28 May, 2011

PASUKAN TAMBOR AL~BUKHARY SEMAKIN MANTAP

28 Mei 2011: Pasukan Tambor Al~Bukhary, satu-satunya pasukan tambor KRS di Malaysia kini semakin mantap. Berbekalkan kegigihan pelajar senior serta kesungguhan pelajar junior dan sokongan padu pengetua serta guru-guru penasihat, pasukan tambor kini maju setapak lagi. Hari ini, hasrat warga Al~Bukhary untuk melihat persembahan tambor yang lebih lengkap bakal terlaksana apabila majoriti ahlinya hadir berbengkel seharian di bawah bimbingan abang-abang senior bekas pelajar (alumni) dari Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH). Mereka telah dibahagi kepada tiga kumpulan iaitu percussion yang dibimbing oleh Sir Zulfadzli, colour guards dilatih oleh Sir Bancakorn dan Sir Azman, manakala brass dididik dari asas oleh Sir Iezad. Hari ini sahaja pasukan colour guards telah mempelajari tujuh gaya putaran (skill)  manakala pasukan brass (trumpet dan trombon) mempelajari lima note. Atas permintaan madam, pasukan ini telah diperkenalkan kepada  arahan-arahan asas dan basic disciplines. Ini bagi memastikan pasukan ini lebih kemas dan teratur sesuai dengan prinsip asas marching band dan tambor KRS. 

Menurut ketua jurulatih, Sir Bancakorn, pasukan ini mempunyai potensi untuk lebih berjaya. Beliau mencadangkan agar setiap kumpulan mengikuti kaedah latihan di KSAH iaitu  melantik section leader. Pasukan colour guards juga dipelawa untuk berlatih bersama-sama marching band KSAH. Pucuk dicita ulam mendatang. Sesungguhnya, kehadiran alumni KSAH amat besar ertinya dalam masa Al~Bukhary berlatih tanpa instructor. Tahniah dan terima kasih kepada para guru yang sanggup mengorbankan masa menemani dan mengawasi pelajar secara bergilir sepanjang hari.

Dek kerana semangat yang berkobar-kobar oleh semua pihak, madam telah bersetuju untuk menjalankan bengkel kedua pada 11 Jun akan datang. Wang boleh dicari, tetapi peluang seperti ini sukar diperolehi dan terlalu berharga untuk dilepaskan.

TERUSKAN TAMBOR AL~BUKHARY!

23 May, 2011

TEKS PERUTUSAN MADAM SEMPENA HARI GURU 2011 - "SOAL HATI"

Assalamuaikum wm.wb and a very special  morning,
Ladies and gentlemen, boys and girls;

It is indeed another special occasion for all of us. Not only we, the teachers   are here today to celebrate TEACHERS’ DAY but most of all, YOU, our beloved boys and girls; for without you we are nobody. The school will be a very idle place and we teachers will not exist. As for today, 16th May 2011,  I must admit that I have been looking forward for it despite of my dragging cough and flue. It is really SPECIAL and I hope we will have a good time together.

Pada pagi yang barakah ini, terlebih dahulu madam ingin mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada semua para guru yang sentiasa berada bersama madam, samada di waktu senggang, maupun di waktu getir. Segala usaha dan jerih payah rakan-rakan guru sekelian dalam memenuhi keperluan perkhidmatan dan pengurusan sekolah serta bilik darjah mau pun melayani pelbagai ragam dan  karenah murid amat saya hargai dan sanjungi. Budi baik dan kegigihan para guru sekelian menjadikan saya berasa amat kerdil dan rendah diri. Untuk itu, saya hanya mampu mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih.

