05 July, 2012

Kejohanan Sukan dan Balapan SMKSMAB kali ke 25

Selasa (3 hb Julai 2012), telah berlangsung Kejohanan Balapan dan Padang kali ke 25 SMK Syed Mohamed Al-Bukhary bertempat di Stadium Darulaman. Upacara perasmian dijalankan oleh Dato' Mohd Yusof Bin Ismail, Pengarah Urusan Syarikat Usima Group Sdn Bhd tepat pada jam 2.30 petang. Temasya sukan kali ini amat bersejarah kerana berlangsung dalam keadaan hujan, walaupun begitu ketabahan semua yang terlibat terutama para peserta sukan dan perbarisan amat mengkagumkan.

Kejohanan kali ini dimenangi oleh Rumah Al-Ghazali, tempat kedua Rumah Al-Khawarizmi, tempat ketiga pula Rumah Al-Farabi dan tempat keempat dimiliki oleh Rumah Al-Tarmizi.
Kejohanan tetap meriah walaupun hujan renyai-renyai

Perarakan masuk bendera kejohanan.
Johan Rumah Sukan 2012 - Rumah Hijau (Al-Ghazali)

Dato' Mohd Yusof Bin Ismail, Pengarah Urusan Syarikat Usima Group Sdn Bhd menerima cenderahati daripa Tuan pengetua dan YDP PIBG sebagai tanda penghargaan atas kesudian beliau merasmikan acara Sukan 2012.


25 June, 2012

Anugerah Pengurusan PIBG Cemerlang


Buat pertama kalinya  SMK Syed Mohamed Al-Bukhary telah berjaya membawa bendera negeri Kedah Darulaman dalam Pertandingan Pengurusan PIBG Cemerlang Kategori Sekolah Menengah Bandar.  Pertandingan dan penilaian di peringkat Daerah Kota Setar telah dilaksanakan pada 1 hb Februari 2012. Seterusnya, PIBG SMK Syed Mohamed Al-Bukhary telah diberi tugasan  yang lebih mencabar iaitu mewakili daerah Kota Setar ke pertandingan di peringkat negeri. PPD Kota Setar turut bekerjasama memberi buah fikiran bagi memantapkan persediaan bagi dinilai sekali lagi pada 07 hb Februari 2012. Sekali lagi kegembiraan menyelubungi seluruh warga sekolah apabila PIBG SMK Syed Mohamed Al-Bukhary  berjaya dinobatkan sebagai Johan.

Pengetua SMK Syed Mohamed Al-Bukhary, Puan Hajah Dewi Rosnah Bt Radin Suhadi menerima  Anugerah Pengurusan PIBG Cemerlang Peringkat Daerah Kota Setar dalam perhimpunan bulanan PPD Kota Setar pada 4 Mac 2012.

Sijil Kemenangan di peringkat daerah

Pada sambutan Perayaan Hari Guru 2012 yang telah dilangsungkan pada 21 Mei 2012, pihak sekolah sekali lagi telah diberikan sijil sebagai pengiktirafan rasmi untuk Pemenang Anugerah PIBG Cemerlang Peringkat Negeri 2012 bagi Kategori Sekolah Bandar.

Sijil kemenangan di peringkat negeri.
Seterusnya PIBG SMK Syed Mohamed Al-Bukhary dengan slogan “Guru dan Waris Berpisah Tiada” telah mewakili negeri Kedah Darul Aman ke Pertandingan Pengurusan PIBG Cemerlang peringkat kebangsaan.

Tuan Pengetua SMK Syed Mohamed Al-Bukhary Puan Hajah Dewi Rosnah Bt Radin Suhadi dan wakil PIBG Encik Anuar menerima penghargaan.

Banyak projek PIBG yang berjaya dilaksanakan, antaranya ialah Anjung Al-Bukhary, Gelanggang Serbaguna PIBG, Arena Al-Bukhary, serta yang terkini menaik taraf Surau Al-Bukhary dengan kemudahan penghawa dingin dan kemasan jubin.


