02 May, 2012

Ucapan Pengetua SMKSMAB sempena MACA 2012


TEKS UCAPAN PENGETUA 
MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG (MACA)
SMK SYED MOHAMED AL-BUKHARY 2012

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualikum Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera dan salam1Malaysia.
Yang Berusaha, TUAN MANSOR BIN LAT, Pengarah Pelajaran Negeri Kedah Darul Aman.
Yang Berusaha, ENCIK ZAKIMI B. ABDULLAH, Wakil Pegawai Pelajaran Daerah Kota Setar.
Yang Berbahagia, PN. HAJAH SHARIFAH FATIMAH BT. SYED NOR, wakil keluarga allahyarham Tn. Hj. Syed Mohamed Al-Bukhary.
Yang Dihormati , EN. MOHD KAMAL BIN MOHD AKHIR, Yang Dipertua PIBG SMK Syed Mohamed Al-Bukhary
Dif-dif Kehormat,
Pengetua-pengetua dan Guru Besar-Guru Besar serta wakil,
AJK PIBG,  guru-guru, para ibu bapa dan waris,  seterusnya para pelajar yang dikasihi sekalian.
     Syukur alhamdulillah  kerana dengan taufiq dan hidayah-Nya dapat kita semua berkumpul di sini bagi menyempurnakan Majlis  Anugerah Cemerlang Al-Bukhary (MACA) 2012 pada kali ini. Saya dan seluruh warga sekolah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada En. Mansor bin Lat, Tuan Pengarah Pelajaran Negeri Kedah Darul Aman  kerana sudi hadir bagi merasmikan Majlis  Anugerah Cemerlang Al-Bukhary (MACA)  dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pelajar terpilih. Saya juga mengambil kesempatan ini mengalu-alukan kehadiran Pn. Hajah Sharifah Fatimah serta tuan-tuan dan puan-puan ke majlis ini. Sesungguhnya, kehadiran tuan-tuan dan puan-puan sekalian amat bermakna kepada semua warga sekolah ini. Keprihatinan tuan-tuan dan puan-puan sekalian pastinya akan menguatkan lagi semangat serta keazaman kami untuk menyemarakkan lagi pencapaian dan kejayaan sekolah ini.
Hadirin dan hadirat sekalian,
             Sesungguhnya pertemuan kita di Dewan Al-Farabi pada pagi ini amat besar ertinya kepada kami warga SMKSMAB. Kita bukan sahaja akan meraikan anak-anak yang cemerlang dalam pelbagai aspek, tetapi kita juga dapat menyaksikan pelbagai kebolehan anak-anak kita melalui persembahan dan pengurusan majlis. Paling manis hari ini kita dapat bersama Tuan Pengarah yang walaupun pejabat beliau sepelaungan sahaja dari sekolah, namun kehadiran beliau adalah sebagai manifestasi keutamaan yang beliau berikan di celah-celah kekalutan tugas harian.
            Tambah manis lagi, hari ini seluruh warga Al-Bukhary berpeluang sekali lagi untuk bersama-sama ahli keluarga allahyarham Tn. Hj. Syed Mohamed Al-Bukhary sendiri. Untuk itu setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kami rakamkan kepada Yang Berbahagia Pn. HajahSharifah Fatimah bt. Syed Nor yang sentiasa sudi hadir untuk bersama-sama warga Al-Bukhary walaupun pada awalnya Yang Berbahagia Puan Sri Sharifah Zara bt. Dato’ Syed Kechik iaitu isteri Tan Sri Syed Mokhtar dan bonda beliau Hajah Sofiah sendiri berhasrat untuk turut serta  bagi menyerikan majlis ini.
Para hadirin yang diberkati Allah sekalian,
            Dalam kesempatan ini juga, saya bagi pihak seluruh warga Al-Bukhary ingin mengucapkan terima kasih kepada BTPN kerana membenarkan Majlis Anugerah Cemerlang  Al-Bukhary (MACA) 2012 kali ini dijalankan di dewan yang permai ini bersesuaian dengan semangat pemuafakatan JPN, BTPN dan sekolah-sekolah dalam kompleks pendidikan. Memang menjadi impian saya semenjak hadir di sini sebagai Pengetua untuk mengadakan majlis sebegini yang dihadiri oleh seberapa ramai waris pelajar. Namun disebabkan ruang yang masih terhad, kita hanya mampu menjemput sebahagian waris dan jemputan serta mengisi  segenap ruang dewan ini dengan pelajar tertentu sahaja. Disebabkan sambutan para waris yang amat menggalakkan nampaknya, pihak sekolah perlu mengubah venue pada tahun hadapan ke dewan yang lebih besar.
Hadirin yang dihormati sekalian,
