23 May, 2012

"Memoir Seorang Guru"


Cerpen ini dikisahkan semula ceritanya pada Sambutan Hari Guru SMKSMAB 2012 pada 16 Mei 2012.

MEMOIR SEORANG GURU. 
oleh Puan Hajah Dewi Rosnah Bt Radin Suhadi


Ahad: 16 Mei 2010.
Seluruh negara meraikan Hari Guru. Bagiku ini adalah kali pertama aku meraikannya bersama-sama pasukan  SMK @@@@ yang baru ku terajui semenjak 3 bulan lalu. Kelainan? Memang ada. Benarlah kata orang tua-tua, lain padang lain belalang. Namun masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguaklah aku...
Pagi itu dimulakan dengan perhimpunan di Dewan Iltizam. Pelajar-pelajarku berselawat sementara menunggu ketibaanku. Bagiku, ini adalah cara yg amat praktikal untuk mengelakkan mereka  berbuat bising yang pastinya akan membingitkan dewan tertutup itu. Mana tidaknya, 70 peratus pelajar-pelajarku adalah lelaki yang aktif dan cergas. Namun sebaik sahaja aku melangkah masuk, Awal, (nama gelaran yang kuberikan kerana wajahnya mirip Awaluddin Shaari, artis dan  personaliti TV) ketua platun KRS memberi arahan bersedia. Selalunya pelajar-pelajarku akan terus senyap untuk acara seterusnya, nyanyian Negaraku, tetapi hari ini mereka memberi tepukan gemuruh sebaik sahaja aku menaiki tangga pentas. Rasanya aku semakin dekat di hati mereka....
Acara berjalan lancar dan meriah. Namun ucapanku sebagai pengetua pagi itu tidak begitu menjadi. Aku  ingin mengungkap semula kenanganku bersama guruku semasa aku di SM%% Chemor, Perak (1971 – 1974). Kisah benar ini selalu meruntun perasaanku setiap kali 16 Mei menjelma dan begitu menyentuh perasaan guru-guru dan pelajar-pelajarku ketika aku mengisahkannya dalam ucapan Hari Guru di SMK #### ( 2003 – 2007). Ingin aku ulangi pengkisahan ini tadi, tetapi ......NKRA pula menjadi topik utama...
Sebaik sahaja tamat perhimpunan, aku membaca pelbagai ucapan melalui sistem pesanan ringkas. Satu daripadanya, oleh Cikgu Rusnani dari SMK ####, sekali lagi mengusik hatiku. “Perhimp baru slsai.Tngat cta cikgu dulu2 dlm perh. Skrg xdak lg cita mcm tu. Smat hari guru-nani.”
Rupa-rupanya kisah itu juga memberi kesan kepada orang-orang yang sentimental seperti aku. Ketika guru-guru dan pelajar-pelajarku bersukaneka, aku yang masih bimbang akan kecederaan tulang sakrum hanya duduk memerhati gelagat mereka. Namun, mesej dari Cikgu Nani mengimbas memoirku..menyesal aku tak mengkisahkannya dalam ucapan ku tadi.........