Taman Orkid
Projek Anjung Al-Bukhary

Gotong royong di persekitaran sekolah
Walaupun tidak berjaya mendapat tempat utama namun pengalaman dan kejayaan yang dicapai setakat ini amat membanggakan. Pelbagai aktiviti yang telah dan akan terus dijalankan bagi menjadikan badan ini satu landasan bagi memajukan sekolah khasnya memanfaatkan faedah terhadap pelajar dan masyarakat. Tahniah PIBG SMKSMAB. Usaha Sinar Kejayaan.

Layari maklumat lanjut mengenai aktiviti PIBG SMK Syed Mohamed Al-Bukhary
http://pibgmybukhary.blogspot.com/search/label/AJK%20PIBG

20 June, 2012

Lawatan Kerja & Amal Unit Kemanusiaan yang berjaya

Pada hari Rabu 20 Jun 2012 lalu, satu lawatan kerja dan amal telah dilaksanakan oleh sekumpulan 40 pelajar bersama 4 guru pembimbing. Lawatan ini dianjurkan bersama oleh Unit Kemanusiaan SMKSMAB yang disertai oleh Panitia Perdagangan, Pendidikan Sivik dan Pendidikan Moral.
Lawatan bermula seawal jam 7.30 pagi, dan sampai ke destinasi pertama di Beris, Sik Kedah. Kami dibawa melawat ladang-ladang milik Koperasi Pembangunan Beris Sdn Bhd iaitu ladang lembu, ladang kambing dan Pusat ternakan ikan dalam sangkar.

Para pelajar sangat supportif,...mereka memberikan kerjasama yang sangat memuaskan.

Pengalaman pertama menaiki lori sangat mengujakan.

Taklimat yang menarik telah diberikan oleh Lembaga Pengurusan Koperasi Beris Sdn Bhd.
Pelajar telah diberi taklimat mengenai perjalanan koperasi oleh AJK Pengurusan Koperasi.
Selepas taklimat, guru-guru dan pelajar dibawa melawat ke kandang lembu dan kambing milik koperasi.
Pihak sekolah dan koperasi saling bertukar cenderahati sebagai tanda penghargaan dan ingatan. Puan Jaliah Bt Juewani sebagai Guru Kanan Kemanusiaan mewakili SMKSMAB manakala pihak Koperasi Pembangunan Beris Bhd diwakili oleh Pengurusnya sendiri iaitu Tuan Haji mansor B Ismail.
Penghargaan khas diberikan kepada Pengarah Projek iaitu Mohd Shahmi dari Tingkatan 4 Ibnu Hauqal yang berjaya menguruskan lawatan ini dengan cemerlang.

Mengabadikan kenangan di kandang lembu Fidlot milik koperasi, suatu pengalaman yang tidak mungkin dilupakan.


Selepas bersantai di ladang lembu dan ladang kambing, kami dibawa pula ke Pusat Ternakan Ikan dalam sangkar. Kami dihidangkan dengan makanan berasaskan ikan peliharaan sendiri. Antara menunya ialah ikan tilapia goreng dan gulai ikan keli. Kami berada di sana sehingga jam 3.00 petang. Pengalaman berada di ladang dan pusat ternakan ikan telah memberikan satu pengalaman yang sangat bermakna.

>Selepas itu kami meneruskan lawatan ke Rumah Seri Kenangan di Bedong. Rumah perlindungan ini merupakan pusat jagaan orang-orang tua di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sejurus sampai di Rumah Seri Kenangan, taklimat ringkas diberikan sebagai suatu panduan umum kepada pelawat. Antara larangan yang dikenakan ialah tidak boleh mengambil sebarang gambar bersama penghuni di dalam wad.
Pihak sekolah menyampaikan cenderahati sebagai membalas budi kepada pihak rumah Seri Kenangan yang sudi memberikan kerjasama. 
Puan Rafiah Bt Beiji sebagai Ketua lawatan, diiringi Puan Jaliah Bt Juewani, Guru Kanan Kemanusiaan serta Puan Siti Ajar Bt Yaakob (Ketua panitia Pendidikan Moral) bergambar kenangan di rumah Seri Kenangann. Banyak pengajaran yang boleh memberi iktibar. Para pelajar dapat melihat sendiri bagaimana kehidupan para penghuni yang pelbagai ragam. Ramai yang menitiskan air mata kesedihan kerana tidak tahan mendengar cerita dan rintihan "ibu bapa" yang kebanyakkannya tidak mendapat pembelaan daripada anak sendiri.