            Tema MACA pada tahun ini ialah  ” Al-Bukhary Selamanya” atau ”Forever Bukharians ”. Tema ini dipilih bagi menanamkan rasa cinta dan patriotisme seluruh warga sekolah terhadap organisasi ini. Bermula daripada keterbilangan allahyarham Tn. Hj. Syed Mohamed Al-Bukhary sendiri pada masa hayatnya, maka sewajarnya guru-guru, staf, waris dan anak-anak yang pernah bernaung, berurusan, dan dewasa di sini mengekalkan ciri-ciri keterbilangan tersebut. Hal ini dapat diterjemahkan melalui pengurusan yang cekap dan telus, PDP yang efektif dan berkesan, aktiviti HEM dan kokurikulum yang kreatif dan efisien, seterusnya membuahkan hasil seperti yang tercatat dalam buku program hari ini. Tahniah diucapkan kepada anak-anak Al-Bukhary yang berjaya ditampilkan sebelum ini, hari ini dan juga untuk masa-masa akan datang. Sesungguhnya anda semua ialah khalayak kami. Mendidik, membimbing, dan melayani segala kerenah dan ’feel’ anak-anak Al-Bukhary adalah tanggungjawab kami para guru. Namun sebelum itu tidak lupa saya ucapkan setinggi-tinggitahniah dan terima kasih kepada para waris yang begitu ikhlas memberi kerjasama dan kepercayaan kepada kami untuk melaksanakan tugas sehingga mencapai kejayaan yang melebihi sasaran antaranya:
i)          Memastikan anak-anak tiba di sekolah sebelum 7.30 pagi dan peratus purata kehadiran pelajar setiap hari melebihi 96%.
ii)       Memastikan anak-anak memakai uniform lengkap setiap hari Selasa dan mengambil mereka tepat pada masanya selepas aktiviti kokurikulum dan kelas tambahan.
iii)     Menyelesaikan segala urusan dan sumbangan PIBG dengan rekod kutipan melebihi 95%  dan kehadiran mesyuarat PIBG serta SISWA     (Sesi Interaksi Bersama Waris) sentiasa melebihi 85%.
Hadirin yang dimuliakan,
           MACA kali ini bertambah meriah dan bermakna kerana selain kualiti peratus dan gred purata (GP) PMR dan SPM yang jauh lebih baik pada tahun ini, pihak pengurusan  berjaya menampilkan beberapa kategori anugerah tambahan bagi mengiktiraf pencapaian warga Al-Bukhary. Antaranya:
i)        Anugerah Kembara Al-Bukhary disampaikan kepada warga Al-Bukhary yang telah berkhidmat di sekolah ini lebih dari 30 tahun.
ii)       Anugerah Kehadiran Penuh disampaikan kepada pelajar-pelajar yang hadir 100% bermula bulan Januari 2011 hingga Mac 2012.
iii)     Anugerah Bakti Al-Bukhary disampaikan kepada warga SMKSMAB yang telah menunjukkan kewibawaan dan kepelbagaian  serta mencapai prestasi yang membanggakan dalam tugas-tugas khas yang diberikan.
iv)     Anugerah Lestari Murni Al-Bukhary disampaikan kepada pelajar serba boleh (all-rounder) yang mengekalkan prestasi yang membanggakan dalam pelbagai bidang.
v)      Anugerah Lestari Budi Al-Bukhary disampaikan kepada pelajar yang telah menunjukkan kerjasama yang padu dalam setiap aktiviti sekolah.
vi)     Anugerah Tn. Hj. Baharudin b. Abdul Majid disampaikan kepada pelajar asrama yang menunjukkan prestasi yang membanggakan dalam pelbagai bidang.
Paling manis buat pertama kalinya kita juga menyampaikan Anugerah Pencapaian Khas Al-Bukhary kepadaPIBG SMKSMAB kerana telah berjaya menjadi Johan Pengurusan PIBG Cemerlang Peringkat Daerah Kota Setar dan Negeri Kedah Darul Aman bagi kategori Sekolah Menengah Bandar dan seterusnya dipilih mewakili negeri Kedah Darul Aman ke peringkat kebangsaan.Tentunya kejayaan sebegini sukar untuk diulangi. Lebih istimewa AnugerahPermata Al-Bukhary juga disampaikan khusus bagi meraikan bekas pelajar SMKSMAB yang berjaya mengharumkan/menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa. Tahun ini Anugerah Permata Al-Bukhary disampaikan kepada ’bukharians’ yang telah menjulang nama negeri dan negara dalam arena bola sepak. Pada tahun-tahun akan datang, mungkin anugerah akan disampaikan pula kepada kumpulan usahawan, pengurusan tertinggi, pemimpin dan sebagainya. Sehubungan itu, saya mengambil kesempatan di sini merakamkan ucapan terima kasih daun keladi kepada semua penaja/penyumbang anugerah.
