09 May, 2012

Bengkel Sembelihan SMKSMAB 2012

Status makanan halal semakin menghantui masyarakat Islam dewasa ini. Pelajar-pelajar amat terdedah dengan kebanjiran makanan segera berasaskan daging yang diragui status halalnya. Sehubungan itu Panitia Pendidikan Islam telah mengadakan satu bengkel sembelihan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang cara dan teknik betul bagi menyembelih binatang supaya ianya halalan toiyibbah.

Bengkel ini telah diadakan pada hari Rabu 2 hb Mei 2012, bermula jam 7.30 hingga 2.10 petang di Gelanggang Bola Tampar Asrama SMK Syed Mohamed Al-Bukhary.
Ikutilah rentetan peristiwa yang berlangsung semasa bengkel sembelihan itu dilangsungkan.
Kumpulan pelajar sasaran yang menjadi peserta Bengkel Sembelihan, semua pelajar tingkatan empat 2012.

Cikgu Ezzat sedang membuat demonstrasi bagaimana memegang pisau semasa menyembelih ayam.
3 ekor kambing dan 50 ekor ayam telah dikorbankan dalam bengkel sembelihan kali ini.

Pelajar mempraktikkan teknik menyembelih dengan cara yang betul.
Guru-guru dan pelajar perempuan pula diberi tugas bagi menyediakan rempah ratus masakan..

Penolong Kanan HEM, Cikgu Azizan B Saud serta Cikgu Ezzat turut membantu semasa latihan amali proses penyembelihan 

Tuan Pengetua, madam Dewi Rosnah bt Radin Suhadi bersama Guru Kanan Kemanusiaan Puan Jaliah Bt Juewani dan Guru Kanan Sains & Matematik turut merasa hidangan istimewa para peserta Bengkel Sembelihan 2012.

Semoga aktiviti ini memberi manfaat yang besar buat semua pelajar untuk mempraktikkan teknik sembelihan yang betul nanti. Informasi yang dipelajari melalui aktiviti ini penting untuk mengelakkan kita terus dihantui dengan lambakan makanan yang diragui statusnya. Insyaallah.

08 May, 2012

Bulan Mei bulan penghargaan buat semua...




Bulan Mei setiap tahun diberi jolokan sebagai bulan penghargaan kerana ramai yang diraikan sepanjang bulan ini. Bermula dengan 1 Mei. Hari Pekerja disambut sebagai menghargai jasa semua pekerja di Malaysia. Penghargaan diberikan dalam bentuk pelepasan dari bekerja (bercuti) serta diadakan majlis dan sambutan bagi meraikan para pekerja di seluruh negara.

Hari Wesak pula jatuh pada 5 Mei. Hari Wesak merupakan hari yang penting bagi penganut agama Buddha sebab Wesak Day ni melambangkan Kelahiran, Pencerahan Agung dan Kematian Gautama Buddha. hari Wesak juga diistiharkan sebagai cuti umum.

Hari Ibu diraikan pada 13 Mei setiap hari Ahad pada minggu kedua bulan Mei. Hari Ibu disambut sebagai penghargaan daripada anak-anak kepada ibu yang melahir dan membesarkan mereka. Sebaiknya kaum ibu dimuliakan setiap masa sebagai membalas segala jasa mereka, bukanya pada hari yang ditentukan sahaja. setiap anak wajib menghargai dan memulikan kedua ibu bapa di sepanjang hayat mereka.



16 Mei adalah hari yang paling dinantikan oleh cikgu-cikgu, kerana hari ini adalah hari istimewa buat mereka. Hari Guru adalah hari penghargaan bagi para guru yang telah berpenat lelah mengajar dan mendidik kita. Di negara kita Malaysia, Hari guru disambut lantaran penerimaan Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu oleh cadangan-cadangan yang dikemukakan olen Laporan Jawatankuasa Pelajaran. Tarikh penerimaan cadangan ini ialah pada 16 Mei 1956, maka bermula dari situ kita terus mengambil tarikh itu untuk menyambut sambutan hari guru saban tahun.