Terima kasih kepada semua yang terlibat, sesungguhnya pengalaman ini amat bernilai dan tidak mungkin didapati jika tidak berkesempatan melihat sendiri. Sesungguhnya lawatan ini menepati objektif yang diinginkan. Tahniah kepada penganjur dan pelajar.


23 May, 2012

"Memoir Seorang Guru"


Cerpen ini dikisahkan semula ceritanya pada Sambutan Hari Guru SMKSMAB 2012 pada 16 Mei 2012.

MEMOIR SEORANG GURU. 
oleh Puan Hajah Dewi Rosnah Bt Radin Suhadi


Ahad: 16 Mei 2010.
Seluruh negara meraikan Hari Guru. Bagiku ini adalah kali pertama aku meraikannya bersama-sama pasukan  SMK @@@@ yang baru ku terajui semenjak 3 bulan lalu. Kelainan? Memang ada. Benarlah kata orang tua-tua, lain padang lain belalang. Namun masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguaklah aku...
Pagi itu dimulakan dengan perhimpunan di Dewan Iltizam. Pelajar-pelajarku berselawat sementara menunggu ketibaanku. Bagiku, ini adalah cara yg amat praktikal untuk mengelakkan mereka  berbuat bising yang pastinya akan membingitkan dewan tertutup itu. Mana tidaknya, 70 peratus pelajar-pelajarku adalah lelaki yang aktif dan cergas. Namun sebaik sahaja aku melangkah masuk, Awal, (nama gelaran yang kuberikan kerana wajahnya mirip Awaluddin Shaari, artis dan  personaliti TV) ketua platun KRS memberi arahan bersedia. Selalunya pelajar-pelajarku akan terus senyap untuk acara seterusnya, nyanyian Negaraku, tetapi hari ini mereka memberi tepukan gemuruh sebaik sahaja aku menaiki tangga pentas. Rasanya aku semakin dekat di hati mereka....
Acara berjalan lancar dan meriah. Namun ucapanku sebagai pengetua pagi itu tidak begitu menjadi. Aku  ingin mengungkap semula kenanganku bersama guruku semasa aku di SM%% Chemor, Perak (1971 – 1974). Kisah benar ini selalu meruntun perasaanku setiap kali 16 Mei menjelma dan begitu menyentuh perasaan guru-guru dan pelajar-pelajarku ketika aku mengisahkannya dalam ucapan Hari Guru di SMK #### ( 2003 – 2007). Ingin aku ulangi pengkisahan ini tadi, tetapi ......NKRA pula menjadi topik utama...
Sebaik sahaja tamat perhimpunan, aku membaca pelbagai ucapan melalui sistem pesanan ringkas. Satu daripadanya, oleh Cikgu Rusnani dari SMK ####, sekali lagi mengusik hatiku. “Perhimp baru slsai.Tngat cta cikgu dulu2 dlm perh. Skrg xdak lg cita mcm tu. Smat hari guru-nani.”
Rupa-rupanya kisah itu juga memberi kesan kepada orang-orang yang sentimental seperti aku. Ketika guru-guru dan pelajar-pelajarku bersukaneka, aku yang masih bimbang akan kecederaan tulang sakrum hanya duduk memerhati gelagat mereka. Namun, mesej dari Cikgu Nani mengimbas memoirku..menyesal aku tak mengkisahkannya dalam ucapan ku tadi.........