Khas kepada keluarga allahyarham Tn. Hj. Syed Mohamed Al-Bukhary, Saya mewakili seluruh warga SMK Syed Mohamed Al-Bukhary ingin menyatakan penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga daripada pihak kami atas segala sumbangan kewangan yang telah diberikan dalam membantu pembangunan dan penambahbaikan prasarana sekolah pada tahun ini . Antaranya, sumbangan sebanyak RM 27,405.70  untuk menaik taraf Surau Al-Bukhary, RM 10,000.00  sebagai bantuan persekolahan kepada pelajar-pelajar miskin dan RM 1300.00 untuk MACA 2012 ini.
Buat anak-anak yang berjaya meraih anugerah pada hari ini pula,
         Tahniah dan syabas saya ucapkan. Namun jangan dilupa, kejayaan hari ini bukanlah sesuatu yang mutlak. Masih banyak lagi rintangan, dugaan dan cabaran yang bakal ditempuhi pada masa hadapan. Jangan lupa, hormatilah ibu bapa dan guru-guru.
Kepada pihak PIBG,
           Saranan saya agar pihak PIBG akan sentiasa bersedia bergerak sederap seperti pernyataan misi kita dan slogan ”Waris dan Guru Berpisah Tiada”.
  Akhir sekali, untuk semua rakan-rakan guru SMK Syed Mohamed Al-Bukhary, Teruskanlah curahan kasih sayang kepada anak didik kita. Selain tugas hakiki guru yang menyampaikan ilmu dan sebagai fasilitator ketika dalam bilik darjah, jadilah jua;
akauntan yang cekap  ketika mengurus sumbangan waris,
jururawat dan doktor yang jitu ketika murid mengadu sakit,
pengawal keselamatan yang padu ketika menunggu murid tiba dan pulang,
siak / imam yang tertib/tartil ketika masuk waktu solat dan bacaan Yasin,
pereka hiasan dalaman yang berseni ketika menceriakan kelas,
arkitek/tukang kayu yang tepat ketika murid mengadu kerusi atau meja patah,
dukun dan bomoh yang sukarela ketika murid murung/ histeria,
pegawai penyiasat yang efisyen ketika ada kecurian dan kehilangan dalam kalangan murid,
pemandu ambulans berhemah jika murid sakit/dalam kecemasan,
pakar motivasi efektif jika murid hilang arah tujuan,
majistret/hakim yang adil jika ada pertelingkahan dalam kalangan pelajar,
pengurus pentas ’glamour’ jika murid menyertai pertandingan tunjuk bakat,
Pegawai Kebajikan Masyarakat yang prihatin ketika murid dalam kesempitan dan kesusahan dan sebagainya.
            Semuanya adalah lambang kita semua menjulang tuntutan  ”Guru Sayang Murid” seperti termaktub dalam program Sekolah Penyayang. Begitulah kasihnya kami para guru terhadap murid khususnya anak-anak Al-Bukhary, sehingga sanggup ”membakardiri” agar mereka diterangi. Semoga segala usaha kita diredhai dan beroleh keberkatan.
       Sebelum mengundur diri, sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berusaha Tuan Mansor Lat, Pengarah Pelajaran Negeri Kedah Darul Aman kerana sudi meluangkan masa untuk menghadiri dan merasmikan  Majlis Anugerah Cemerlang Al-Bukhary (MACA) 2012 serta menyampaikan anugerah kepada semua penerima hari ini. Kepada Yang Berusaha Encik Zakimi, wakil Pegawai Pelajaran Daerah Kota Setar dan Pn. Hajah Sharifah Fatimah bt. Syed Nor juga diucapkan terima kasih kerana sudi hadir menyerikan majlis kami. Kepada  En. Mohd Kamal bin Mohd Akhir,Yang Dipertua PIBG dan semua ahli jawatankuasa PIBG saya merakamkan jutaan terima kasih kerana tidak jemu-jemu memberi sokongan kepada pihak sekolah. Kepada para hadirin sekalian, tidak lupa juga ucapan terima kasih kerana sudi meluangkan masa.
       Akhir kata, andai ada tersalah bicara, tersasul bahasa, saya memohon ampun dan maaf atas segala kekurangan kami. Bagi mengakhiri ucapan ini saya ingin mengulangi empat rangkap pantun yang pernah saya ucapkan dalam majlis seumpama ini pada tahun-tahun lalu:
Anak udang udanglah juga,
Manakan sama anak tenggiri;
Anakmu tuan anakku jua,
Kudidik bagaikan anak sendiri.
            Dahulu sawah kini belukar,
Tempat bujuk beranak pinak;
Dididik susah diajar sukar,
Harimau dipujuk lagikan jinak.
           Di kiri jalan di kanan pun jalan,
           Di tengah-tengah pohon meranti;
           Diiri jangan dipuji pun jangan,
           Sama-sama membina Al-Bukhary.
           Anakmu tuan anakku jua,
           Berkembang bakat di al-Bukhary;
           Kemenjadian terserlah permata negara,
           Untukmu ayah, ibu dan pertiwi.