                                       ***************************************

SM%% Chemor, Perak (1971).
Ketika itu aku berada di Remove Class A, wujud seorang guru Bahasa Melayu. Cikgu N. Lelaki awal 30an. Agak hensem walaupun rendah orangnya. Masih bujang kelana. Agak bergaya menaiki vespa birunya. Tampak lebih ceria dengan kemeja putih dan seluar khaki. Sepanjang ingatanku itulah pakain rasminya setiap hari. Rambutnya di sikat ke depan bagi menutup dahi yang semakin  meluas. Istimewanya? Dia ambil berat. Sangat ambil berat terhadap kami terutama pelajar perempuan yang baru nak “kembang”. Cakapnya tak banyak. Jelingnya yang tajam penuh makna yang kami tafsir sendiri. Lawaknya bersahaja. Anehnya, jika kami pecah perut ketawa, dia buat muka selamba. Senyum pun tidak. Mahalnya? Bila dia menegur kami sekali sekala.. berhari-hari kami teruja! Kegigihannya? Memastikan dia berada dalam kelas bila tiba waktunya dan berceloteh walaupun stailnya hanya duduk di meja! Inovasinya? Mengumpulkan buku-buku cerita dan memaksa kami membaca. Masa itu belum ada istilah inovasi dan program NILAM tetapi ketika itulah aku meneliti Hikayat Malim Deman, Hikayat Hang Tuah dan Tun Kudu. Anehnya? Sebaik sahaja buku Tun Kudu selesai ku baca dan balut, dia berpesan..”Kalau berlaku apa-apa pada cikgu esok jangan terkejut”. Kami senyap sekelas. Waktu itu, mana berani bertanya mengapa...
Esoknya Cikgu N tiada di sekolah. Kami gempar  bila dimaklumkan beliau bertukar balik ke kampungnya di Teluk Intan. Waktu itu mana ada telefon kecuali di sekolah. Namun  beberapa hari berselang beliau mengutus surat untuk kami. Aku membalasnya dalam bahasa Inggeris.
Dear Sir, I am writing in this foreign language to show my talent ..... dan dibalas olehnya; ...your English is flawless...terkial-kial aku membelek dictionary mencari maksud flawless itu. Kami menjadi semakin akrab. Kemajuan pelajaranku dipantau. Hadiah penghargaan dikirim setiap kali aku maklumkan keputusan akhir tahun,  LCE, MCE dan  sehingga aku berada di Tahun 2 UTM (1978),  beliau datang menjengukku di asrama (masih berkemeja putih). Pesannya, nanti dah jadi cikgu,  jadilah cikgu yang baik....Itulah kali terakhir kami bertemu.
Aku menjemputnya ke majlis perkahwinanku pada tahun 1980. Selepas itu kesibukan menguruskan rumah tangga dan urusan sekolah menjadikan aku sepi tanpa berita. Namun  selepas hampir 20 tahun kemudiannya, aku seringkali teringatkan beliau. Aku ingin sekali memberitahunya bahawa aku sudah menepati pesannya untuk menjadi guru yang baik dan ingin sekali menemuinya. Namun  di mana beliau berada? Kesal sungguh aku kerana tidak berkomunikasi selama  ini. Akhirnya, atas cadangan suamiku, aku pun mulakan misi menjejaki. Beberapa buah sekolah di daerahnya ku hubungi namun gagal. Aku menjejakinya pula melalui PPD dan PKG. Seorang pegawai, rasanya orang lama di PPD memberikan aku nombor telefon isterinya. Alangkah gembiranya aku. Aku ingin benar mendengar suaranya. Aku ingin bercerita panjang. Banyak yang cikgu N pesan dan buat sudah aku ulang tayang. Aku yakin beliau pasti bangga dengan kejayannku meneruskan amanatnya.
Panggilan ku dijawab oleh seorang wanita, juga seorang guru. Rancak aku memperkenalkan diri. Akhirnya aku minta untuk bercakap sendiri dengan Cikgu N. Dengan perlahan dia menjawab..”maaf..dia sudah tiada..baru beberapa bulan..leukemia..tapi sebelum itu memang dia ada menyebut nama anak muridnya...Dewi..” Sedihnya aku, sebak dan bertambah kesal kerana lalai menghubunginya sebelum ini. Rasa berdosa juga kerana seolah-olah melupakannya. Terkilan kerana tidak pernah menitipkan apa-apa tandamata setelah aku bekerja. Sayang semuanya sudah terlambat.Kini segalanya tak boleh diulang lagi, namun jasanya tetap ku kenang. Semangatnya ku teruskan. Jasanya ku  abadikan. Maafkan saya cikgu.
Aku akhiri pengkisahan ini dengan berpesan kepada seluruh warga SMK####  ketika itu agar sentiasa menghormati dan menghubungi bekas-bekas guru mereka terutama pada Hari Guru. Ramai di kalangan mereka yang berjaya menjejakiku di ruang maya dan ada yang menganggapku sebagai idola.Terkedu aku. Terima kasih kepada semua yang menghantar ucapan untukku. Terlalu banyak sehingga aku tak mampu membalasnya.
Lamunanku terhenti apabila guru-guru dan pelajar-pelajar masuk semula ke dewan untuk acara persembahan.