Begitulah meriahnya bulan Mei, bulan yang penuh dengan keramaian dan penghargaan. Khas buat semua guru SMKSMAB, diucapkan selamat menyambut Hari Guru.

06 May, 2012

BUKHARY Johan PUISI dan LAGU

Tahniah, dalam pertandingan Puisi dan Lagu peringkat Daerah Kota Setar baru-baru ini sekolah SMK Syed Mohamed Al-Bukhary sekali lagi mengharumkan nama sekolah dengan menjuarai pertandingan tersebut.

Barisan pelajar yang berjuang habis-habisan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada sekolah Bukhary. Tahniah

Bergambar kenangan bersama Guru Penolong Kanan Kokurikulum SMKSMAB, Puan Pauziah Bt Ahmad, Turut serta Guru Kanan Bahasa Puan Rohana Bt Yusuff serta Guru Kanan Kemanusiaan Puan Jaliah Bt Juewani. 

Pelajar bersama barisan guru-guru yang bertanggungjawab melatih dan membimbing, terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat. Cikgu Ezat B Omar, Cikgu Ezhar, Cikgu Norazaina Bt Abdul Manan dan Cikgu Azizahwati. Tahniah sekali lagi buat mereka.

Berturutan dengan kejayaan ini, pasukan Puisi dan Lagu  SMK Syed Mohamed Al-Bukhary telah  mewakili daerah Kota Setar ke peringkat negeri. Pertandingan telah diadakan di SMK Sungai Layar di Sungai petani pada 3 Mei 2012 yang lalu.   Dalam pertandingan itu SMKSMAB telah berjaya mendapat tempat ke 3 keseluruhan.  Tahniah sekali lagi.


Kelihatan Puan Azizahwati dan Puan Norazaina sebagai guru pembimbing pasukan sekolah bergambar bersama para pelajar yang telah berjaya meraih tempat ke 3 keseluruhan di peringkat negeri baru-baru ini.

Insyaallah di tahun hadapan, usaha kita akan diperkenankan untuk meraih gelaran juara. Amin. Kepada semua pelajar, pihak sekolah merasa bangga dengan kalian semua. Untuk guru-guru yang tidak pernah merasa gusar semasa melatih dan membimbing pelajar., ribuan terima kasih kerana mengharumkan nama sekolah. Terima kasih semua.