Sekian, terima kasih. Wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.




16 April, 2012

MACA 2012 - Bersinar bagaikan permata!

Bertempat di Dewan Al-Farabi, kompleks Pendidikan Jalan Stadium,  sejarah tercipta apabila permata Al-Bukhary bersinar bersama meriahnya sambutan Majlis Anugerah Cemerlang Akademik (MACA) 2012. Perjalanan majlis bermula seawal jam 7.00 pagi yang menyaksikan persiapan akhir dilaksanakan sebaik mungkin meliputi perhiasan pentas, sistem bunyi dan peralatan multimedia dapat berfungsi dengan baik dan sempurna.
Para waris mula mengambil tempat bermula jam 8.00 pagi. Sementara menunggu tetamu utama iaitu Tuan Pengarah Pelajaran Negeri Kedah iaitu Tuan Haji Mansor B. Lat tiba, suasana dalam dewan kelihatan tersedia untuk satu majlis gilang gemilang, sungguh indah dan mengujakan sesiapa sahaja yang memandang.

1. Ketibaan Tuan Haji Mansor B. Lat, Pengarah Pelajaran Negeri Kedah disambut oleh Tuan Pengetua, Puan Hajah Dewi Rosnah B. Radin Suhadi serta pihak pengurusan sekolah.

2. YDP PIBG SMKSMAB Encik Kamal B. Mohd Akhir turut serta menyambut Tuan Haji Mansor.
3. Bacaan doa sebagai pembuka majlis.