                                       ***************************************

SM%% Chemor, Perak (1971).
Ketika itu aku berada di Remove Class A, wujud seorang guru Bahasa Melayu. Cikgu N. Lelaki awal 30an. Agak hensem walaupun rendah orangnya. Masih bujang kelana. Agak bergaya menaiki vespa birunya. Tampak lebih ceria dengan kemeja putih dan seluar khaki. Sepanjang ingatanku itulah pakain rasminya setiap hari. Rambutnya di sikat ke depan bagi menutup dahi yang semakin  meluas. Istimewanya? Dia ambil berat. Sangat ambil berat terhadap kami terutama pelajar perempuan yang baru nak “kembang”. Cakapnya tak banyak. Jelingnya yang tajam penuh makna yang kami tafsir sendiri. Lawaknya bersahaja. Anehnya, jika kami pecah perut ketawa, dia buat muka selamba. Senyum pun tidak. Mahalnya? Bila dia menegur kami sekali sekala.. berhari-hari kami teruja! Kegigihannya? Memastikan dia berada dalam kelas bila tiba waktunya dan berceloteh walaupun stailnya hanya duduk di meja! Inovasinya? Mengumpulkan buku-buku cerita dan memaksa kami membaca. Masa itu belum ada istilah inovasi dan program NILAM tetapi ketika itulah aku meneliti Hikayat Malim Deman, Hikayat Hang Tuah dan Tun Kudu. Anehnya? Sebaik sahaja buku Tun Kudu selesai ku baca dan balut, dia berpesan..”Kalau berlaku apa-apa pada cikgu esok jangan terkejut”. Kami senyap sekelas. Waktu itu, mana berani bertanya mengapa...
Esoknya Cikgu N tiada di sekolah. Kami gempar  bila dimaklumkan beliau bertukar balik ke kampungnya di Teluk Intan. Waktu itu mana ada telefon kecuali di sekolah. Namun  beberapa hari berselang beliau mengutus surat untuk kami. Aku membalasnya dalam bahasa Inggeris.
Dear Sir, I am writing in this foreign language to show my talent ..... dan dibalas olehnya; ...your English is flawless...terkial-kial aku membelek dictionary mencari maksud flawless itu. Kami menjadi semakin akrab. Kemajuan pelajaranku dipantau. Hadiah penghargaan dikirim setiap kali aku maklumkan keputusan akhir tahun,  LCE, MCE dan  sehingga aku berada di Tahun 2 UTM (1978),  beliau datang menjengukku di asrama (masih berkemeja putih). Pesannya, nanti dah jadi cikgu,  jadilah cikgu yang baik....Itulah kali terakhir kami bertemu.
Aku menjemputnya ke majlis perkahwinanku pada tahun 1980. Selepas itu kesibukan menguruskan rumah tangga dan urusan sekolah menjadikan aku sepi tanpa berita. Namun  selepas hampir 20 tahun kemudiannya, aku seringkali teringatkan beliau. Aku ingin sekali memberitahunya bahawa aku sudah menepati pesannya untuk menjadi guru yang baik dan ingin sekali menemuinya. Namun  di mana beliau berada? Kesal sungguh aku kerana tidak berkomunikasi selama  ini. Akhirnya, atas cadangan suamiku, aku pun mulakan misi menjejaki. Beberapa buah sekolah di daerahnya ku hubungi namun gagal. Aku menjejakinya pula melalui PPD dan PKG. Seorang pegawai, rasanya orang lama di PPD memberikan aku nombor telefon isterinya. Alangkah gembiranya aku. Aku ingin benar mendengar suaranya. Aku ingin bercerita panjang. Banyak yang cikgu N pesan dan buat sudah aku ulang tayang. Aku yakin beliau pasti bangga dengan kejayannku meneruskan amanatnya.
Panggilan ku dijawab oleh seorang wanita, juga seorang guru. Rancak aku memperkenalkan diri. Akhirnya aku minta untuk bercakap sendiri dengan Cikgu N. Dengan perlahan dia menjawab..”maaf..dia sudah tiada..baru beberapa bulan..leukemia..tapi sebelum itu memang dia ada menyebut nama anak muridnya...Dewi..” Sedihnya aku, sebak dan bertambah kesal kerana lalai menghubunginya sebelum ini. Rasa berdosa juga kerana seolah-olah melupakannya. Terkilan kerana tidak pernah menitipkan apa-apa tandamata setelah aku bekerja. Sayang semuanya sudah terlambat.Kini segalanya tak boleh diulang lagi, namun jasanya tetap ku kenang. Semangatnya ku teruskan. Jasanya ku  abadikan. Maafkan saya cikgu.
Aku akhiri pengkisahan ini dengan berpesan kepada seluruh warga SMK####  ketika itu agar sentiasa menghormati dan menghubungi bekas-bekas guru mereka terutama pada Hari Guru. Ramai di kalangan mereka yang berjaya menjejakiku di ruang maya dan ada yang menganggapku sebagai idola.Terkedu aku. Terima kasih kepada semua yang menghantar ucapan untukku. Terlalu banyak sehingga aku tak mampu membalasnya.
Lamunanku terhenti apabila guru-guru dan pelajar-pelajar masuk semula ke dewan untuk acara persembahan.