02 May, 2012

Ucapan Pengetua SMKSMAB sempena MACA 2012


TEKS UCAPAN PENGETUA 
MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG (MACA)
SMK SYED MOHAMED AL-BUKHARY 2012

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualikum Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera dan salam1Malaysia.
Yang Berusaha, TUAN MANSOR BIN LAT, Pengarah Pelajaran Negeri Kedah Darul Aman.
Yang Berusaha, ENCIK ZAKIMI B. ABDULLAH, Wakil Pegawai Pelajaran Daerah Kota Setar.
Yang Berbahagia, PN. HAJAH SHARIFAH FATIMAH BT. SYED NOR, wakil keluarga allahyarham Tn. Hj. Syed Mohamed Al-Bukhary.
Yang Dihormati , EN. MOHD KAMAL BIN MOHD AKHIR, Yang Dipertua PIBG SMK Syed Mohamed Al-Bukhary
Dif-dif Kehormat,
Pengetua-pengetua dan Guru Besar-Guru Besar serta wakil,
AJK PIBG,  guru-guru, para ibu bapa dan waris,  seterusnya para pelajar yang dikasihi sekalian.
     Syukur alhamdulillah  kerana dengan taufiq dan hidayah-Nya dapat kita semua berkumpul di sini bagi menyempurnakan Majlis  Anugerah Cemerlang Al-Bukhary (MACA) 2012 pada kali ini. Saya dan seluruh warga sekolah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada En. Mansor bin Lat, Tuan Pengarah Pelajaran Negeri Kedah Darul Aman  kerana sudi hadir bagi merasmikan Majlis  Anugerah Cemerlang Al-Bukhary (MACA)  dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pelajar terpilih. Saya juga mengambil kesempatan ini mengalu-alukan kehadiran Pn. Hajah Sharifah Fatimah serta tuan-tuan dan puan-puan ke majlis ini. Sesungguhnya, kehadiran tuan-tuan dan puan-puan sekalian amat bermakna kepada semua warga sekolah ini. Keprihatinan tuan-tuan dan puan-puan sekalian pastinya akan menguatkan lagi semangat serta keazaman kami untuk menyemarakkan lagi pencapaian dan kejayaan sekolah ini.
Hadirin dan hadirat sekalian,
             Sesungguhnya pertemuan kita di Dewan Al-Farabi pada pagi ini amat besar ertinya kepada kami warga SMKSMAB. Kita bukan sahaja akan meraikan anak-anak yang cemerlang dalam pelbagai aspek, tetapi kita juga dapat menyaksikan pelbagai kebolehan anak-anak kita melalui persembahan dan pengurusan majlis. Paling manis hari ini kita dapat bersama Tuan Pengarah yang walaupun pejabat beliau sepelaungan sahaja dari sekolah, namun kehadiran beliau adalah sebagai manifestasi keutamaan yang beliau berikan di celah-celah kekalutan tugas harian.
            Tambah manis lagi, hari ini seluruh warga Al-Bukhary berpeluang sekali lagi untuk bersama-sama ahli keluarga allahyarham Tn. Hj. Syed Mohamed Al-Bukhary sendiri. Untuk itu setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kami rakamkan kepada Yang Berbahagia Pn. HajahSharifah Fatimah bt. Syed Nor yang sentiasa sudi hadir untuk bersama-sama warga Al-Bukhary walaupun pada awalnya Yang Berbahagia Puan Sri Sharifah Zara bt. Dato’ Syed Kechik iaitu isteri Tan Sri Syed Mokhtar dan bonda beliau Hajah Sofiah sendiri berhasrat untuk turut serta  bagi menyerikan majlis ini.
Para hadirin yang diberkati Allah sekalian,
            Dalam kesempatan ini juga, saya bagi pihak seluruh warga Al-Bukhary ingin mengucapkan terima kasih kepada BTPN kerana membenarkan Majlis Anugerah Cemerlang  Al-Bukhary (MACA) 2012 kali ini dijalankan di dewan yang permai ini bersesuaian dengan semangat pemuafakatan JPN, BTPN dan sekolah-sekolah dalam kompleks pendidikan. Memang menjadi impian saya semenjak hadir di sini sebagai Pengetua untuk mengadakan majlis sebegini yang dihadiri oleh seberapa ramai waris pelajar. Namun disebabkan ruang yang masih terhad, kita hanya mampu menjemput sebahagian waris dan jemputan serta mengisi  segenap ruang dewan ini dengan pelajar tertentu sahaja. Disebabkan sambutan para waris yang amat menggalakkan nampaknya, pihak sekolah perlu mengubah venue pada tahun hadapan ke dewan yang lebih besar.
Hadirin yang dihormati sekalian,