4. Ucapan dari Tuan Pengetua

5. Ucapan oleh Tuan Pengarah Pelajaran

6. Penyampaian Hadiah kecemerlangan pelajar dimulakan.
7. Hadiah untuk guru Ketua Panitia Cemerlang.
8. Persembahan yang bertenaga dan menghiburkan dari para pelajar di bawah bimbingan cikgu Ezat.
9. Para waris kelhatan terhibur dengan persembahan yang disaksikan.

10. Babak dari sketsa yang mampu menitiskan air mata penonton.
11. Peserta persembahan mengakhiri majlis dengan persembahan nyanyian beramai-ramai..
12. Kehadiran "permata Al-Bukhary", Pemain bola sepak Profesional, Badrol Bakhtiar dan rakan-rakan  benar-benar memberi makna yang bersinar bagi MACA kali ini.

13. Sesi bergambar : semua pihak tidak melepaskan peluang bagi mengabadikan potret bersama tetamu jemputan.

14. Walaupun sibuk dengan jadual masa yang ketat, Badrol dan rakan-rakan sempat melayan warga Bukharian. 
Bertepatan dengan tema MACA 2012, iaitu BUKHARI SELAMANYA,..semua pihak yang hadir samada bekas pengetua, bekas guru ataupun bekas pelajar..mesejnya sangat indah..sekali belajar di Bukhary,..akan menjadi Bukharian selamanya...alhamdulillah majlis tamat dengan penuh keriangan dan kepuasan. Segala jerit payah sebelum ini seolah terbayar dengan kelancaran dan kemeriahan majlis yang berlangsung.
Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang terlibat, kalian semua memang hebat..Bukharian memang hebat..Tahniah...Sinaran permata telah menyinari bumi Bukhary yang bertuah hari ini...semoga kegemilangan sambutan MACA akan berulang lagi di tahun hadapan.Insyaallah.

21 March, 2012

SPM 2012

21 Mac 2012, detik penantian bagi calon-calon SPM 2011 sudah berakhir. Jam 10.00 pagi mereka berkumpul di Anjung Mutiara bagi mendapatkan keputusan masing-masing.


Tuan Pengetua, Puan Hajah Dewi Rosnah binti Radin Suhadi turut menjemput YDP PIBG SMK Syed Mohamed Al-Bukhary bagi menyampaikan keputusan peperiksaan buat pelajar cemerlang SPM.





Ternyata keputusan SPM 2011 bertambah baik dengan menunjukkan peningkatan kualiti dan seterusnya melonjakkan nilai GPK bagi banyak subjek walaupun dari segi peratus kelulusan jatuh sedikit berbanding SPM 2010.
Berikut merupakan analisis keseluruhan SPM 2011.
SPM 2010 - 62.2 %
SPM 2011 - 58.3 %
Peratusan kelulusan menunjukkan sedikit penurunan namun GPK menunjukkan peningkatan yang membanggakan iaitu 4.66 pada SPM 2011 berbanding 4.97 pada SPM 2010.

Seramai 168 pelajar telah mendaftar untuk Peperiksaan SPM 2011 dan seramai 98 telah berjaya lulus semua subjek yang diduduki. Disenaraikan nama 6 pelajar yang berjaya dengan cemerlang dalam SPM 2011.(GPK bawah 2.00)
1. Muhammad Akmal Bin Mohd Fazil -  8A dan 1B. (6A+. 2A- & 1B+) GPK 0.78
2. Nur Ilham Bt Haji Sabri                  -  8A dan 1B  ( 2A+, 5A, 1A- & 1B) GPK 1.22
3. NurShazliana Bt Mohd Rabat         -  7A, 1B & 1C
4. Muhd Fitri Amri B Jaafar                -  7A, & 2B
5. Muhamad  Afiq B Muhamad Arif    - 7A, & 1B dan 1C
6. Redza Fahmi B Rusli                       - 7A dan 2CO

Pihak sekolah merakamkan setinggi tahniah kepada semua pelajar yang cemerlang dan didoakan semua yang lain juga akan berjaya melalui pasca SPM dengan bijak memilih peluang melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi. Insyaallah diharapkan SMKSMAB akan lebih gemilang dalam SPM 2012. Amin

