22 February, 2011

Perarakan Maulidurrasul Sekolah-sekolah Peringkat Kompleks Pendidikan

Dimaklumkan, pada hari Rabu, 23 Februari 2011 bersamaan 20 Rabiulawal 1432 Hijriah, semua sekolah yang berada dalam kompleks pendidikan Jalan Stadium akan mengadakan perarakan sempena sambutan Maulidurrasul. Perarakan ini dijangka bermula jam 8.00 pagi. Selain pihak sekolah, turut sama menyertai perarakan ini ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN).
Seperti yang diwar-warkan, pagi Rabu telahpun menjelma. Bumi SMKSMAB telah berseri dengan para pelajar yang berpakaian Baju Melayu lengkap, bersedia dengan pelbagai "banner" dan cogankata berkaitan Maulidurrasul Nabi Muhammad s.a.w.
Jam 8.00 pagi, semuanya telah bersedia. Penolong Kanan HEM, En. Azizan b. Saud serta guru-guru lain sibuk memastikan semua pelajar disusun dalam barisan yang teratur dan kemas.

  


Ustaz Zaki b. Mohd Ali telah mengetuai pasukan selawat SMKSMAB, dengan penuh bersemangat melafazkan puji-pujian kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.
Perarakan dijalankan mengikut tingkatan   masing-masing dan pasukan yang paling kemas dan tersusun akan diberi penghargaan.







Perarakan ini turut disertai oleh semua jabatan dan sekolah dalam persekitaran Komplek Pendidikan termasuk dari Jabatan Pelajaran Negeri. 

Para pelajar dari SK Abdul Halim turut serta dengan wajah-wajah ceria dan bersungguh-sungguh memuji kebesaran Nabi Muhammad s.a.w.

Pasukan dari SMK Vokasional segak dengan pakaian seragam dan banner berteraskan konsep 1 Malaysia 1 Ummah.
Pagi Rabu berlalu dengan suasana yang penuh meriah dan bermakna. Acara tahunan ini amat bertepatan dengan tema Maulidurrasul 1432 Hijrah kali ini iaitu perpaduan yang melampaui batas bangsa dan agama. Semoga peristiwa ini menjadi satu penanda aras kepada kerjasama semua pihak khususnya dalam pembentukan budaya kerjasama dalam kalangan warga pendidikan setempat.
Semoga Allah memberkati usaha kita semua. Insyaallah.

17 February, 2011

Kejohanan Merentas Desa Kali Ke 6.

Pagi Khamis 17 Februari 2011, acara Merentas Desa peringkat sekolah dilangsungkan dengan jayanya.  Bertempat di padang sekolah, semua pelajar berkumpul mengikut kategori masing-masing. Para guru sibuk mengendalikan tugas masing-masing.  Tepat jam 8.30 acara dimulakan dengan pelepasan pelajar kategori Perempuan bawah 15 tahun.  Sementara itu guru-guru yang bertugas sebagai pegawai ronda dan “check point” sudah bersedia menanti dan memantau di sepanjang laluan yang telah ditetapkan.
Program tahunan sekolah ini merupakan aktiviti yang ditunggu-tunggu oleh semua pelajar terutamanya  pelajar yang memiliki kekuatan fizikal. Inilah masanya untuk mereka membuktikan kebolehan dan kemampuan sendiri. Sebelum itu, latihan telah diadakan pada waktu petang bagi memastikan pelajar bersedia.

Kelihatan atlet berkebolehan SMKSMAB, Nurul Adiyan bt Che Mahadi yang menjadi peserta pertama untuk tiba ke garisan penamat di bawah kategori perempuan bawah 15 tahun. Tahniah Adiyan. Walaupun mengalami kekejangan namun semangat juang yang tinggi dalam dirinya memberikan beliau pengiktirafan dalam bidang kesukanan serta menjadi kebanggaan sekolah.

Akhirnya pada jam 10 pagi, semua acara berakhir, berikut merupakan kutipan mata mengikut rumah sukan bagi  kejohanan Merentas Desa Kali ke 6.

  1. Rumah Al-Khawarizmi (kuning) mengungguli dengan kutipan 185 mata.
  2. Rumah Al-Farabi (biru) memperolehi 180 mata.
  3. Rumah At-Tarmizi (merah) mendapat 153 mata.
  4. Rumah Al-Ghazali (hijau) mendapat 140 mata.

Tahniah kepada semua guru dan pelajar yang menjayakan kejohanan ini.

