22 April, 2011

Tahniah Pasukan Bola Baling SMKSMAB.

Pasukan Bola Baling sekolah berjaya meraih tempat ketiga dalam kejohanan Bola Baling Peringkat Daerah Kota Setar. Kejayaan ini telah menamatkan kemarau sejak 4 tahun lalu di mana kali terakhir kejayaan yang sama dikecapi pada tahun 2007. Tahniah diucapkan.

Kelihatan Pasukan Bola Baling SMKSMAB meraikan kejayaan mereka. Turut bersama berkongsi kegembiraan ini adalah Penolong Kanan Kokurikulum SMKSMAB, Puan Pauziah Bt Ahmad, Pengurus Pasukan Cikgu Sobri B Yusof dan penyokong kuat aktiviti sukan saudara Azuan. Tahniah.

Pasukan Bola baling SMKSMAB berjaya melepasi pusingan suku akhir dengan mengalahkan Pasukan kolej Abdul Hamid 3 -1 tetapi kalah di peringkat separuh akhir di tangan SMK Kubang Rotan 1 - 3. Biarpun hanya di tempat ketiga, ini tidak bermakna pasukan sekolah kita kalah. Insyaallah jika berusaha bersungguh-sungguh tidak mustahil impian untuk menjadi Juara pada tahun hadapan akan menjadi kenyataan. Cuba lagi ye..Sekalung tahniah.

MACA 2011... Luahan hati seorang "madam principal", guru dan....ibu...

"...makkkkkkk!!!!!!! ini Tanggang mak!!!benar ini Tanggang anak mak!! makkkkkkkkkkkkkkk!!!!!!!!!!!!!!!!!!!"

Laungan dan raungan penuh emosi watak si Tanggang yang dipamerkan oleh Syaqieren  begitu memilukan sehingga ramai para hadirin wanita menitiskan air mata manakala hadirin lelaki terkedu hiba...

Sebenarnya, MACA 2011 dengan tema "untukmu ayah dan ibu" telah memberi ruang untuk saya dan warga Al~Bukhary meluahkan perasan kami melalui ucapan, persembahan dan penganjuran secara keseluruhan. Bermula dengan acara sambutan oleh pesilat, perarakan , pemeriksaan barisan kehormat, gamelan, pengacaraan, penyampaian anugerah, persembahan dan penyajian, hampir semuanya dijayakan oleh pelajar dengan bimbingan para guru khusus untuk meraikan para ibu bapa. Sesi ucapan pengetua telah saya abadikan untuk meluahkan perasaan, kepercayaan, komitmen dan ketulusan hati saya untuk KEMENJADIAN anak-anak Al~Bukhary manakala sketsa si Tanggang dan lagu-lagu yang didendangkan semuanya untuk kita sama-sama hayati dan renungi tanggung jawab serta amanah yang diberikan kepada kita sebagai ayah dan ibu, juga untuk ayah dan ibu kita semua.

Hayatilah kandungan teks ucapan saya..luahan hati seorang "madam principal", guru dan...ibu...

Madam Dewi Rosnah Binti raden Suhadi.
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamulaikumwarahmatullahi wabarokatuh
Yang Berbahagia, Tn Hj. Mustafa b. Abd. Hamid,
Ketua Sektor Jaminan Kualiti.
Jabatan Pelajaran Negeri Kedah Darul Aman

Yang Berusaha En. Amry bin Abd Latib
Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kota Setar,
Unit Pengurusan Sekolah

Yang dihormati Pn. Hjh Sharifah Fatimah bt. Syed Nor mewakili keluarga Allahyarham Syed Mohamed Al-Bukhary

Yang dihormati En. Zainal Annuar b. Mohd Zain,
Naib Yang diPertua PIBG SMKSMAB

Para jemputan Khas, Mantan Pengetua dan Mantan Penolong Kanan SMK Syed Mohamed Al-Bukhary,

Pengetua-Pengetua dan Guru Besar-Guru Besar,
Dif-Dif Jemputan, Para Waris, Guru-Guru dan pelajar-pelajar sekalian.

Terlebih dahulu saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan rahmat-Nya kita berkesempatan hadir pada pagi ini ke majlis yang telah dirancang. Keutamaan, keperihatinan dan pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan untuk meluangkan masa amatlah kami hargai dan diucapkan jutaan terima kasih.

Hadirin yang dihormati sekalian,
Seperti yang saya nyatakan dalam ucapan saya dalam majlis yang sama tahun lepas, sebenarnya kami amat berhasrat untuk menjemput semua ibu bapa termasuklah para waris yang anak-anaknya terlibat dalam persembahan pada hari ini. Tambahan pula senarai penerima anugerah tahun ini semakin bertambah seperti yang tercatat dalam buku program. Namun begitu, disebabkan ruang dewan yang amat terhad dan kurang selesa, maka hasrat ini terpaksa sekali lagi ditangguhkan.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Majlis Anugerah Cemerlang Al-Bukhary (MACA 2011) pada tahun ini dirancang bertemakan “Untukmu ayah dan ibu”. Kami memilih tema ini sebagai menghargai jasa dan sumbangan para ibu bapa dalam memastikan kejayaan anak-anak masing-masing. Kegigihan para ibu bapa mendidik dan mentarbiahkan anak-anak di rumah menjadikan tugasan kami sebagai guru lebih lancar. Saya juga ingin meluahkan rasa syukur dan terharu atas kepercayaan penuh yang telah diberikan oleh para ibu bapa sekalian terhadap kami. Sepanjang 443 hari saya menerajui sekolah ini, tiada sebarang insiden yang melibatkan pertelingkahan atau konflik di antara pihak sekolah dengan para ibu bapa. Beberapa masalah memang pernah timbul tetapi dapat diselesaikan secara musywarah dan permuafakatan. Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kepada semua ayah dan ibu para pelajar Al-Bukhary. Saya mengharapkan agar kepercayaan dan keakraban kita akan berterusan. Saya juga berhasrat untuk terus berbakti
bersama-sama rakan guru dan staf yang lain demi kecemerlangan anak-anak yang diamanahkan oleh para ibu bapa kepada kami.

Hadirin yang dimuliakan,
Mengimbas kembali komitmen kami tahun lepas, kita telah membuat perancangan dan sasaran headcount , iaitu 89.4% PMR dengan GPS 2.28 dan 74.7 % SPM dengan GPS 4.60. Sebagai motivasi awal mulai tahun lepas juga kita bersetuju menawarkan pelbagai anugerah berserta hadiah iringan dan wang tunai sebagai insentif berdasarkan kriteria pencapaian seperti yang tercatat dalam buku program yang telah diedarkan. Contohnya, ANUGERAH KARISMA AL~BUKHARY, ANUGERAH MUMTAZ AL~BUKHARY, ANUGERAH TUNAS AL~BUKHARY, dan tahun ini ditambah dengan ANUGERAH PEKERTI AL~BUKHARY. Di kesempatan ini juga, saya bagi pihak seluruh warga sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang, khususnya untuk anugerah-anugerah atas nama keluarga yang akan disampaikan setiap tahun terutama kepada Pn. Hjh. Sharifah Fatimah mewakili keluarga Allahyarham Syed Mohamed AlBukhary. Terima kasih daun keladi.

Bagaimanapun terus terang saya katakan bahawa keputusan peperiksaan awam 2010 tidak begitu membanggakan; ibarat air laut, tentu ada pasang dan surutnya...namun tidaklah sampai berlaku tsunami... Untuk PMR kita berjaya meningkat sebanyak 3% iaitu dari 76.8% kepada 79.8% manakala GPS dapat dikekalkan kepada 2.5 Namun begitu, keputusan SPM yang begitu melonjak pada tahun 2009 kembali melorot ke posisi normalnya iaitu dari 70.9% kepada 62.2% manakala GPS turut menyusut dari 4.69 kepada 4.97 Keputusan penuh pencapaian mata pelajaran 2010 ada tertera dalam buku program. Namun begitu hadirin sekelian, kita sewajarnya bersyukur kerana keputusan keseluruhan sekolah ini masih lagi berada di tahap baik berpandukan keputusan keseluruhan daerah Kota Setar dan negeri Kedah. Saya yakin kita masih akan kekal di band 4 kalau pun tidak berpeluang memperolehi bai’ah.

Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah,
Bercakap tentang kejayaan pelajar, saya rasa kita sering kali tersilap tanggapan. Acap kali apabila keputusan peperiksaan awam diumumkan, maka anak-anak kita yang berjaya dengan cemerlang akan dijulang dan diberikan pengiktirafan, malah hebahan, keraian dan insentif istimewa. Sebagai seorang pengetua, madam principal, guru dan pendidik, tentulah saya turut berbangga dengan pencapaian mereka. Namun naluri hati saya sebagai ibu seringkali terlerai melihat lirik mata dan senyum pahit anak-anak kita yang kurang cemerlang dalam akademik. Jauh disudut hati mereka saya yakin bahawa mereka juga ingin mengecapi kejayaan. Hakikatnya, anak-anak kita memang berbeza-beza.. dari segi kecerdasan minda, IQ, bakat, kebolehan, latar belakang keluarga malahan fizikal anak-anak itu sendiri. Ada yang sangat beruntung tetapi ada juga yang kurang bernasib baik or under privileged. Bertitik tolak dari suasana itulah maka MACA 2011 mengambil inisiatif mempelbagaikan kategori
anugerah. Anak-anak Al~Bukhary bukan sahaja dinilai dan diiktiraf dari segi pencapaian akademik tetapi kita juga mempertimbangkan pencapaian mereka dalam bidang sahsiah dan kokurikulum. Kami benar-benar cuba memberi ruang kepada kemenjadian pelajar mengikut bakat dan kemampuan mereka dalam bidang masing-masing. Untuk itu, para ibu bapa sekalian, saya rasa bersyukur kerana anak-anak Al~Bukhary berjaya memperlihatkan aspek-aspek kemenjadian ini dengan baik. Misalnya, dalam bidang sukan dan permainan, kita seringkali mencuri perhatian kerana semangat juang, kesungguhan dan permainan bersih walaupun jarang sekali menjadi juara. Dalam bidang uniform pula, anak-anak Al-Bukhary segak bergaya mematuhi pemakaian pakaian seragam setiap hari Selasa dan aktif sehingga petang. Paling menyejukkan hati dan melapangkan dada ialah anak-anak Al-Bukhary siap siaga membaca surah Ya-Sin tepat jam 7.30 pagi setiap hari sebelum masuk ke kelas. Jadi, marilah sama-sama kita
menghargai dan membajai kemampuan dan kejayaan mereka dalam aspek bukan akademik ini.

Para ibu bapa dan hadirin yang dihormati sekelian,
Sesuai dengan tema MACA 2011, iaitu “Untukmu ayah dan ibu”, sebentar tadi tuan-tuan dan puan-puan telah menyaksikan sendiri bakat dan kebolehan anak-anak kita beraksi dengan silat, sambutan, barisan kehormat, tambur, gamelan dan pengacaraan. Bersesuaian rasanya dengan konsep majlis yang kita hadiri pada hari ini yang dahulunya lebih dikenali dengan panggilan Hari Ucapan atau Hari Ibu Bapa. Selain mendengar ucapan, selepas ini para ibu bapa akan menyaksikan pelbagai persembahan anak-anak Al~Bukhary serta turut dijemput menghadiri kenduri kesyukuran kami. Semoga kehadiran tuan-tuan dan puan-puan hari ini amat bermakna, diingati dan dihargai.
Sebelum mengundur diri, saya mewakili seluruh warga SMKSMAB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tn. Hj. Mustafa b. Abd. Hamid atas keprihatinan beliau terhadap kemenjadian SMKSMAB melalui program pemuafakatan sekolah-sekolah dalam kawasan kompleks pendidikan. Tidak ketinggalan, ucapan terima kasih kepada En. Amry b. Abdul Latib, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kota Setar yang sentiasa cuba memenuhi permintaan kami dalam pelbagai aspek. Seterusnya kepada Pn. Hjh Sharifah Fatimah bt. Syed Nor, keluarga dermawan Al-Bukhary atas keprihatinan keluarga mereka kepada kami, kepada mantan-mantan pengetua dan mantan-mantan Penolong Kanan SMKSMAB, sesungguhnya tuan-tuan / puan-puan sekalian telah gigih membangunkan sekolah dan sentiasa melekat di hati Al-Bukhary. Kepada dif-dif jemputan, para penyumbang serta hadirin sekalian, saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kerana sudi memeriahkan majlis kami. Tidak
lupa juga sekalung penghargaan kepada para guru dan staf, PIBG, waris dan pelajar-pelajar atas segala pengorbanan dan sumbangan material, idea, keringat dan masa demi Al-Bukhary Intergrasi.
Sebelum saya mengakhiri bicara, terimalah tiga rangkap pantun seloka:

Bagaimana tidak ku rebut,
Batu berendam dari hulu;
Bagaimana tidak kusebut,
Sudah ku pendam dari dahulu.

Di kiri jalan di kanan pun jalan,
Di tengah-tengah pohon meranti,
Diiri jangan dipuji pun jangan.
Sama-sama membina Al-Bukhary

Anakmu tuan anakku jua,
Berkembang bakat di Al-Bukhary;
Kemenjadian terserlah permata negara,
Untukmu ayah, ibu dan pertiwi.

Akhir sekali, marilah sama-sama kita menzahirkan rasa cinta dan komitmen kita terhadap anak-anak Al-Bukhary, menyokong segala usaha mereka memburu kecemerlangan yang seimbang, menghargai kemampuan mereka seadanya dan berdoa agar tercapai apa yang mereka idamkan.

SMAB: Sentiasa Menandingi Aura Bestari
Sekian. Terima kasih.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Related Posts with Thumbnails