            Tema MACA pada tahun ini ialah  ” Al-Bukhary Selamanya” atau ”Forever Bukharians ”. Tema ini dipilih bagi menanamkan rasa cinta dan patriotisme seluruh warga sekolah terhadap organisasi ini. Bermula daripada keterbilangan allahyarham Tn. Hj. Syed Mohamed Al-Bukhary sendiri pada masa hayatnya, maka sewajarnya guru-guru, staf, waris dan anak-anak yang pernah bernaung, berurusan, dan dewasa di sini mengekalkan ciri-ciri keterbilangan tersebut. Hal ini dapat diterjemahkan melalui pengurusan yang cekap dan telus, PDP yang efektif dan berkesan, aktiviti HEM dan kokurikulum yang kreatif dan efisien, seterusnya membuahkan hasil seperti yang tercatat dalam buku program hari ini. Tahniah diucapkan kepada anak-anak Al-Bukhary yang berjaya ditampilkan sebelum ini, hari ini dan juga untuk masa-masa akan datang. Sesungguhnya anda semua ialah khalayak kami. Mendidik, membimbing, dan melayani segala kerenah dan ’feel’ anak-anak Al-Bukhary adalah tanggungjawab kami para guru. Namun sebelum itu tidak lupa saya ucapkan setinggi-tinggitahniah dan terima kasih kepada para waris yang begitu ikhlas memberi kerjasama dan kepercayaan kepada kami untuk melaksanakan tugas sehingga mencapai kejayaan yang melebihi sasaran antaranya:
i)          Memastikan anak-anak tiba di sekolah sebelum 7.30 pagi dan peratus purata kehadiran pelajar setiap hari melebihi 96%.
ii)       Memastikan anak-anak memakai uniform lengkap setiap hari Selasa dan mengambil mereka tepat pada masanya selepas aktiviti kokurikulum dan kelas tambahan.
iii)     Menyelesaikan segala urusan dan sumbangan PIBG dengan rekod kutipan melebihi 95%  dan kehadiran mesyuarat PIBG serta SISWA     (Sesi Interaksi Bersama Waris) sentiasa melebihi 85%.
Hadirin yang dimuliakan,
           MACA kali ini bertambah meriah dan bermakna kerana selain kualiti peratus dan gred purata (GP) PMR dan SPM yang jauh lebih baik pada tahun ini, pihak pengurusan  berjaya menampilkan beberapa kategori anugerah tambahan bagi mengiktiraf pencapaian warga Al-Bukhary. Antaranya:
i)        Anugerah Kembara Al-Bukhary disampaikan kepada warga Al-Bukhary yang telah berkhidmat di sekolah ini lebih dari 30 tahun.
ii)       Anugerah Kehadiran Penuh disampaikan kepada pelajar-pelajar yang hadir 100% bermula bulan Januari 2011 hingga Mac 2012.
iii)     Anugerah Bakti Al-Bukhary disampaikan kepada warga SMKSMAB yang telah menunjukkan kewibawaan dan kepelbagaian  serta mencapai prestasi yang membanggakan dalam tugas-tugas khas yang diberikan.
iv)     Anugerah Lestari Murni Al-Bukhary disampaikan kepada pelajar serba boleh (all-rounder) yang mengekalkan prestasi yang membanggakan dalam pelbagai bidang.
v)      Anugerah Lestari Budi Al-Bukhary disampaikan kepada pelajar yang telah menunjukkan kerjasama yang padu dalam setiap aktiviti sekolah.
vi)     Anugerah Tn. Hj. Baharudin b. Abdul Majid disampaikan kepada pelajar asrama yang menunjukkan prestasi yang membanggakan dalam pelbagai bidang.
Paling manis buat pertama kalinya kita juga menyampaikan Anugerah Pencapaian Khas Al-Bukhary kepadaPIBG SMKSMAB kerana telah berjaya menjadi Johan Pengurusan PIBG Cemerlang Peringkat Daerah Kota Setar dan Negeri Kedah Darul Aman bagi kategori Sekolah Menengah Bandar dan seterusnya dipilih mewakili negeri Kedah Darul Aman ke peringkat kebangsaan.Tentunya kejayaan sebegini sukar untuk diulangi. Lebih istimewa AnugerahPermata Al-Bukhary juga disampaikan khusus bagi meraikan bekas pelajar SMKSMAB yang berjaya mengharumkan/menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa. Tahun ini Anugerah Permata Al-Bukhary disampaikan kepada ’bukharians’ yang telah menjulang nama negeri dan negara dalam arena bola sepak. Pada tahun-tahun akan datang, mungkin anugerah akan disampaikan pula kepada kumpulan usahawan, pengurusan tertinggi, pemimpin dan sebagainya. Sehubungan itu, saya mengambil kesempatan di sini merakamkan ucapan terima kasih daun keladi kepada semua penaja/penyumbang anugerah.