                                     **********************************
Isnin: 24 Mei 2010.
Pelancaran Hari Guru Peringkat Negeri Kedah berlangsung di Dewan Besar, IPGM Kampus Darulaman. Sambutan tahun ini lebih istimewa bagiku. Pertama;  tokoh guru tahun ini adalah  calon yang kucadangkan melalui PKPSM Kedah. Beliau adalah mantan ketua jabatanku. Bagiku inilah satu cara aku mengingatinya yang telah lama bersara. Kedua; setelah pencalonan berjaya, aku terlibat secara langsung bersama Sektor Jaminan Kualiti JPN Kedah dalam acara perarakan masuk tokoh guru  untuk menerima anugerah daripada KYDMM Tuanku Sultan. Aku buat persediaan terbaik kerana aku tak mahu pengalaman bersama Cikgu N berulang. Aku mahu menzahirkan penghargaan ini sebelum terlambat. Ketiga; aku sendiri naik ke pentas untuk menerima Anugerah Sekolah Cemerlang Peringkat Kebangsaan Kategori Sekolah  Harian Berasrama Bandar daripada KYDMM Tuanku Sultanah bagi pihak pasukan kerja sekolahku walaupun sebenarnya ia adalah usaha mereka bersama pengetua-pengetua sebelumku.  
Sekali lagi hatiku terusik. Dalam kegembiraan menerima anugerah ini, aku teringat betapa kecilnya aku suatu ketika dahulu. Bertugas sebagai pengetua di SMK #### selama 5 tahun. Sekolah Gred B dengan pelajar 400 orang, mengajar Bahasa Inggeris, rata-rata anak petani. Waktu itu aku hanya mampu menonton rakan-rakan pengetua dan pelajar-pelajar mereka naik turun pentas. Nak bersaing bukan kepalang tetapi padang sentiasa tidak rata, gelanggang sentiasa tidak sama. Bersama pasukan 46 orang, kami berjaya juga meningkatkan imej, reputasi dan prestasi PMR dan SPM setiap tahun sehingga ku mula berasa tepu.
Seterusnya aku diberi tugasan baru di SMK^^^, sekolah harian terbaik di daerah Kubang Pasu. Kali ini terasa berbeza. Segala yang dirancang mampu dijanakan segera. Turun naik pentas juga perkara biasa. Alangkah bertuahnya aku dapat menikmati suasana itu.  Suasana yang telah sekian lama ku impikan. Namun aku tidak pernah lupa SMK####. Terasa jurang prestasi kemenjadian amat berbeza. Ingin sekali aku kongsi segala keistimewaan itu bersama mereka. Dan tiga tahun bagaikan terlalu cepat berlalu. Bilangan pelajar melonjak ke hampir tengah dua ribu. Pelbagai dugaan datang menguji kewibawaanku. Terima kasih warga BUDIMAN atas sokongan kepadaku..
Kini aku berada pula di SMK@@@@, menggalas misi baru di sekolah yang sudah dinobatkan sebagai sekolah cemerlang. Apa lagi yang aku mahu? Skor komposit melebihi 65peratus, ranking di bawah 400, berada di kelompok band 3 dan  kumpulan 18 peratus ke atas dari lebih 2 ribu sekolah menengah seluruh Malaysia. Tugasku sekarang ialah memperbaiki prestasi ke tahap lebih tinggi. Aku sudah menetapkan KPI baru dan yakin boleh dicapai.Tetapi hati kecilku amat