Isnin, 30 Ogos...buat julung kalinya seluruh warga Kompleks Pendidikan bersatu dalam acara rasmi tahunan sempena hari kemerdekaan dengan berarak serta berkumpul di hadapan Dewan Al-Farabi. Pada tahun-tahun sebelumnya semua warga sekolah dan Jabatan Pelajaran Negeri Kedah cuma mengadakan perhimpunan secara berasingan, namun sambutan kemerdekaan kali ini diperbaharui dengan acara perarakan dan seterusnya berkumpul bersama bagi mendengar perutusan Hari Kemerdekaan dari Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Alimuddin Mohd Dom. Perutusan itu dibacakan sendiri oleh Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Tuan Haji Shahidan b. Abdul Rahman. Acara dimulakan pada jam 8.00 pagi di mana semua perwakilan iaitu pelajar dan guru-guru, Pengetua serta Guru Besar, kakitangan dari BTPN, Jabatan Pelajaran Negeri dan seluruh warga kerja komplek pendidikan mula berarak dari sekolah masing-masing menuju ke Dataran Al-Farabi.
Perbarisan didahului oleh pasukan Tambor dari SMK Syed Mohamed Al-Bukhary (SMKSMAB), yang menerajui dan mengiringi perbarisan dengan alunan lagu-lagu patriotik dengan begitu segak dan bergaya. Pasukan daripada sekolah-sekolah lain juga menunjukkan kesungguhan. tambah meriah lagi dengan murid-murid SJK(T) Barathy yang memperagakan pakaian tradisional berwarna-warni.
Sejurus selepas ketibaan semua peserta di Dataran Al-Farabi, acara dimulakan dengan menyanyikan lagu Negaraku di samping menaikkan bendera oleh Adam, anggota KRS SMKSMAB dan seterusnya bacaan doa oleh Kapten KRS juga dari SMKSMAB iaitu Mohamed Iskandar. Suasana bertambah bersemangat dengan laungan 7X kemerdekaan selepas itu.
Pengarah Pelajaran Kedah, Tuan Haji Shahidan sempat berpesan kepada semua pelajar dan guru agar terus memelihara kemerdekaan negara dengan terus menjana semangat jati diri serta berusaha memerdekakan minda dari terus dijajah. Beliau juga mengingatkan generasi muda agar menghargai pengorbanan semua pejuang kemerdekaan negara, seterusnya beliau membacakan amanat kemerdekaan. Program ini ternyata mampu menjana semangat patriotik semua yang hadir kerana sanggup berdiri dan bersabar walaupun kebanyakkan hadirin berpuasa. Semoga perhimpuan ini akan menjadi tradisi warga kompleks pendidikan.
Majlis Sambutan Ambang Kemerdekaan diteruskan pada sebelah malam dengan pelbagai aturcara yang melibatkan keseluruhan warga Kompleks Pendidikan. Bertempat di Dewan Al-Farabi, ramai tetamu kehormat yang diketuai oleh Pengarah Pelajaran Negeri Kedah sendiri, Tuan Haji Shahidan b Abdul Rahman diiringi oleh Pengetua Sekolah, Pegawai dari Pejabat Pelajaran, guru-guru serta pelajar berhimpun beramai-ramai bagi menghayati detik-detik menjelang kemerdekaan.
31 August, 2010
Sambutan Kemerdekaan - Seluruh Warga Kompleks Pendidikan Bersatu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment