09 May, 2011

Contohi mereka....Idola sebenar seorang pelajar.

Musim peperiksaan sedang melanda bumi SMKSMAB sekarang. Semua pelajar sedang menghadapi Peperiksaan Pertengahan Tahun. Admin terpanggil untuk berkongsi sedikit pengalaman pelajar-pelajar cemerlang yang sedia kita maklum. Antara insan istimewa yang boleh pelajar SMKSMAB jadikan idola atau ikutan ialah Nur Madihah (pelajar cemerlang SPM 2008) dan Azali Azlan (pelajar cemerlang SPM 2007) peringkat negara.   Dua insan yang berbeza,...namun mempunyai hala tuju yang sama,..fokus terhadap pelajaran.  

Azali telah meraih 20 1A dalam matapelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Sains, Pendidikan Islam, Fizik, Kimia, Biologi, Geografi, Matematik Tambahan, Ekonomi Asas, Perdagangan, Prinsip Perakaunan, Bahasa Arab Tinggi, Kesusasteraan Melayu, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah, Tasawwur Islam serta Pendidikan Seni Visual. Di samping itu Azali mendapat 2A dalam mata pelajaran English for Science and Technology (EST).

Azali yang juga merupakan Tokoh Nilam Kebangsaan 2007 adalah satu-satunya calon yang mengambil 21 subjek dalam peperiksaan SPM 2007. Sebelum ini beliau mendapat keputusan lima A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan sembilan A dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Azali Azlan percaya kesabaran dan ketekunan belajar menjadi kunci kepada kejayaannya memperoleh keputusan 20 1A dan satu 2A dalam peperiksaan itu. Menurut anak kelahiran Butterworth itu, sikap tersebut terbukti berjaya membina kekuatan dalaman dalam dirinya bagi menghadapi sebarang cabaran yang mendatang. Beliau tidak pernah mengikuti tuisyen khusus, sebaliknya hanya menyertai tuisyen di sekolah untuk mata pelajaran Kimia dan Prinsip Perakaunan. Beliau juga belajar sendiri sembilan subjek yang tidak diajar di sekolah.


Sedikit berbeza dengan Azali, pelajar SPM terbaik 2008 iaitu Nik Nur Madihah mempunyai rentetan pilu sebelum berjaya meraih kejayaan. Pelajar miskin ini tidak pernah mengalah dengan nasib keluarganya malahan semakin bersemangat untuk merubah keadaan. Baginya, hidup tanpa peralatan canggih dan kemudahan sempurna bukan penghalang untuk seseorang menempa kejayaan. Malah kesukaran dan kekurangan itulah yang menjadi pendorong kepada usaha untuk mengubah nasib ke tahap lebih baik sambil membahagiakan ibu bapa.Siapa sangka rumah yang kelihatan hampir roboh ini menyimpan sebutir permata berharga yang bakal menyinar suatu hari nanti.Bahkan tidak seorang juga yang terfikir bahawa permata yang berlindung di rumah ini telah mencipta sejarah dengan memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM 2008).  Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2. Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu yang menjadi tempatnya untuk berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari.

 “Kadang-kadang saya menitiskan air mata sebab kakak (panggilan keluarga kepada Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal,  terpaksa berpuasa sebab tidak ada wang untuk beli makanan.“Tetapi alhamdulillah, kakak memahami keadaan keluarga. Malah kakak menjadikan ibadah itu sebagai rutin pada setiap hari Khamis dan Isnin sejak berumur 12 tahun.” Demikian luahan ibu kepada pelajar Nik Nur Madihah, Mariani Omar, 42, ketika ditanya mengenai kesusahan dia dan suami, Nik Mohd. Kamal Hussein, 41, membentuk seorang insan contoh. Katanya, biar susah bagaimana sekali pun, anak sulung daripada empat beradik itu tidak pernah merungut. Malah Nik Nur Madihah, menurutnya, melalui semua kepayahan itu dengan tabah dan menerimanya sebagai cabaran untuk berusaha dengan lebih keras.

Dua insan istimewa yang berbeza cerita tetapi berkongsi kejayaan yang sama. Azali mungkin lebih bernasib baik daripada Nur Madihah yang terpaksa berperang dengan wang ringgit., namun mereka berdua adalah idola yang sewajarnya menjadi pendorong kepada semua pelajar SMKSMAB. Semoga coretan kali ini memberi sedikit keinsafan untuk lebih fokus terhadap pelajaran. Selamat menghadapi peperiksaan buat semua pelajar..ingatlah di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Related Posts with Thumbnails