Cerpen ini dikisahkan semula ceritanya pada Sambutan Hari Guru SMKSMAB 2012 pada 16 Mei 2012.
MEMOIR SEORANG
GURU.
oleh Puan Hajah Dewi Rosnah Bt Radin Suhadi
Ahad: 16 Mei 2010.
Seluruh negara
meraikan Hari Guru. Bagiku ini adalah kali pertama aku meraikannya bersama-sama
pasukan SMK @@@@ yang baru ku terajui
semenjak 3 bulan lalu. Kelainan? Memang ada. Benarlah kata orang tua-tua, lain
padang lain belalang. Namun masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang
kerbau menguaklah aku...
Pagi itu dimulakan
dengan perhimpunan di Dewan Iltizam. Pelajar-pelajarku berselawat sementara
menunggu ketibaanku. Bagiku, ini adalah cara yg amat praktikal untuk mengelakkan
mereka berbuat bising yang pastinya akan
membingitkan dewan tertutup itu. Mana tidaknya, 70 peratus pelajar-pelajarku
adalah lelaki yang aktif dan cergas. Namun sebaik sahaja aku melangkah masuk,
Awal, (nama gelaran yang kuberikan kerana wajahnya mirip Awaluddin Shaari,
artis dan personaliti TV) ketua platun
KRS memberi arahan bersedia. Selalunya pelajar-pelajarku akan terus senyap
untuk acara seterusnya, nyanyian Negaraku, tetapi hari ini mereka memberi
tepukan gemuruh sebaik sahaja aku menaiki tangga pentas. Rasanya aku semakin
dekat di hati mereka....
Acara berjalan
lancar dan meriah. Namun ucapanku sebagai pengetua pagi itu tidak begitu
menjadi. Aku ingin mengungkap semula
kenanganku bersama guruku semasa aku di SM%% Chemor, Perak (1971 – 1974). Kisah
benar ini selalu meruntun perasaanku setiap kali 16 Mei menjelma dan begitu
menyentuh perasaan guru-guru dan pelajar-pelajarku ketika aku mengisahkannya
dalam ucapan Hari Guru di SMK #### ( 2003 – 2007). Ingin aku ulangi pengkisahan
ini tadi, tetapi ......NKRA pula menjadi topik utama...
Sebaik sahaja tamat
perhimpunan, aku membaca pelbagai ucapan melalui sistem pesanan ringkas. Satu daripadanya, oleh Cikgu Rusnani
dari SMK ####, sekali lagi mengusik hatiku. “Perhimp baru slsai.Tngat cta cikgu
dulu2 dlm perh. Skrg xdak lg cita mcm tu. Smat hari guru-nani.”
Rupa-rupanya kisah
itu juga memberi kesan kepada orang-orang yang sentimental seperti aku. Ketika
guru-guru dan pelajar-pelajarku bersukaneka, aku yang masih bimbang akan kecederaan
tulang sakrum hanya duduk memerhati gelagat mereka. Namun, mesej dari Cikgu
Nani mengimbas memoirku..menyesal aku tak mengkisahkannya dalam ucapan ku
tadi.........
***************************************
SM%% Chemor, Perak
(1971).
Ketika itu aku
berada di Remove Class A, wujud seorang guru Bahasa Melayu. Cikgu N. Lelaki
awal 30an. Agak hensem walaupun rendah orangnya. Masih bujang kelana. Agak
bergaya menaiki vespa birunya. Tampak lebih ceria dengan kemeja putih dan
seluar khaki. Sepanjang ingatanku itulah pakain rasminya setiap hari. Rambutnya
di sikat ke depan bagi menutup dahi yang semakin meluas. Istimewanya? Dia ambil berat. Sangat
ambil berat terhadap kami terutama pelajar perempuan yang baru nak “kembang”.
Cakapnya tak banyak. Jelingnya yang tajam penuh makna yang kami tafsir sendiri.