sayu. Benarlah kata Pak Lah, mantan PM kita..”yang baru tetap di sayang, yang lama tetap dikenang..” Jurang dengan SMK^^^ yang kutinggalkan agak jauh, namun mereka ada peluang untuk terus maju. Tetapi SMK#### bagaimana? Mampukah rakan-rakanku menggalas tanggungjawab melonjakkannya ke kelompok bawah seribu? Pilu hatiku melihat jurang yang terlalu lebar. Kalau boleh aku mahu semua pelajar berada di tahap yang hampir sama. Namun aku tak mampu..belum mampu...Tenaga dan usia pun semakin senja. Wajarkah aku melihat saja...?
Lalu aku memasang strategi, demi kemajuan diri anak-anak didikku, staf dan guru-guruku. Aku mahu mereka menjadi modal insan yang berjaya, sejahtera dan bahagia. Naluri seorang ibu dan roh seorang guru aku gemblengkan. Selagi hayat dikandung badan, amanah ini akan kuteruskan, Insya Allah...
  Isnin: 31 Mei 2010
Hari ini pula berlangsungnya Pelancaran Hari Guru Peringkat Daerah Kota Setar. Aku menghantar dua orang PK untuk menggantikan aku naik ke pentas bagi menerima 2 anugerah: Anugerah Sekolah Cemerlang dan  Anugerah SPM Cemerlang. Aku beri laluan kepada PK kerana aku mahu mereka bersedia sebagai “future leader”. Teori sahaja tidak cukup bermakna. Mereka mesti belajar dari pengalaman....
 Selasa: 1 Jun 2010
Pagi-pagi lagi aku sudah berada di Dewan Iskandar, Kolej Sultan Abdul Hamid, bersedia untuk  keberangkatan KDYMM Tuanku Sultan dan Tuanku Sultanah ke satu-satunya sekolah berusia melebihi 100 tahun di negeri ini. Sekolah yang telah melahirkan begitu banyak pemimpin termasuk KDYMM Tuanku dan adindanya sendiri, mantan PM pertama dan keempat serta barisan cendikiawan, ulama, ketua hakim, panglima tentera, usahawan dan sebagainya menjadikan aku sekali lagi berasa kerdil. Kini aku rasakan jauh lagi cerun yang perlu kudaki.Mungkinkah aku dapat merapati? Kembang dadaku melihat ahli-ahli alumninya pulang berkumpul di alma maternya. Bertuahnya guru-guru mereka melihat anak-anak didik mereka kini begitu ternama. Aku mesti mencuba...kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya...
Rabu: 2 Jun 2010
Jam 8.00 malam aku bersama 4 orang AJK Majlis Pengetua Cemerlang Kebangsaan (MPCK) berada di bilik 215 IAB Genting Highland untuk melaksanakan Program Jururunding Kepengetuaan (PJK) bersama pengetua-pengetua yang baru dilantik. Kami memain peranan sebagai fasilitator, berbincang untuk menangani isu-isu yang dihadapi dalam urusan kerja pengetua. Aku rasa walau pun baru pertama kali terlibat, namun aku sudah mula berazam..ini satu lagi pentas untuk aku membantu mereka sebagai pemimpin yang sentiasa beriltizam untuk memajukan sekolah... dan seterusnya anak didik masing-masing...agar jurang itu dirapatkan se Malaysia...
Tugasku sebagai guru belum selesai... 
Memoirku juga pasti akan lebih panjang...