                                     **********************************
Isnin: 24 Mei 2010.
Pelancaran Hari Guru Peringkat Negeri Kedah berlangsung di Dewan Besar, IPGM Kampus Darulaman. Sambutan tahun ini lebih istimewa bagiku. Pertama;  tokoh guru tahun ini adalah  calon yang kucadangkan melalui PKPSM Kedah. Beliau adalah mantan ketua jabatanku. Bagiku inilah satu cara aku mengingatinya yang telah lama bersara. Kedua; setelah pencalonan berjaya, aku terlibat secara langsung bersama Sektor Jaminan Kualiti JPN Kedah dalam acara perarakan masuk tokoh guru  untuk menerima anugerah daripada KYDMM Tuanku Sultan. Aku buat persediaan terbaik kerana aku tak mahu pengalaman bersama Cikgu N berulang. Aku mahu menzahirkan penghargaan ini sebelum terlambat. Ketiga; aku sendiri naik ke pentas untuk menerima Anugerah Sekolah Cemerlang Peringkat Kebangsaan Kategori Sekolah  Harian Berasrama Bandar daripada KYDMM Tuanku Sultanah bagi pihak pasukan kerja sekolahku walaupun sebenarnya ia adalah usaha mereka bersama pengetua-pengetua sebelumku.  
Sekali lagi hatiku terusik. Dalam kegembiraan menerima anugerah ini, aku teringat betapa kecilnya aku suatu ketika dahulu. Bertugas sebagai pengetua di SMK #### selama 5 tahun. Sekolah Gred B dengan pelajar 400 orang, mengajar Bahasa Inggeris, rata-rata anak petani. Waktu itu aku hanya mampu menonton rakan-rakan pengetua dan pelajar-pelajar mereka naik turun pentas. Nak bersaing bukan kepalang tetapi padang sentiasa tidak rata, gelanggang sentiasa tidak sama. Bersama pasukan 46 orang, kami berjaya juga meningkatkan imej, reputasi dan prestasi PMR dan SPM setiap tahun sehingga ku mula berasa tepu.
Seterusnya aku diberi tugasan baru di SMK^^^, sekolah harian terbaik di daerah Kubang Pasu. Kali ini terasa berbeza. Segala yang dirancang mampu dijanakan segera. Turun naik pentas juga perkara biasa. Alangkah bertuahnya aku dapat menikmati suasana itu.  Suasana yang telah sekian lama ku impikan. Namun aku tidak pernah lupa SMK####. Terasa jurang prestasi kemenjadian amat berbeza. Ingin sekali aku kongsi segala keistimewaan itu bersama mereka. Dan tiga tahun bagaikan terlalu cepat berlalu. Bilangan pelajar melonjak ke hampir tengah dua ribu. Pelbagai dugaan datang menguji kewibawaanku. Terima kasih warga BUDIMAN atas sokongan kepadaku..
Kini aku berada pula di SMK@@@@, menggalas misi baru di sekolah yang sudah dinobatkan sebagai sekolah cemerlang. Apa lagi yang aku mahu? Skor komposit melebihi 65peratus, ranking di bawah 400, berada di kelompok band 3 dan  kumpulan 18 peratus ke atas dari lebih 2 ribu sekolah menengah seluruh Malaysia. Tugasku sekarang ialah memperbaiki prestasi ke tahap lebih tinggi. Aku sudah menetapkan KPI baru dan yakin boleh dicapai.Tetapi hati kecilku amat sayu. Benarlah kata Pak Lah, mantan PM kita..”yang baru tetap di sayang, yang lama tetap dikenang..” Jurang dengan SMK^^^ yang kutinggalkan agak jauh, namun mereka ada peluang untuk terus maju. Tetapi SMK#### bagaimana? Mampukah rakan-rakanku menggalas tanggungjawab melonjakkannya ke kelompok bawah seribu? Pilu hatiku melihat jurang yang terlalu lebar. Kalau boleh aku mahu semua pelajar berada di tahap yang hampir sama. Namun aku tak mampu..belum mampu...Tenaga dan usia pun semakin senja. Wajarkah aku melihat saja...?
Lalu aku memasang strategi, demi kemajuan diri anak-anak didikku, staf dan guru-guruku. Aku mahu mereka menjadi modal insan yang berjaya, sejahtera dan bahagia. Naluri seorang ibu dan roh seorang guru aku gemblengkan. Selagi hayat dikandung badan, amanah ini akan kuteruskan, Insya Allah...
  Isnin: 31 Mei 2010
Hari ini pula berlangsungnya Pelancaran Hari Guru Peringkat Daerah Kota Setar. Aku menghantar dua orang PK untuk menggantikan aku naik ke pentas bagi menerima 2 anugerah: Anugerah Sekolah Cemerlang dan  Anugerah SPM Cemerlang. Aku beri laluan kepada PK kerana aku mahu mereka bersedia sebagai “future leader”. Teori sahaja tidak cukup bermakna. Mereka mesti belajar dari pengalaman....
 Selasa: 1 Jun 2010
Pagi-pagi lagi aku sudah berada di Dewan Iskandar, Kolej Sultan Abdul Hamid, bersedia untuk  keberangkatan KDYMM Tuanku Sultan dan Tuanku Sultanah ke satu-satunya sekolah berusia melebihi 100 tahun di negeri ini. Sekolah yang telah melahirkan begitu banyak pemimpin termasuk KDYMM Tuanku dan adindanya sendiri, mantan PM pertama dan keempat serta barisan cendikiawan, ulama, ketua hakim, panglima tentera, usahawan dan sebagainya menjadikan aku sekali lagi berasa kerdil. Kini aku rasakan jauh lagi cerun yang perlu kudaki.Mungkinkah aku dapat merapati? Kembang dadaku melihat ahli-ahli alumninya pulang berkumpul di alma maternya. Bertuahnya guru-guru mereka melihat anak-anak didik mereka kini begitu ternama. Aku mesti mencuba...kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya...
Rabu: 2 Jun 2010
Jam 8.00 malam aku bersama 4 orang AJK Majlis Pengetua Cemerlang Kebangsaan (MPCK) berada di bilik 215 IAB Genting Highland untuk melaksanakan Program Jururunding Kepengetuaan (PJK) bersama pengetua-pengetua yang baru dilantik. Kami memain peranan sebagai fasilitator, berbincang untuk menangani isu-isu yang dihadapi dalam urusan kerja pengetua. Aku rasa walau pun baru pertama kali terlibat, namun aku sudah mula berazam..ini satu lagi pentas untuk aku membantu mereka sebagai pemimpin yang sentiasa beriltizam untuk memajukan sekolah... dan seterusnya anak didik masing-masing...agar jurang itu dirapatkan se Malaysia...
Tugasku sebagai guru belum selesai... 
Memoirku juga pasti akan lebih panjang...

Khamis: 3 Jun 2010. 
Related Posts with Thumbnails