Lawaknya bersahaja. Anehnya, jika kami pecah perut ketawa, dia buat muka
selamba. Senyum pun tidak. Mahalnya? Bila dia menegur kami sekali sekala..
berhari-hari kami teruja! Kegigihannya? Memastikan dia berada dalam kelas bila
tiba waktunya dan berceloteh walaupun stailnya hanya duduk di meja! Inovasinya?
Mengumpulkan buku-buku cerita dan memaksa kami membaca. Masa itu belum ada
istilah inovasi dan program NILAM tetapi ketika itulah aku meneliti Hikayat
Malim Deman, Hikayat Hang Tuah dan Tun Kudu. Anehnya? Sebaik sahaja buku Tun
Kudu selesai ku baca dan balut, dia berpesan..”Kalau berlaku apa-apa pada cikgu
esok jangan terkejut”. Kami senyap sekelas. Waktu itu, mana berani bertanya
mengapa...
Esoknya Cikgu N
tiada di sekolah. Kami gempar bila
dimaklumkan beliau bertukar balik ke kampungnya di Teluk Intan. Waktu itu mana
ada telefon kecuali di sekolah. Namun
beberapa hari berselang beliau mengutus surat untuk kami. Aku membalasnya
dalam bahasa Inggeris.
Dear Sir, I am writing in this foreign language to show
my talent ..... dan dibalas olehnya; ...your English is flawless...terkial-kial
aku membelek dictionary mencari
maksud flawless itu. Kami menjadi
semakin akrab. Kemajuan pelajaranku dipantau. Hadiah penghargaan dikirim setiap
kali aku maklumkan keputusan akhir tahun, LCE, MCE dan
sehingga aku berada di Tahun 2 UTM (1978), beliau datang menjengukku di asrama (masih
berkemeja putih). Pesannya, nanti dah jadi cikgu, jadilah cikgu yang baik....Itulah kali
terakhir kami bertemu.
Aku menjemputnya ke
majlis perkahwinanku pada tahun 1980. Selepas itu kesibukan menguruskan rumah
tangga dan urusan sekolah menjadikan aku sepi tanpa berita. Namun selepas hampir 20 tahun kemudiannya, aku
seringkali teringatkan beliau. Aku ingin sekali memberitahunya bahawa aku sudah
menepati pesannya untuk menjadi guru yang baik dan ingin sekali menemuinya.
Namun di mana beliau berada? Kesal
sungguh aku kerana tidak berkomunikasi selama ini. Akhirnya, atas cadangan suamiku, aku pun
mulakan misi menjejaki. Beberapa buah sekolah di daerahnya ku hubungi namun
gagal. Aku menjejakinya pula melalui PPD dan PKG. Seorang pegawai, rasanya
orang lama di PPD memberikan aku nombor telefon isterinya. Alangkah gembiranya
aku. Aku ingin benar mendengar suaranya. Aku ingin bercerita panjang. Banyak
yang cikgu N pesan dan buat sudah aku ulang tayang. Aku yakin beliau pasti
bangga dengan kejayannku meneruskan amanatnya.
Panggilan ku
dijawab oleh seorang wanita, juga seorang guru. Rancak aku memperkenalkan diri.
Akhirnya aku minta untuk bercakap sendiri dengan Cikgu N. Dengan perlahan dia
menjawab..”maaf..dia sudah tiada..baru beberapa bulan..leukemia..tapi sebelum
itu memang dia ada menyebut nama anak muridnya...Dewi..” Sedihnya aku, sebak
dan bertambah kesal kerana lalai menghubunginya sebelum ini. Rasa berdosa juga
kerana seolah-olah melupakannya. Terkilan kerana tidak pernah menitipkan
apa-apa tandamata setelah aku bekerja. Sayang semuanya sudah terlambat.Kini segalanya
tak boleh diulang lagi, namun jasanya tetap ku kenang. Semangatnya ku teruskan.