14 February, 2011

Arena Al-Bukkhary


Salam semua, inilah pelan bagi pembinaan "Arena Al-Bukhary" yang menjadi teras kepada penganjuran program AMONIA 2 pada 5 Mac nanti. Pelan ini menunjukkan pembinaan gelanggang yang fleksibel untuk permainan bola jaring, tenis, bola tampar dan sepak takraw. Arena Al-Bukhary adalah keperluan yang mendesak kepada lebih 1000 pelajar SMKSMAB yang begitu memerlukan tempat untuk beraktiviti samada waktu Pendidikan Jasmani mahupun aktiviti Kokurikulum selepas persekolahan.
Sama-samalah kita menyokong pembinaan gelanggang serbaguna ini dengan sama-sama memeriahkan AMONIA 2 dengan membeli kupon yang berharga RM10.00 setiap satu. Para pelajar boleh mendapatkan kupon melalui guru tingkatan masing-masing. Kupon untuk waris dan jemputan lain juga disediakan. Nantikan hari AMONIA 2 pada 5 Mac nanti. Jangan lupa hari itu juga akan diseiringkan dengan satu lagi majlis iaitu Mesyuarat Agung PIBG. Selain itu pelbagai aktiviti seperti pertandingan Futsal, Sukaneka serta Peraduan Mewarna juga menanti penglibatan semua.

Inilah rupanya kupon yang boleh dibeli untuk aktiviti AMONIA 2 pada 5 Mac nanti. Kupon di atas adalah untuk waris dan orang perseorangan manakala kupon di bawah untuk semua pelajar.

Maulidurrasul VS Valentine Day.

Bulan Februari tahun ini mempunyai 2 tarikh berturutan dengan 2 event yang sangat kontradik. Hari ini 14 Februari 2011 adalah hari yang dinamakan Valentine Day, manakala esok 15 Februari 2011 merupakan ulangtahun kelahiran junjungan besar umat Islam Nabi Muhammad S.A.W. Satu menuju jalan syaitan, yang satu lagi menuju jalan Nabi SAW. Satu mengundang murka Allah, yang satu lagi mengundang redha Allah. Satu membawa ke neraka, yang satu lagi membawa ke syurga, dengan izin Allah.
Bagi generasi muslim yang jauh dari agama, terutama remaja, Valentine Day memberi makna sangat besar kepada mereka. Sayugia diharapkan pelajar-pelajar SMKSMAB tidak mengikut budaya ini!. Hari Valentine disalahertikan,  mereka menumpahkan kasih-sayang kepada boyfriend atau girlfriend mereka. Bukan setakat kasih-sayang, maruah, tubuh dan rasa malu juga melayang. Lantaran hal ini akan mengakibatkan gejala sosial semakin melarat. Mereka menurut jejak langkah syaitan yang menyesatkan mereka di dunia, dan di akhirat dihumban ke dalam neraka kalau tidak bertaubat.
Maulidurrasul pula menjadi di antara peluang mukmin meneliti diri sendiri. Setakat mana mereka berikan masa, diri, harta mereka untuk Islam sebagaimana Nabi SAW telah memberikan seluruh hidupnya untuk Islam. Setakat mana kelahiran Baginda itu dapat menjadi motivasi menyuburkan semangat juang bagi menegakkan Islam seperti yang pernah ditegakkan oleh Baginda sepanjang 23 tahun bergelumang dengan dakwah dan perjuangan.
Rasa cinta Nabi mesti disuburkan. Manakala menyubur rasa cinta melalui Ventine Day mesti dikuburkan. Semoga kita semua dapat menyuburkan rasa cinta kepada Nabi dan mengelakkan cinta ternoda melalui Valentine Day.

05 February, 2011

Happy New Year...surprise!

Kejutan untuk semua guru-guru yang akan menyambut Tahun Baharu China dari Madam Dewi Rosnah, sekeping kad beserta lagu tahun baru.
Hari Isnin, 31 Januari 2011 adalah hari terakhir persekolahan sebelum sekolah bercuti sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan disambut di seluruh negara oleh penganut agama budha. Perhimpunan rasmi sekolah pagi Isnin ini diserikan dengan "surprise" buat guru-guru SMKSMAB yang berbangsa Tionghua...Mr Teoh, Pn Chong, Miss Teh, Pn Lai. dan Pn Ong Yain Chaing. Madam Dewi Rosnah telahpun berpakat dengan beberapa guru...irama lagu mandarin dengan lagu tahun baharu bergema memenuhi ruang dewan,...sambil madam secara simbolik menghadiahkan kad ucapan Selamat tahun Baharu" kepada semua guru terbabit. Pelajar bertepuk tangan gembira...peristiwa yang kecil ini memberikan makna yang besar..perasaan muhibbah berjaya disemai kepada semua pelajar..semuanya gembira dan merasakan perayaan ini adalah milik bersama. Happy new Year. Semoga tahun arnab dalam kalendar cina tahun ini membawa kemakmuran kepada semua..

Kem Smart Solat Tingkatan 1 sesi 2011

Setiausaha Kem Smart Solat Pn Rita Juraida sedang memberi taklimat kepada
para fasillitator daripada kumpulan pelajar tingkatan 5 yang akan membantu
perjalanan kem pada hari tersebut.
Setiap tahun Panitia Pendidikan Islam akan mengadakan Kem Solat kepada semua pelajar baru khususnya yang baru mendaftar di tingkatan satu. Pada sesi 2011, Kem Smart Solat telah berlangsung dengan jayanya pada 29 Januari 2011, dari jam 8.00 pagi sehingga 12.00 tengahari bersamaan hari Sabtu dan bertempat di surau SMKSMAB. Objektif Kem ini ialah memperbetulkan tatacara dan bacaan dalam solat pelajar serta mematuhi kaedah solat rasulullah saw.



