..
meneruskan perjalanan tarbiahmu..
Ingatilah kami di sini...daerah yang membalut pahit manis kehidupan kita.
Kami sayangkan cikgu.
kami rindukan cikgu
Pergimu kami ratapi dalam diam.....tiada pengganti!

Guruku..
Bukan di sini noktahnya..sebuah perjalanan hidup seorang pejuang..
kami tahu semangatmu kental membelah zaman,
meredah duri ranjau pengorbanan dalam kehidupan..
semoga kembaramu semakin indah....
selagi gelaran keramat "cikgu" kekal terpahat...
kau pasti terus memerah keringat tanpa penat.
kerana kami percaya, kau insan penuh tekad,
bagimu bukan di sini noktahnya...
Perjuangan jihadmu  belum tamat..
kerana itulah sumpah insan terhormat.


P/S : Sajak dicipta buat seorang insan yang banyak menabur bakti di SMKSMAB sebagai guru yang gigih menjalankan tugas sehingga ke detik terakhir persaraannya. Selamat bersara diucapkan buat cikgu Azeyan Bt Baharom.  Didoakan kehidupanmu beroleh rahmat dan perlindungan Allah selamanya. Terima kasih.

09 April, 2011

Sambutan Bulan Kemerdekaan 2011


Bulan Ogos telah  diisytiharkan sebagai bulan kemerdekaan pada setiap tahun sempena sambutan  Hari Kemerdekaan setiap kali tibanya 31 hb Ogos. Menyahut seruan itu, Panitia Sivik SMKSMAB telah melancarkan sambutan Ambang Kemerdekaan yang dilancarkan oleh pengetua SMKSMAB, Puan Hajah Dewi Rosnah binti Radin Suhadi semasa perhimpunan pagi, khamis lalu. 

Majlis pelancaran Bulan Kemerdekaan kali ke 54 telah disempurnakan ole Puan Hajah Dewi Rosnah semasa perhimpunan pagi pada hari Khamis (4 Ogos 2011)



Deklamator sekolah, Nasihah bt Ghazali tampil bersemangat mendeklamasikan puisi bertemakan sejarah kemerdekaan negara.

Pelbagai aktiviti telah dan akan dijalankan di sepanjang bulan ini bagi memeriahkan sambutan sekaligus memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar. Para pelajar digalakkan menyertai pelbagai pertandingan yang dianjurkan.

05 April, 2011

SPM 2010

23 Mac 2011, keputusan SPM 2010 telah diumumkan. Semua calon telah bersedia menerima keputusan masing-masing. Berikut adalah senarai pelajar yang mendapat keputusan cemerlang pada tahun ini.

  1. Fairuz Adibah Bt Muhamad Abdul Kadir               6A, 1B dan 1C         (1.75)
  2. Mohd Aiman B Mohd Rasidi                                6A, 4B                      (1.80)
  3. Ameer Imran B Muhamad Adib                            7A, 1B dan 1C          (2.00)
  4. Nurul Yusrina Bt. Abu Bakar                                8A, 1B dan 1C          (2.10)
  5. Siti Nur Alia Bt Shahibun                                      6A, 1B, 1C dan 1D   (2.33) 
  6. Muhd Ikhwan Bt Sahari                                        7A, 1B dan 1C          (2.33)
  7. Mastura Bt Ahyak                                                5A, 3B dan 1C          (2.44)
  8. Muhamad Izzat B Rudzuan                                   6A, 1B dan 2C          (2.44)
GPS SPM 2010 ialah 4.97, menurun sedikit berbanding GPS SPM 2009 iaitu berbeza 0.28.

04 April, 2011

Program Antirokok dan Dadah Kebangsaan 2011

4 April 2011 - Unit Bimbingan dan Kaunseling SMKSMAB telah melancarkan Program Antirokok dan Dadah selama sebulan. Program itu telah disempurnakan  oleh Pn. Hajah Jamaliah Bt Abdul Fatah, Penolong Kanan Pentadbiran semasa Perhimpunan Rasmi Mingguan hari ini. Program sebulan ini dilaksanakan bermula 4 April hingga 4 Mei  2011 bertepatan dengan Pekeliling Ikhtisas Bil 5/1997 yang menyatakan sekolah sebagai kawasan larangan merokok. Program ini bertemakan "1 Malaysia Membanteras Dadah". Antara program yang disusun disepanjang kempen ini ialah pameran, kuiz, ceramah, tayangan slaid dll. Guru-guru juga disarankan agar memberi sedikit info dalam liima minit pertama sebelum P&P dimulakan setiap hari.


En. Azizan B Saud, Penolong Kanan HEM turut membacakan perutusan sempena pelancaran program ini. Beliau menyatakan kerajaan Malaysia berhasrat menjadikan masyarakat Malaysia Sifar Dadah menjelang 2012. Jadi diharapkan program yang disediakan ini dapat memberi kesedaran pelajar sekolah supaya tidak terlibat atau pun bebas dari gejala yang tidak sehat dan memberi manfaat yang baik dan positif dalam melahirkan pelajar yang bertanggungjawab, bermoral dan berakhlak mulia.
Related Posts with Thumbnails