Jasanya ku abadikan. Maafkan saya cikgu.
Aku akhiri
pengkisahan ini dengan berpesan kepada seluruh warga SMK#### ketika itu agar sentiasa menghormati dan
menghubungi bekas-bekas guru mereka terutama pada Hari Guru. Ramai di kalangan
mereka yang berjaya menjejakiku di ruang maya dan ada yang menganggapku sebagai
idola.Terkedu aku. Terima kasih kepada semua yang menghantar ucapan untukku. Terlalu
banyak sehingga aku tak mampu membalasnya.
Lamunanku terhenti
apabila guru-guru dan pelajar-pelajar masuk semula ke dewan untuk acara
persembahan.
**********************************
Isnin: 24 Mei 2010.
Pelancaran
Hari Guru Peringkat Negeri Kedah berlangsung di Dewan Besar, IPGM Kampus
Darulaman. Sambutan tahun ini lebih istimewa bagiku. Pertama; tokoh guru tahun ini adalah calon yang kucadangkan melalui PKPSM Kedah.
Beliau adalah mantan ketua jabatanku. Bagiku inilah satu cara aku mengingatinya
yang telah lama bersara. Kedua; setelah pencalonan berjaya, aku terlibat secara
langsung bersama Sektor Jaminan Kualiti JPN Kedah dalam acara perarakan masuk
tokoh guru untuk menerima anugerah
daripada KYDMM Tuanku Sultan. Aku buat persediaan terbaik kerana aku tak mahu
pengalaman bersama Cikgu N berulang. Aku mahu menzahirkan penghargaan ini
sebelum terlambat. Ketiga; aku sendiri naik ke pentas untuk menerima Anugerah
Sekolah Cemerlang Peringkat Kebangsaan Kategori Sekolah Harian Berasrama Bandar daripada KYDMM Tuanku
Sultanah bagi pihak pasukan kerja sekolahku walaupun sebenarnya ia adalah usaha
mereka bersama pengetua-pengetua sebelumku.
Sekali lagi hatiku
terusik. Dalam kegembiraan menerima anugerah ini, aku teringat betapa kecilnya
aku suatu ketika dahulu. Bertugas sebagai pengetua di SMK #### selama 5 tahun.
Sekolah Gred B dengan pelajar 400 orang, mengajar Bahasa Inggeris, rata-rata
anak petani. Waktu itu aku hanya mampu menonton rakan-rakan pengetua dan
pelajar-pelajar mereka naik turun pentas. Nak bersaing bukan kepalang tetapi
padang sentiasa tidak rata, gelanggang sentiasa tidak sama. Bersama pasukan 46
orang, kami berjaya juga meningkatkan imej, reputasi dan prestasi PMR dan SPM setiap
tahun sehingga ku mula berasa tepu.
Seterusnya aku
diberi tugasan baru di SMK^^^, sekolah harian terbaik di daerah Kubang Pasu.
Kali ini terasa berbeza. Segala yang dirancang mampu dijanakan segera. Turun
naik pentas juga perkara biasa. Alangkah bertuahnya aku dapat menikmati suasana
itu. Suasana yang telah sekian lama ku
impikan. Namun aku tidak pernah lupa SMK####. Terasa jurang prestasi
kemenjadian amat berbeza. Ingin sekali aku kongsi segala keistimewaan itu bersama
mereka. Dan tiga tahun bagaikan terlalu cepat berlalu. Bilangan pelajar
melonjak ke hampir tengah dua ribu. Pelbagai dugaan datang menguji
kewibawaanku. Terima kasih warga BUDIMAN atas sokongan kepadaku..