Khas kepada keluarga allahyarham Tn. Hj. Syed Mohamed Al-Bukhary, Saya mewakili seluruh warga SMK Syed Mohamed Al-Bukhary ingin menyatakan penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga daripada pihak kami atas segala sumbangan kewangan yang telah diberikan dalam membantu pembangunan dan penambahbaikan prasarana sekolah pada tahun ini . Antaranya, sumbangan sebanyak RM 27,405.70  untuk menaik taraf Surau Al-Bukhary, RM 10,000.00  sebagai bantuan persekolahan kepada pelajar-pelajar miskin dan RM 1300.00 untuk MACA 2012 ini.
Buat anak-anak yang berjaya meraih anugerah pada hari ini pula,
         Tahniah dan syabas saya ucapkan. Namun jangan dilupa, kejayaan hari ini bukanlah sesuatu yang mutlak. Masih banyak lagi rintangan, dugaan dan cabaran yang bakal ditempuhi pada masa hadapan. Jangan lupa, hormatilah ibu bapa dan guru-guru.
Kepada pihak PIBG,
           Saranan saya agar pihak PIBG akan sentiasa bersedia bergerak sederap seperti pernyataan misi kita dan slogan ”Waris dan Guru Berpisah Tiada”.
  Akhir sekali, untuk semua rakan-rakan guru SMK Syed Mohamed Al-Bukhary, Teruskanlah curahan kasih sayang kepada anak didik kita. Selain tugas hakiki guru yang menyampaikan ilmu dan sebagai fasilitator ketika dalam bilik darjah, jadilah jua;
akauntan yang cekap  ketika mengurus sumbangan waris,
jururawat dan doktor yang jitu ketika murid mengadu sakit,
pengawal keselamatan yang padu ketika menunggu murid tiba dan pulang,
siak / imam yang tertib/tartil ketika masuk waktu solat dan bacaan Yasin,
pereka hiasan dalaman yang berseni ketika menceriakan kelas,
arkitek/tukang kayu yang tepat ketika murid mengadu kerusi atau meja patah,
dukun dan bomoh yang sukarela ketika murid murung/ histeria,
pegawai penyiasat yang efisyen ketika ada kecurian dan kehilangan dalam kalangan murid,
pemandu ambulans berhemah jika murid sakit/dalam kecemasan,
pakar motivasi efektif jika murid hilang arah tujuan,
majistret/hakim yang adil jika ada pertelingkahan dalam kalangan pelajar,
pengurus pentas ’glamour’ jika murid menyertai pertandingan tunjuk bakat,
Pegawai Kebajikan Masyarakat yang prihatin ketika murid dalam kesempitan dan kesusahan dan sebagainya.
            Semuanya adalah lambang kita semua menjulang tuntutan  ”Guru Sayang Murid” seperti termaktub dalam program Sekolah Penyayang. Begitulah kasihnya kami para guru terhadap murid khususnya anak-anak Al-Bukhary, sehingga sanggup ”membakardiri” agar mereka diterangi. Semoga segala usaha kita diredhai dan beroleh keberkatan.
       Sebelum mengundur diri, sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berusaha Tuan Mansor Lat, Pengarah Pelajaran Negeri Kedah Darul Aman kerana sudi meluangkan masa untuk menghadiri dan merasmikan  Majlis Anugerah Cemerlang Al-Bukhary (MACA) 2012 serta menyampaikan anugerah kepada semua penerima hari ini. Kepada Yang Berusaha Encik Zakimi, wakil Pegawai Pelajaran Daerah Kota Setar dan Pn. Hajah Sharifah Fatimah bt. Syed Nor juga diucapkan terima kasih kerana sudi hadir menyerikan majlis kami. Kepada  En. Mohd Kamal bin Mohd Akhir,Yang Dipertua PIBG dan semua ahli jawatankuasa PIBG saya merakamkan jutaan terima kasih kerana tidak jemu-jemu memberi sokongan kepada pihak sekolah. Kepada para hadirin sekalian, tidak lupa juga ucapan terima kasih kerana sudi meluangkan masa.
       Akhir kata, andai ada tersalah bicara, tersasul bahasa, saya memohon ampun dan maaf atas segala kekurangan kami. Bagi mengakhiri ucapan ini saya ingin mengulangi empat rangkap pantun yang pernah saya ucapkan dalam majlis seumpama ini pada tahun-tahun lalu:
Anak udang udanglah juga,
Manakan sama anak tenggiri;
Anakmu tuan anakku jua,
Kudidik bagaikan anak sendiri.
            Dahulu sawah kini belukar,
Tempat bujuk beranak pinak;
Dididik susah diajar sukar,
Harimau dipujuk lagikan jinak.
           Di kiri jalan di kanan pun jalan,
           Di tengah-tengah pohon meranti;
           Diiri jangan dipuji pun jangan,
           Sama-sama membina Al-Bukhary.
           Anakmu tuan anakku jua,
           Berkembang bakat di al-Bukhary;
           Kemenjadian terserlah permata negara,
           Untukmu ayah, ibu dan pertiwi.

Sekian, terima kasih. Wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.




16 April, 2012

MACA 2012 - Bersinar bagaikan permata!

Bertempat di Dewan Al-Farabi, kompleks Pendidikan Jalan Stadium,  sejarah tercipta apabila permata Al-Bukhary bersinar bersama meriahnya sambutan Majlis Anugerah Cemerlang Akademik (MACA) 2012. Perjalanan majlis bermula seawal jam 7.00 pagi yang menyaksikan persiapan akhir dilaksanakan sebaik mungkin meliputi perhiasan pentas, sistem bunyi dan peralatan multimedia dapat berfungsi dengan baik dan sempurna.
Para waris mula mengambil tempat bermula jam 8.00 pagi. Sementara menunggu tetamu utama iaitu Tuan Pengarah Pelajaran Negeri Kedah iaitu Tuan Haji Mansor B. Lat tiba, suasana dalam dewan kelihatan tersedia untuk satu majlis gilang gemilang, sungguh indah dan mengujakan sesiapa sahaja yang memandang.

1. Ketibaan Tuan Haji Mansor B. Lat, Pengarah Pelajaran Negeri Kedah disambut oleh Tuan Pengetua, Puan Hajah Dewi Rosnah B. Radin Suhadi serta pihak pengurusan sekolah.

2. YDP PIBG SMKSMAB Encik Kamal B. Mohd Akhir turut serta menyambut Tuan Haji Mansor.
3. Bacaan doa sebagai pembuka majlis.

4. Ucapan dari Tuan Pengetua

5. Ucapan oleh Tuan Pengarah Pelajaran

6. Penyampaian Hadiah kecemerlangan pelajar dimulakan.
7. Hadiah untuk guru Ketua Panitia Cemerlang.
8. Persembahan yang bertenaga dan menghiburkan dari para pelajar di bawah bimbingan cikgu Ezat.
9. Para waris kelhatan terhibur dengan persembahan yang disaksikan.

10. Babak dari sketsa yang mampu menitiskan air mata penonton.
11. Peserta persembahan mengakhiri majlis dengan persembahan nyanyian beramai-ramai..
12. Kehadiran "permata Al-Bukhary", Pemain bola sepak Profesional, Badrol Bakhtiar dan rakan-rakan  benar-benar memberi makna yang bersinar bagi MACA kali ini.