20 February, 2012

Perginya sebutir mutiara....Cikgu Nordin Bin Pawanchik

Pada tanggal 11 Februari 2012 yang lalu, SMKSMAB dikejutkan dengan suatu berita sedih dan membuatkan suasana pagi hari Sabtu diselubungi rasa terharu semua warga sekolah. 
Cikgu Nordin B Pawanchik telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 3.30 pagi, semasa beliau menerima rawatan di PUTRA MEDICAL CENTRE. Arwah telah berkhidmat selama 27 tahun di SMKSMAB dan merupakan antara guru paling lama berkhidmat di sekolah ini. 



Semasa hayatnya arwah cikgu Nordin merupakan seorang guru pakar dalam subjek sains. Beliau merupakan salah seorang penggubal soalan sains peringkat PMR. Kepakarannya banyak menyumbang kepada kejayaan para pelajar dalam akademik. Tidak terkira bilangan pelajar  SMKSMAB yang telah  menerima didikan beliau, dan mengenali arwah sebagai guru yang suka bergurau dan kelakar.

Arwah cikgu Nordin bersama rakan setugas serta pelajar di sekitar tahun 1992. Kelihatan juga Penolong Kanan SMKSMAB, Puan Jamaliah Bt Abdul Fatah.

Cikgu Shahidan yang merupakan antara tenaga pengajar yang seangkatan dengan cikgu Nordin serta Ustaz Khairul Bazli dan para pelajar sempat menghadiahkan bacaan yassin sebaik sahaja berita kematian arwah dimaklumkan.

Arwah cikgu Nordin bersama barisan AJK PIBG SMKSMAB.

Kami warga Bukhary mengucapkan takziah buat ahli keluarga allahyarham serta mendoakan agar rohnya ditempatkan beserta para solihin. Sesungguhnya budi jasa beliau akan terus dikenang, namanya kekal harum sebagai pejuang bangsa dan agama. SMKSMAB kini kehilangan sebutir mutiara, apalagi yang boleh diucapkan selain ucapan terima kasih dan doa setulus hati.

"Seorang guru yang menyampaikan ilmu yang bermanfaat, menjadikan pahala yang diterimanya akan terus-terusan mengalir malah dilipat gandakan sekiranya anak muridnya mengamalkan dan menyebarkan ilmu tersebut kepada mereka yang lain dan pahala itu tetap akan sampai kepadanya walaupun telah meninggal dunia berabad lamanya."



31 January, 2012

Pemakluman : AMONIA 3 dan Mesyuarat PIBG Kali ke 33 (2012).

Dimaklumkan kepada semua warga Bukharian dan semua waris kepada pelajar, majlis gilang gemilang yang menjadi acara tahunan SMKSMAB iaitu AMONIA 3 ( A MORNING IN AL-BUKHARY) akan diadakan sekali lagi pada 25 Februari nanti, Majlis ini akan diadakan serentak dengan Mesyuarat Agong PIBG kali ke 33. Mesyuarat PIBG kali ini akan diadakan di Dewan Iltizam.

Guru dan Waris berpisah tiada,..pakatan PIBG membina bangsa berjaya.

AMONIA 3 dijangka bermula seawal jam 7.40 pagi manakala Mesyuarat PIBG akan dilangsungkan pada jam 11 pagi. Diharap pelajar dan waris bersedia untuk merealisasikan satu lagi hasrat suci hasil kutipan dari AMONIA nanti.

Sebelum ini AMONIA 1 yang diadakan pada 2010 berjaya mendidikan "Anjung Bukhary" yang merupakan laluan  pelajar untuk masuk ke perkarangan sekolah dengan selamat ketika hujan tanpa perlu bimbang dengan keadaan basah kuyup untuk belajar.

AMONIA 2 pula telah berjaya mewujudkan satu gelanggang permainan untuk pelajar. Gelanggang ini dinamakan "Arena Al-Bukhary" dan sedia untuk digunakan oleh para pelajar untuk aktiviti permainan seperti Bola Keranjang, Bola Jaring, Badminton dan Sepak Takraw.