Khamis: 3 Jun 2010. 

22 May, 2012

Peperiksaan Pertengahan Tahun 2012

Sejak 2 minggu lepas, semua pelajar dari tingkatan 1 hingga 5 telah menghadapi Peperiksaan Pertengahan Tahun bagi sesi persekolahan 2012. Peperiksaan ini sangat penting bagi menilai semula tahap pemahaman dan pembelajaran pelajar setelah hampir 5 bulan bersekolah.
Peperiksaan bagi pelajar Tingkatan 4 dan 5 dimulakan pada 7 hb Mei manakala bagi pelajar tingkatan 1 hingga 3 bermula seminggu selepasnya iaitu pada 13  Mei 2012.

16 May, 2012

SELAMAT HARI GURU


Orang Haji dari Jeddah
Buah kurma berlambak-lambak
Pekerjaan guru bukanlah mudah
Bagi kerja menolak ombak

16 Mei setiap tahun
Semua pendidik berasa gembira
Guru bersabar pelajar tekun
Itulah rahsia kejayaan bersama

Buah beluru buah sawa
Minta sekati bawa ke darat
Azam guru ke hujung nyawa
Tabur bakti sampai akhirat

Selamat Menyambut Hari Guru Kepada Semua Guru Sek Men Syed Mohamed Al-Bukhary daripada Yang DiPertua dan AJK PIBG. 

SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT SEKOLAH
Bertemakan "Guru Inovatif Melonjakkan Pendidikan Negara", sambutan hari guru di peringkat sekolah telah disambut meriah pada pagi 16 Mei 2012 bertempat di Anjung Mutiara. 
Cuaca yang indah semakin berseri dengan penampilan guru-guru yang berpakaian bertemakan hijau semuanya.
Bermula 7.40 pagi, guru-guru diarak  ke Anjung Mutiara dengan iringan bunga manggar sebagai tanda penghormatan 
Tuan Pengetua, Madam Dewi Rosnah Bt Radin Suhadi mendahului kumpulan guru-guru yang diraikan, diikuti Penolong Kanan Puan Hajah Jamaliah bt Abdul Fatah dan diikuti oleh guru-guru lain.

Selain guru-guru yang diraikan, pihak sekolah juga menjemput wakil dari PIBG dan waris pelajar untuk turut serta merasakan kemeriahan hari mulia ini,.

Acara memotong pulut kuning, turut disertai oleh wakil PIBG, Wakil Staff, Puan Jamaliah serta pelajar bertuah yang menyambut hari lahir pada hari yang sama dengan sambutan hari guru.
Orang pertama yang merasa keenakan pulut kuning...sudah semestinya untuk pengetua yang prihatin dan disayangi oleh semua warga sekolah...

Selepas majlis di Anjung Mutiara, acara diteruskan dengan bacaan yassin bagi memohon keberkatan Allah kepada semua guru-guru samada yang masih hidup ataupun yang telah meninggalkan dunia.

Puan Hajah Sharifah yang mewakili keluarga pengasas sekolah berbesar hati menyampaikan sumbangan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan sebagai tanda prihatin dan galakan kepada mereka.

Pelajar bertuah ini mendapat hadiah basikal untuk memudahkan beliau datang ke sekolah setiap hari.

Semoga guru-guru SMK Syed Mohamed Al-Bukhary bertambah bersemangat untuk menaburkan bakti jasa buat membimbing anak bangsa tanpa rasa jemu walaupun perjalanan sebagai guru semakin mencabar dan berliku. Buat semua pelajar pula, hormatilah para guru seumpama ibu bapa sendiri bagi memastikan kesinambungan ilmu berterusan. Tiada Guru tanpa pelajar dan begitulah sebaliknya..hubungan yang erat ini menjadi budaya SMKSMAB sekian lama. Alhamdulillah.



09 May, 2012

Bengkel Sembelihan SMKSMAB 2012

Status makanan halal semakin menghantui masyarakat Islam dewasa ini. Pelajar-pelajar amat terdedah dengan kebanjiran makanan segera berasaskan daging yang diragui status halalnya. Sehubungan itu Panitia Pendidikan Islam telah mengadakan satu bengkel sembelihan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang cara dan teknik betul bagi menyembelih binatang supaya ianya halalan toiyibbah.