Kini aku berada
pula di SMK@@@@, menggalas misi baru di sekolah yang sudah dinobatkan sebagai
sekolah cemerlang. Apa lagi yang aku mahu? Skor komposit melebihi 65peratus, ranking di bawah 400, berada di kelompok
band 3 dan kumpulan 18 peratus ke atas dari lebih 2 ribu
sekolah menengah seluruh Malaysia. Tugasku sekarang ialah memperbaiki prestasi
ke tahap lebih tinggi. Aku sudah menetapkan KPI baru dan yakin boleh
dicapai.Tetapi hati kecilku amat sayu. Benarlah kata Pak Lah, mantan PM
kita..”yang baru tetap di sayang, yang lama tetap dikenang..” Jurang dengan
SMK^^^ yang kutinggalkan agak jauh, namun mereka ada peluang untuk terus maju.
Tetapi SMK#### bagaimana? Mampukah rakan-rakanku menggalas tanggungjawab
melonjakkannya ke kelompok bawah seribu? Pilu hatiku melihat jurang yang
terlalu lebar. Kalau boleh aku mahu semua pelajar berada di tahap yang hampir
sama. Namun aku tak mampu..belum mampu...Tenaga dan usia pun semakin senja. Wajarkah
aku melihat saja...?
Lalu aku memasang
strategi, demi kemajuan diri anak-anak didikku, staf dan guru-guruku. Aku mahu
mereka menjadi modal insan yang berjaya, sejahtera dan bahagia. Naluri seorang
ibu dan roh seorang guru aku gemblengkan. Selagi hayat dikandung badan, amanah
ini akan kuteruskan, Insya Allah...
Isnin: 31 Mei 2010
Hari ini pula
berlangsungnya Pelancaran Hari Guru Peringkat Daerah Kota Setar. Aku menghantar
dua orang PK untuk menggantikan aku naik ke pentas bagi menerima 2 anugerah:
Anugerah Sekolah Cemerlang dan Anugerah SPM
Cemerlang. Aku beri laluan kepada PK kerana aku mahu mereka bersedia sebagai
“future leader”. Teori sahaja tidak cukup bermakna. Mereka mesti belajar dari
pengalaman....
Selasa: 1 Jun 2010
Pagi-pagi lagi aku
sudah berada di Dewan Iskandar, Kolej Sultan Abdul Hamid, bersedia untuk keberangkatan KDYMM Tuanku Sultan dan Tuanku
Sultanah ke satu-satunya sekolah berusia melebihi 100 tahun di negeri ini.
Sekolah yang telah melahirkan begitu banyak pemimpin termasuk KDYMM Tuanku dan
adindanya sendiri, mantan PM pertama dan keempat serta barisan cendikiawan,
ulama, ketua hakim, panglima tentera, usahawan dan sebagainya menjadikan aku
sekali lagi berasa kerdil. Kini aku rasakan jauh lagi cerun yang perlu kudaki.Mungkinkah
aku dapat merapati? Kembang dadaku melihat ahli-ahli alumninya pulang berkumpul
di alma maternya. Bertuahnya
guru-guru mereka melihat anak-anak didik mereka kini begitu ternama. Aku mesti
mencuba...kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya...
Rabu: 2 Jun 2010
Jam 8.00 malam aku
bersama 4 orang AJK Majlis Pengetua Cemerlang Kebangsaan (MPCK) berada di bilik
215 IAB Genting Highland untuk melaksanakan Program Jururunding Kepengetuaan
(PJK) bersama pengetua-pengetua yang baru dilantik. Kami memain peranan sebagai
fasilitator, berbincang untuk menangani isu-isu yang dihadapi dalam urusan
kerja pengetua. Aku rasa walau pun baru pertama kali terlibat, namun aku sudah
mula berazam..ini satu lagi pentas untuk aku membantu mereka sebagai pemimpin
yang sentiasa beriltizam untuk memajukan sekolah... dan seterusnya anak didik
masing-masing...agar jurang itu dirapatkan se Malaysia...
Tugasku sebagai
guru belum selesai...
Memoirku juga pasti
akan lebih panjang...
Khamis: 3 Jun 2010.
No comments:
Post a Comment