16 March, 2011

Cerita tentang kuda.....(versi Mr Teoh Chia Chai)


Al-kisah cerita ini berlaku di sebuah kampung. Pak Ali memelihara 4 ekor kuda jantan. Kuda ini dinamakan dengan Kuda A, Kuda B, Kuda C dan Kuda D. Pak Ali melatih kuda-kuda ini bagi membantunya  dalam aktiviti seharian. Setelah  puas melatih dengan pelbagai tugas rutin, Pak Ali mula membuat penilaian.





Mula-mula beliau menguji Kuda A, dengan berpakaian untuk ke pasar, beliau membawa bersamanya bakul sayuran dan dihampirinya Kuda A. Kuda A faham lalu dibawanya Pak Ali ke pasar. Sebelah petangnya Pak Ali berpakaian lusuh untuk ke ladang, sekali lagi tanpa sebarang masalah Kuda A berlari dengan kencang ke ladang milik Pak Ali. Pak Ali puas hati dan memuji Kuda A. Pendduk kampung itu juga memuji Kuda A. Mereka menggelarnya Kuda Ajaib.
Hari ke 2, Pak Ali menghampiri Kuda B. Pak Ali ingin ke pasar. Beliau membawa bakul sayuran bersamanya. Kuda B melihat Pak Ali namun tidak memperdulikan tuannya itu. Pak Ali mendekati Kuda B lalu menggosok-gosok belakangnya, barulah Kuda B tunduk serta membenarkan Pak Ali menunggangnya. Pak Ali sampai ke pasar dengan selamat tetapi agak terlewat, walaupun begitu pak Ali bersyukur dan memanggil kuda B dengan panggilan Kuda baik.
Keesokan harinya, Pak Ali  berniat menguji Kuda C pula, beliau berpakaian lengkap untuk ke pejabat pos.  Pak Ali mendekati Kuda C namun Kuda C langsung tidak memperdulikan tuannya malah cuba melarikan diri.  Pak Ali terpaksa memujuk dengan mengambil masa yang agak lama. Kuda C masih juga bersikap acuh tak acuh. Melihat pak Ali hilang sabar dan memegang rotan untuk memukulnya, barulah dia membawa Pak Ali ke pejabat pos dengan perlahan-lahan. Pak Ali tiba lewat ke pejabat pos pada hari itu. Melihat sikap Kuda C yang malas itu, mereka menganggapnya ia adalah kuda biasa yang tiada sebarang keistimewaan. Hanya membuat sesuatu apabila dipaksa sahaja.
Kini tibalah giliran Pak Ali menguji Kuda D. Dihampirinya kuda ini dengan pakain untuk ke ladang, namun Kuda D merengus-rengus. Pak Ali memujuk dengan mengosok belakangnya dan meminta kuda itu membawanya ke ladang, Kuda D tiba-tiba mengangkat kaki hadapannya dan menjerit seolah-olah tidak mahu mendengar perintah Pak Ali. Pak Ali mengambil sebilah rotan lalu melibas belakang Kuda D. Kuda D masih berdegil. Pak Ali merotan lagi berkali-kali namun usahanya tidak berhasil, Kuda D tetap berdegil. Pak Ali menggosok lagi belakang kuda itu namun beliau hanya membuang masa. Beberapa penduduk kampung yang melihat sikap kuda itu memanggilnya dengan gelaran kuda teruk.  Pak Ali menganggap kuda itu tidak memberi manfaat lalu menjualnya.
Begitulah perumpamaan yang dapat diperihalkan kepada 4 jenis sikap manusia, terlalu sedikit kuda ajaib yang ada, mungkin kita  selalu  jumpa  kuda baik, namun yang paling banyak adalah kuda biasa serta kuda yang teruk.. Mahukah kita digolongkan dalam kategori kuda biasa dan kuda teruk,.tepuk dada tayalah hati,.jika tidak terdaya menjadi kuda ajaib,..sekurang-kurangnya jadilah kuda yang baik yang positif melakukan kebaikan.
Dalam konteks kehidupan seorang pelajar pula, kuda ajaib merujuk kepada sikap pelajar yang mempunyai kendiri yang positif, tahu apa yang perlu dilakukan tanpa perlu disuruh-suruh. Hindarilah bersikap seperti kuda teruk yang jika diberi arahan dan nasihat namun tidak mahu menurutnya malah dilawannya dengan penuh sombong. Semoga cerita kuda ini memberi iktibar buat kita semua khususnya pelajar sekelian.
****cerita ini disampaikan oleh Mr Teoh Chia Chai, seorang guru yang komited di SMKSMAB semasa perhimpunan rasmi sekolah. Terima kasih Mr Teoh. Motivasi yang santai namun bermisi******
Related Posts with Thumbnails