Khamis 27 Januari 2011...pagi itu tidak seperti pagi-pagi biasa. Bagi ku pagi itu lebih istimewa, hening dan syahdu. Namun di hatiku agak mendebarkan. Sebenarnya aku telah "terlepas kata" ketika membuat ucapan dalam perjumpaan pertama dengan para waris pelajar Tingkatan 1 pada hari pendaftaran 29 Disember 2010. Dalam ucapan tersebut, aku telah pahatkan ke dalam hati anak-anak didikku betapa bertuahnya mereka kerana berjaya mendaftarkan diri di sekolah ini. Aku juga telah pasakkan ke dalam minda para waris agar sentiasa prihatin terhadap perkembangan pendidikan dan sahsiah anak-anak mereka. Aku yakinkan mereka bahawa strategi sekolah ini ialah "discipline first". Untuk itu, mereka mesti pastikan anak-anak mereka berada dalam kawasan tembok sekolah sebelum 7.30 pagi. Aku perkemaskan bahawa amanah dan tanggung jawab mendidik dan mentarbiahkan anak-anak mereka akan ku laksanakan sebaik-baiknya bersama rakan-rakan guruku. Aku ucapkan terima kasih kepada mereka kerana memberi kepercayaan kepada pasukan kerjaku dan aku juga mohon izin daripada mereka untuk menjalankan tugasku sebagai ibu mereka sepanjang masa mereka berada di sekolah. Aku jemput mereka melawat sekitar kawasan sekolah dan bilik darjah di mana anak mereka akan ditempatkan. Akhir sekali aku mempelawa mereka untuk hadir ke sekolah dalam masa sebulan, iaitu pada hari ini, untuk berinteraksi dengan para guru tentang perkembangan anak-anak mereka.
Sebenarnya aku mengambil idea dari Hornsey School, London ketika menjadi "shadowing principal" di sana. No formal invitation; it is just an open session whereby parents are welcomed to discuss about their children after a month being in the school"..itulah antara yang dijelaskan oleh Mr. Andy Yarrow, the head teacher kepada ku ketika itu. Justeru, perjumpaan pagi ini tiada persiapan khas, tiada back-drop atau banner, tiada jamuan dan minuman, tiada jawatan kuasa dan sebagainya. Tepat jam 7.20 pagi aku terus ke Anjung Mutiara. Aku agak tergamam melihat lebih 30 waris sudah berada di kawasan itu. Anak-anak didikku sudah duduk bersila mengikut barisan. Azriel, pengawas Tingkatan 2 mengingatkan adik-adik membaca sebarang nota. Tepat jam 7.30 pagi dua orang pelajar Tingkatan 4 naik ke pentas memulakan selawat dan terus dengan bacaan Ya Sin. Ustaz zaki menyempurnakannya dengan bacaan doa.
Sebaik selesai doa aku terus mencapai mikrofon. Tanpa pengacara, aku terus mengalu-alukan kehadiran waris yang sudah melebihi 50 orang. Aku perjelaskan bahawa apa yang mereka lihat pagi ini adalah senario biasa setiap hari. Mereka seterusnya dijemput berinteraksi dengan guru kelas bersama anak masing-masing di kantin. Angin pagi yang berhembus nyaman menjadikan suasana sungguh santai dan tenang. Beberapa orang waris tampil kepadaku memberikan beberapa saranan antaranya; mengadakan kelas tusyen berbayar untuk penghuni asrama. Ada juga yang meminta sekolah meneruskan sahaja hukuman merotan.Seorang abang berkemeja T merah ranggi begitu optimis dengan disiplin yang diterapkan di sekolah ini. Seorang bapa berpakaian kemas pula memaklumkan tentang anaknya yang kurang upaya namun begitu aktif dan ingin memasuki semua aktiviti sekolah. Namun paling aku insafi ialah ada yang begitu jujur dan berterus terang tentang kelemahan dan ketidakmampuan mereka memenuhi keperluan persekolahan anak-anak mereka. Air mata beberapa orang ibu yang ku temui pagi itu adalah pendorong untuk aku membantu mereka keluar dari kemelut dan kepompong mereka sekarang.
Bagiku SISWA 1/2011 memberi input yang sungguh bermakna untuk merangka strategi seterusnya.
Terima kasih rakan-rakan guru.
Terima kasih para waris.
THANK YOU BUKHARIAN.
nota: sessi bermula jam 7.30 hingga 9.30 pagi di dua tempat: Pelajar Tingkatan 1&2 di Anjung Mutiara manakala Tingkatan 3,4&5 di surau dan Dewan Iltizam.
02 February, 2011
Sessi Interaksi Bersama Waris (SISWA 1/ 2011)
Subscribe to:
Posts (Atom)