Bengkel ini telah diadakan pada hari Rabu 2 hb Mei 2012, bermula jam 7.30 hingga 2.10 petang di Gelanggang Bola Tampar Asrama SMK Syed Mohamed Al-Bukhary.
Ikutilah rentetan peristiwa yang berlangsung semasa bengkel sembelihan itu dilangsungkan.
Kumpulan pelajar sasaran yang menjadi peserta Bengkel Sembelihan, semua pelajar tingkatan empat 2012.

Cikgu Ezzat sedang membuat demonstrasi bagaimana memegang pisau semasa menyembelih ayam.
3 ekor kambing dan 50 ekor ayam telah dikorbankan dalam bengkel sembelihan kali ini.

Pelajar mempraktikkan teknik menyembelih dengan cara yang betul.
Guru-guru dan pelajar perempuan pula diberi tugas bagi menyediakan rempah ratus masakan..

Penolong Kanan HEM, Cikgu Azizan B Saud serta Cikgu Ezzat turut membantu semasa latihan amali proses penyembelihan 

Tuan Pengetua, madam Dewi Rosnah bt Radin Suhadi bersama Guru Kanan Kemanusiaan Puan Jaliah Bt Juewani dan Guru Kanan Sains & Matematik turut merasa hidangan istimewa para peserta Bengkel Sembelihan 2012.

Semoga aktiviti ini memberi manfaat yang besar buat semua pelajar untuk mempraktikkan teknik sembelihan yang betul nanti. Informasi yang dipelajari melalui aktiviti ini penting untuk mengelakkan kita terus dihantui dengan lambakan makanan yang diragui statusnya. Insyaallah.

08 May, 2012

Bulan Mei bulan penghargaan buat semua...




Bulan Mei setiap tahun diberi jolokan sebagai bulan penghargaan kerana ramai yang diraikan sepanjang bulan ini. Bermula dengan 1 Mei. Hari Pekerja disambut sebagai menghargai jasa semua pekerja di Malaysia. Penghargaan diberikan dalam bentuk pelepasan dari bekerja (bercuti) serta diadakan majlis dan sambutan bagi meraikan para pekerja di seluruh negara.

Hari Wesak pula jatuh pada 5 Mei. Hari Wesak merupakan hari yang penting bagi penganut agama Buddha sebab Wesak Day ni melambangkan Kelahiran, Pencerahan Agung dan Kematian Gautama Buddha. hari Wesak juga diistiharkan sebagai cuti umum.

Hari Ibu diraikan pada 13 Mei setiap hari Ahad pada minggu kedua bulan Mei. Hari Ibu disambut sebagai penghargaan daripada anak-anak kepada ibu yang melahir dan membesarkan mereka. Sebaiknya kaum ibu dimuliakan setiap masa sebagai membalas segala jasa mereka, bukanya pada hari yang ditentukan sahaja. setiap anak wajib menghargai dan memulikan kedua ibu bapa di sepanjang hayat mereka.



16 Mei adalah hari yang paling dinantikan oleh cikgu-cikgu, kerana hari ini adalah hari istimewa buat mereka. Hari Guru adalah hari penghargaan bagi para guru yang telah berpenat lelah mengajar dan mendidik kita. Di negara kita Malaysia, Hari guru disambut lantaran penerimaan Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu oleh cadangan-cadangan yang dikemukakan olen Laporan Jawatankuasa Pelajaran. Tarikh penerimaan cadangan ini ialah pada 16 Mei 1956, maka bermula dari situ kita terus mengambil tarikh itu untuk menyambut sambutan hari guru saban tahun.


Begitulah meriahnya bulan Mei, bulan yang penuh dengan keramaian dan penghargaan. Khas buat semua guru SMKSMAB, diucapkan selamat menyambut Hari Guru.
Related Posts with Thumbnails