AMONIA 3 pula akan mensasarkan surau sekolah serta bilik-bilik khas untuk diberi sentuhan dan kemudahan baru seperti cat dan penghawa dingin yang bakal menjanjikan lebih keselesaan buat semua.
Sama-sama kita bekerjasama dalam satu pasukan kerja yang mantap. Semoga para waris dan guru yang bernaung di bawah payung PIBG SMKSMAB akan mengorak langkah yang lebih bersemangat nanti.

Sama-sama kita nantikan detik itu...semoga dipermudahkan Allah. Amin.

19 January, 2012

AL~BUKHARY IN 19 WORKING DAYS.

26.12.2011: Bertempat di Citra Wawasan, Sessi Intraksi Bersama Pengetua (SISPA)Kali Pertama telah dilaksanakan bertujuan untuk berkongsi maklumat tentang SBPA dan perancangan pengurusan sekolah 2012. Interaksi berjalan dalam suasana yg harmoni apatah lagi para guru telah lama tidak bertemu semasa cuti sekolah. Pada keseluruhannya sekolah telah bersedia untuk memulakan sessi persekolahan. Prasarana dan pekarangan sekolah telah diceriakan melalui konsep gotong royong bersama staf sokongan dan pekerja syarikat kebersihan MTS sepanjang cuti persekolahan.



27.12.11: Pekarangan Al~Bukhary kembali hidup seawal jam 7.30 pagi untuk sesi pendaftaran dan suaidiri pelajar Tingkatan 2 dan 3. Para waris turut serta memeriahkan suasana dengan pembelian alatulis di koperasi sekolah. Mereka juga dibenarkan berada di dalam bilik kelas anak-anak mereka yang diberi nama baru iaitu AL MAWARDI(kelas Rancangan Khas), AL BIRUNI (Kelas Aliran Agama),  ALMUSLIM (Kelas A1), AL BATTANI (Kelas A2), AL BITRUJI (Kelas A3) dan AL KINDI (Kelas A4). Sasaran pengetua agar setiap pelajar mesti mempunyai 1 set meja, kerusi, buku teks dan alatulis tercapai.



28.12.11.Sekali lagi Anjung Mutiara meriah dengan kehadiran awal pelajar Tingkatan 4 dan 5. Berbekalkan matlamat yg sama pelajar-pelajar begitu teruja apabila diperkenalkan dengan nama kelas yang baru iaitu IBNU SINA(kelas Sains Tulen), IBNU JAUZI (Kelas Akaun/Agama), IBNU ASAKIR (Kelas Akaun/Perdagangan),  IBNU YASMIN(Kelas MPV Grafik Berkomputer), IBNU HAUQAL (Kelas Geografi/ERT) dan  IBNU KHALDUN (Kelas perdagangan/Pendidikan Seni Visual).



29.12.11: Anjung Mutiara mulai sesak dan majlis dimulakan 15 minit lebih awal. Pelajar-pelajar Tingkatan 1 yang comel hadir bersama keluarga. Taklimat dan ucapan pengetua berkisar tentang Fasafah, Visi dan Misi sekolah yang diubahsuai mengikut prestasi dan sasaran terkini. Pengumuman gelaran "SEKOLAH PENYAYANG KEDAH 2012" yang diberikan oleh Pengarah JPN Kedah pada 15.12.11 disambut dengan tepukan gemuruh para waris dan pelajar yang hadir. Semoga seluruh warga Al~Bukhary sama-sama berganding bahu mengekalkan imej tersebut dan mencapai Visi sekolah " MEMANTAPKAN PRESTASI SEBAGAI SEKOLAH CEMERLANG KEBANGSAAN KE ARAH TAHAP SEKOLAH KLUSTER KECEMERLANGAN".Seramai 215 pelajar berjaya melapor diri dan didaftarkan pada hari tersebut.