13. Sesi bergambar : semua pihak tidak melepaskan peluang bagi mengabadikan potret bersama tetamu jemputan.

14. Walaupun sibuk dengan jadual masa yang ketat, Badrol dan rakan-rakan sempat melayan warga Bukharian. 
Bertepatan dengan tema MACA 2012, iaitu BUKHARI SELAMANYA,..semua pihak yang hadir samada bekas pengetua, bekas guru ataupun bekas pelajar..mesejnya sangat indah..sekali belajar di Bukhary,..akan menjadi Bukharian selamanya...alhamdulillah majlis tamat dengan penuh keriangan dan kepuasan. Segala jerit payah sebelum ini seolah terbayar dengan kelancaran dan kemeriahan majlis yang berlangsung.
Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang terlibat, kalian semua memang hebat..Bukharian memang hebat..Tahniah...Sinaran permata telah menyinari bumi Bukhary yang bertuah hari ini...semoga kegemilangan sambutan MACA akan berulang lagi di tahun hadapan.Insyaallah.

21 March, 2012

SPM 2012

21 Mac 2012, detik penantian bagi calon-calon SPM 2011 sudah berakhir. Jam 10.00 pagi mereka berkumpul di Anjung Mutiara bagi mendapatkan keputusan masing-masing.


Tuan Pengetua, Puan Hajah Dewi Rosnah binti Radin Suhadi turut menjemput YDP PIBG SMK Syed Mohamed Al-Bukhary bagi menyampaikan keputusan peperiksaan buat pelajar cemerlang SPM.





Ternyata keputusan SPM 2011 bertambah baik dengan menunjukkan peningkatan kualiti dan seterusnya melonjakkan nilai GPK bagi banyak subjek walaupun dari segi peratus kelulusan jatuh sedikit berbanding SPM 2010.
Berikut merupakan analisis keseluruhan SPM 2011.
SPM 2010 - 62.2 %
SPM 2011 - 58.3 %
Peratusan kelulusan menunjukkan sedikit penurunan namun GPK menunjukkan peningkatan yang membanggakan iaitu 4.66 pada SPM 2011 berbanding 4.97 pada SPM 2010.

Seramai 168 pelajar telah mendaftar untuk Peperiksaan SPM 2011 dan seramai 98 telah berjaya lulus semua subjek yang diduduki. Disenaraikan nama 6 pelajar yang berjaya dengan cemerlang dalam SPM 2011.(GPK bawah 2.00)
1. Muhammad Akmal Bin Mohd Fazil -  8A dan 1B. (6A+. 2A- & 1B+) GPK 0.78
2. Nur Ilham Bt Haji Sabri                  -  8A dan 1B  ( 2A+, 5A, 1A- & 1B) GPK 1.22
3. NurShazliana Bt Mohd Rabat         -  7A, 1B & 1C
4. Muhd Fitri Amri B Jaafar                -  7A, & 2B
5. Muhamad  Afiq B Muhamad Arif    - 7A, & 1B dan 1C
6. Redza Fahmi B Rusli                       - 7A dan 2CO

Pihak sekolah merakamkan setinggi tahniah kepada semua pelajar yang cemerlang dan didoakan semua yang lain juga akan berjaya melalui pasca SPM dengan bijak memilih peluang melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi. Insyaallah diharapkan SMKSMAB akan lebih gemilang dalam SPM 2012. Amin

20 February, 2012

Perginya sebutir mutiara....Cikgu Nordin Bin Pawanchik

Pada tanggal 11 Februari 2012 yang lalu, SMKSMAB dikejutkan dengan suatu berita sedih dan membuatkan suasana pagi hari Sabtu diselubungi rasa terharu semua warga sekolah. 
Cikgu Nordin B Pawanchik telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 3.30 pagi, semasa beliau menerima rawatan di PUTRA MEDICAL CENTRE. Arwah telah berkhidmat selama 27 tahun di SMKSMAB dan merupakan antara guru paling lama berkhidmat di sekolah ini. 