 Semoga usaha murni ini menjadi asas pembinan pribadi dan akhlak mulai dalam kalangan pelajar SMKSMAB yang bakal mendokong kejayaan dalam hidup mereka di dunia dan akhirat. Amin.

02 February, 2011

Sessi Interaksi Bersama Waris (SISWA 1/ 2011)

Khamis 27 Januari 2011...pagi itu tidak seperti pagi-pagi biasa. Bagi ku pagi itu lebih istimewa, hening dan syahdu. Namun di hatiku agak mendebarkan. Sebenarnya aku telah "terlepas kata" ketika membuat ucapan dalam perjumpaan pertama dengan para waris pelajar Tingkatan 1 pada hari pendaftaran 29 Disember 2010. Dalam ucapan tersebut, aku telah pahatkan ke dalam hati anak-anak didikku betapa bertuahnya mereka kerana berjaya mendaftarkan diri di sekolah ini. Aku juga telah pasakkan ke dalam minda para waris agar sentiasa prihatin terhadap perkembangan pendidikan dan sahsiah anak-anak mereka. Aku yakinkan mereka bahawa strategi sekolah ini ialah "discipline first". Untuk itu, mereka mesti pastikan anak-anak mereka berada dalam kawasan tembok sekolah sebelum 7.30 pagi. Aku perkemaskan bahawa amanah dan tanggung jawab mendidik dan mentarbiahkan anak-anak mereka akan ku laksanakan sebaik-baiknya bersama rakan-rakan guruku. Aku ucapkan terima kasih kepada mereka kerana memberi kepercayaan kepada pasukan kerjaku dan aku juga mohon izin daripada mereka untuk menjalankan tugasku sebagai ibu mereka sepanjang masa mereka berada di sekolah. Aku jemput mereka melawat sekitar kawasan sekolah dan bilik darjah di mana anak mereka akan ditempatkan. Akhir sekali aku mempelawa mereka untuk hadir ke sekolah dalam masa sebulan, iaitu pada hari ini, untuk berinteraksi dengan para guru tentang perkembangan anak-anak mereka.

Sebenarnya aku mengambil idea dari Hornsey School, London ketika menjadi "shadowing principal" di sana. No formal invitation; it is just an open session whereby  parents are welcomed to discuss about their children after a month being in the school"..itulah antara yang dijelaskan oleh Mr. Andy Yarrow, the head teacher kepada ku ketika itu. Justeru, perjumpaan pagi ini tiada persiapan khas, tiada back-drop atau banner, tiada jamuan dan minuman, tiada jawatan kuasa dan sebagainya. Tepat jam 7.20 pagi aku terus ke Anjung Mutiara. Aku agak tergamam melihat lebih 30 waris sudah berada di kawasan itu. Anak-anak didikku sudah duduk bersila mengikut barisan. Azriel, pengawas Tingkatan 2 mengingatkan adik-adik membaca sebarang nota. Tepat jam 7.30 pagi dua orang pelajar Tingkatan 4 naik ke pentas memulakan selawat dan terus dengan bacaan Ya Sin. Ustaz zaki menyempurnakannya dengan bacaan doa.



Sebaik selesai doa aku terus mencapai mikrofon. Tanpa pengacara, aku terus mengalu-alukan kehadiran waris yang sudah melebihi 50 orang. Aku perjelaskan bahawa apa yang mereka lihat pagi ini adalah senario biasa setiap hari. Mereka seterusnya dijemput berinteraksi dengan guru kelas bersama anak masing-masing di kantin. Angin pagi yang berhembus  nyaman menjadikan suasana sungguh santai dan tenang. Beberapa orang waris tampil kepadaku memberikan beberapa saranan antaranya; mengadakan kelas tusyen berbayar untuk penghuni asrama. Ada juga yang meminta sekolah meneruskan sahaja hukuman merotan.Seorang abang berkemeja T merah ranggi begitu optimis dengan disiplin yang diterapkan di sekolah ini. Seorang bapa berpakaian kemas pula  memaklumkan tentang anaknya yang kurang upaya namun begitu aktif dan ingin memasuki semua aktiviti sekolah. Namun paling aku insafi ialah ada yang begitu jujur dan berterus terang tentang kelemahan dan ketidakmampuan mereka memenuhi keperluan persekolahan anak-anak mereka. Air mata beberapa orang ibu yang ku temui pagi itu adalah pendorong untuk aku membantu mereka keluar dari kemelut dan kepompong mereka sekarang.

Bagiku SISWA 1/2011 memberi input yang sungguh bermakna untuk merangka strategi seterusnya.

Terima kasih  rakan-rakan guru.

Terima kasih para waris.
 THANK YOU BUKHARIAN.

nota: sessi bermula jam 7.30 hingga 9.30 pagi di dua tempat: Pelajar Tingkatan 1&2 di Anjung Mutiara manakala Tingkatan 3,4&5 di surau dan Dewan Iltizam.
Related Posts with Thumbnails