12 April, 2011

Bukan di sini noktahnya. (Dedikasi buat cikgu Azeyan)

Guruku...
Mungkin esok kalibatmu sudah tiada di daerah ini,.
daerah yang mewarnai kehidupanmu selama ini..dengan segala suka dukamu.
Mungkin esok kami termangu-mangu mencari bebayangmu..yang kian jauh...
Mungkin jua...senyuman manismu bakal kami rindui.
yang pasti hanyalah terngiang-ngiang suara lunakmu,
mendidik kami dengan angka-angka,
mengajar kami mengira,
memberi kami latihan demi latihan....
Terkadangkala nada lembut bertukar marah,..
Itulah nilai kasih sayang yang indah.

Guruku...
Mungkin esok kau sudah hilang dari pandangan..
meneruskan perjalanan tarbiahmu..
Ingatilah kami di sini...daerah yang membalut pahit manis kehidupan kita.
Kami sayangkan cikgu.
kami rindukan cikgu
Pergimu kami ratapi dalam diam.....tiada pengganti!

Guruku..
Bukan di sini noktahnya..sebuah perjalanan hidup seorang pejuang..
kami tahu semangatmu kental membelah zaman,
meredah duri ranjau pengorbanan dalam kehidupan..
semoga kembaramu semakin indah....
selagi gelaran keramat "cikgu" kekal terpahat...
kau pasti terus memerah keringat tanpa penat.
kerana kami percaya, kau insan penuh tekad,
bagimu bukan di sini noktahnya...
Perjuangan jihadmu  belum tamat..
kerana itulah sumpah insan terhormat.


P/S : Sajak dicipta buat seorang insan yang banyak menabur bakti di SMKSMAB sebagai guru yang gigih menjalankan tugas sehingga ke detik terakhir persaraannya. Selamat bersara diucapkan buat cikgu Azeyan Bt Baharom.  Didoakan kehidupanmu beroleh rahmat dan perlindungan Allah selamanya. Terima kasih.
Related Posts with Thumbnails