2.1.12: Pagi ini sekali lagi menyaksikan kegigihan para waris menghantar anak-anak mereka yang berjaya ditawarkan tempat di asrama. Majlis sekali lagi dimulakan lebih awal bagi meraikan mereka yang telah tiba seawal jam 7.20 pagi. Sekali lagi pengetua sempat menyampaikan taklimat dan ucapan khas kepada para waris dan pelajar terutama peraturan tambahan asrama 2012 termasuk perkhidmatan dobi. Semua pelajar diagihkan mengikut dorm yang diisi penuh.

3.1.12: Hari yang paling indah untuk sesi persekolahan 2012 dimulakan dengan bacaan Ya Sin Perdana di Dataran PIBG diikuti dengan perhimpunan rasmi BACK TO AL-BUKHARY. Ucapan pengetua di samping memperkenalkan guru baru dan analisis PMR turut diikuti dengan gimik SEKOLAH PENYAYANG. Semoga 2012 lebih menyinar untuk semua permata Al-Bukhary



19.1.12: Tepat jam 2.00 petang pengumuman dibuat mengarahkan semua kelas dibersihkan dan pelajar berbaris di luar kelas masing-masing bersedia  untuk bacaan doa. Seperti yang dijanjikan, bacaan doa tepat jam 2.10 petang sebaik sahaja semua kelas telah dibersihkan. 3 pelajar perempuan datang berkunjung untuk memohon restu menyambung pengajian dalam aliran Sains/Agama di SMKAK. Kepada semua guru keturunan Cina, GONG X FA CAI.

10 January, 2012

Motivasi untuk Sukan dan Aktiviti 2012 - Arena Al-Bukhary sedia menanti...



Sesi persekolahan 2012 kini sudah bermula. Sesi Pengajaran dan pembelajaran juga sudah terlaksana seawal hari pertama persekolahan. Kini suasana semakin ceria dengan pelaksanaan Program  1 Murid 1 Sukan yang bakal menyaksikan pelbagai aktiviti kecergasan pelajar. Arena Al-Bukhary kini sedia menanti para pelajar beraksi. Inisiatif yang dirancangkan melalui AMONIA tahun lalu kini sudahpun menjadi realiti dengan kerjasama padu semua pihak terutama PIBG SMKSMAB. Projek ini telah dimulakan sejak September 2011 lalu kini menanti untuk digunakan sebagai gelanggang serbaguna untuk pelbagai jenis sukan seperti gelanggang Bola Jaring, Bola Baling, Tenis dan Badminton. 
Kepada semua pelajar diucapkan selamat beraktiviti. Manfaatkan kemudahan ini untuk beriadah bagi mengimbangkan kegiatan mental dan fizikal yang mantap. Semoga Al-Bukhary lebih gemilang dengan lahirnya bintang-bintang yang cemerlang dalam pelbagai bidang.

04 January, 2012

Majlis Suai Kenal Pelajar Tingkatan 1 sesi 2012

Kelihatan pelajar-pelajar baru SMKSMAB bersemangat menghafal lagu sekolah "Usaha Sinar Kejayaan", semasa minggu suaikenal pelajar baru 2012 yang diadakan di Dewan Iltizam.
Pelajar Tingkatan 1 yang mendaftarkan diri pada 29 hb Disember 2011 lepas diraikan dengan majlis suai kenal selama 3 hari yang bermula pada 3 sehingga 5 Januari. (Selasa hingga Khamis). Majlis ini anjuran Jabatan kaunseling SMKSMAB yang dikendalikan oleh 2 orang kaunselor iaitu Pn Zauyah dan En Ashraf. 
Majlis yang diadakan di Dewan Iltizam ini bermula jam 8.00 pagi sehingga 2.00 petang.

Objektif majlis ini diadakan adalah memupuk rasa kecintaan terhadap sekolah dalam kalangan pelajar baru, sekaligus memperkenalkan mereka terhadap budaya dan peraturan sekolah yang perlu diketahui dan dipatuhi. Semoga 3 hari yang dilalui oleh adik-adik bukharian ini mampu memberi manfaat terhadap mereka dan sekolah.
Selamat datang pelajar baru,..jadilah warga Bukharian yang berjiwa merdeka. Insyaallah.
Related Posts with Thumbnails