Semasa hayatnya arwah cikgu Nordin merupakan seorang guru pakar dalam subjek sains. Beliau merupakan salah seorang penggubal soalan sains peringkat PMR. Kepakarannya banyak menyumbang kepada kejayaan para pelajar dalam akademik. Tidak terkira bilangan pelajar  SMKSMAB yang telah  menerima didikan beliau, dan mengenali arwah sebagai guru yang suka bergurau dan kelakar.

Arwah cikgu Nordin bersama rakan setugas serta pelajar di sekitar tahun 1992. Kelihatan juga Penolong Kanan SMKSMAB, Puan Jamaliah Bt Abdul Fatah.

Cikgu Shahidan yang merupakan antara tenaga pengajar yang seangkatan dengan cikgu Nordin serta Ustaz Khairul Bazli dan para pelajar sempat menghadiahkan bacaan yassin sebaik sahaja berita kematian arwah dimaklumkan.

Arwah cikgu Nordin bersama barisan AJK PIBG SMKSMAB.

Kami warga Bukhary mengucapkan takziah buat ahli keluarga allahyarham serta mendoakan agar rohnya ditempatkan beserta para solihin. Sesungguhnya budi jasa beliau akan terus dikenang, namanya kekal harum sebagai pejuang bangsa dan agama. SMKSMAB kini kehilangan sebutir mutiara, apalagi yang boleh diucapkan selain ucapan terima kasih dan doa setulus hati.

"Seorang guru yang menyampaikan ilmu yang bermanfaat, menjadikan pahala yang diterimanya akan terus-terusan mengalir malah dilipat gandakan sekiranya anak muridnya mengamalkan dan menyebarkan ilmu tersebut kepada mereka yang lain dan pahala itu tetap akan sampai kepadanya walaupun telah meninggal dunia berabad lamanya."



31 January, 2012

Pemakluman : AMONIA 3 dan Mesyuarat PIBG Kali ke 33 (2012).

Dimaklumkan kepada semua warga Bukharian dan semua waris kepada pelajar, majlis gilang gemilang yang menjadi acara tahunan SMKSMAB iaitu AMONIA 3 ( A MORNING IN AL-BUKHARY) akan diadakan sekali lagi pada 25 Februari nanti, Majlis ini akan diadakan serentak dengan Mesyuarat Agong PIBG kali ke 33. Mesyuarat PIBG kali ini akan diadakan di Dewan Iltizam.

Guru dan Waris berpisah tiada,..pakatan PIBG membina bangsa berjaya.

AMONIA 3 dijangka bermula seawal jam 7.40 pagi manakala Mesyuarat PIBG akan dilangsungkan pada jam 11 pagi. Diharap pelajar dan waris bersedia untuk merealisasikan satu lagi hasrat suci hasil kutipan dari AMONIA nanti.

Sebelum ini AMONIA 1 yang diadakan pada 2010 berjaya mendidikan "Anjung Bukhary" yang merupakan laluan  pelajar untuk masuk ke perkarangan sekolah dengan selamat ketika hujan tanpa perlu bimbang dengan keadaan basah kuyup untuk belajar.

AMONIA 2 pula telah berjaya mewujudkan satu gelanggang permainan untuk pelajar. Gelanggang ini dinamakan "Arena Al-Bukhary" dan sedia untuk digunakan oleh para pelajar untuk aktiviti permainan seperti Bola Keranjang, Bola Jaring, Badminton dan Sepak Takraw.

AMONIA 3 pula akan mensasarkan surau sekolah serta bilik-bilik khas untuk diberi sentuhan dan kemudahan baru seperti cat dan penghawa dingin yang bakal menjanjikan lebih keselesaan buat semua.
Sama-sama kita bekerjasama dalam satu pasukan kerja yang mantap. Semoga para waris dan guru yang bernaung di bawah payung PIBG SMKSMAB akan mengorak langkah yang lebih bersemangat nanti.

Sama-sama kita nantikan detik itu...semoga dipermudahkan Allah. Amin.
Related Posts with Thumbnails