Seterusnya madam dengan rasa besar hati ingin mengambil kesempatan menyampaikan ucapan dalam majlis ini bagi membicarakan tentang SOAL HATI. Ada hadith meriwayatkan bahawa seseorang itu dinilai baik atau buruknya melalui niat di hati...jika baik hatinya maka baiklah orangnya, jika busuk hatinya maka buruklah pekertinya dan jika baik niat hatinya, maka baiklah pekerjaannya. Sebagai seorang guru semestinyalah kita  sentiasa mempunyai niat hati yang tulus kudus, serta sentiasa  rela hati dalam melaksanakan tugas seharian.  Memanglah tanggung jawab kita berat, namun janganlah kita berat hati untuk melakukan yang terbaik malah kita  mesti sentiasa peka dengan gerak hati serta bersifat  suci hati. Anak-anak didik kita memang ada yang keras hati, mau pun benak hati tetapi jika kita baik hati dan bulat hati, insya Allah, mereka juga akan lembut hati. Kita juga mestilah sentiasa senang hati dan suka hati melayani karenah anak-anak didik kita kerana saya percaya walau pun mereka bukan semuanya terang hati namun pasti ramai yang akan tertarik hati malah lembut hati untuk menerima pengajaran yang diberi  dengan sepenuh hati. Saya juga yakin, anak-anak didik kita bukanya buta mata dan buta hati. Bersikap adillah, agar mereka tidak terasa hati, kecil hati mau pun jauh hati, simpan hati apatah lagi terbakar hati.

Kepada para pelajar sekelian, terimalah segala nasihat dan tunjuk ajar guru dengan terbuka hati. Kamu jangan sekali-kali berasa walang hati kerana kamu semua sentiasa dekat di hati kami. Kami mahu kamu semua belajar sepenuh hati dan berkawanlah dengan jujur dan seikhlas hati. Janganlah iri hati jika kawan2 lain lebih berjaya tetapi bulatkan hati untuk turut bersaing . Jangan terlalu emosional kerana ikut hati, mati. Madam dan rakan-rakan guru sudah tentu tidak sampai hati jika ada di kalangan anak-anak sekelian makan hati. Memang berat hati kami melepaskan anak-anak pelajar sekelian meninggalkan sekolah ini dengan kosong hati. Oleh itu, berhati-hatilah setiap masa. Cubalah menjaga hati semua orang terutama para ibu bapa dan guru yang sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kamu dari sudut hati masing-masing.

Seterusnya, madam dan rakan-rakan guru akan sentiasa merangka yang terbaik untuk para pelajar mempersiapkan diri terutama menjelang  PMR dan SPM yang bakal tiba. Bilik-bilik darjah yang usang sentiasa cuba diperbaiki. Studio Matematik telah sedia untuk digunakan sepenuhnya. Ruang rehat dan tempat belajar sedang cuba diperbanyakkan agar pelajar dapat menelaah dan menyiapkan kerja rumah atau membuat perbincangan kumpulan. PSS yang nyaman sudah beroperasi sepenuhnya. Lanskap yang menyejukkan mata cuba dimeriahkan agar anak-anak pelajar berasa tenang, malah kami sedang merangka untuk mengadakan bilik mandi agar pelajar yang “stay back” berasa segar walaupun berada di sekolah hingga lewat petang. Di samping itu, bilik kaunseling akan didinginkan agar proses bimbingan dan aktiviti  PRS boleh berlangsung dengan aman. Kelas tution pada waktu malam pula  akan dianjurkan dengan kerjasama PIBG selepas hari raya nanti. Tidak lupa, projek utama kita iaitu pembinaan  Arena Al~Bukhary telah menghampiri dana yang diperlukan. Kita masih menunggu sumbangan pelbagai pihak untuk merealisasikan pembinaannya yang dijangka dalam bulan puasa ini. Sehubungan itu, madam menyeru semua warga Al~Bukhary agar sentiasa bersedia untuk meyumbang walaupun wang syiling satu sen. Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Seduit-seduit lama-lama jadi seribu ringgit.

I really hope that we will achieve our dream of making Al~Bukhary our second home...a place to learn, work and play.

As for our occasion today, come 16th of May every year I hope we will remember our happy times  in Al~Bukhary years and years after. All my prayers for your future undertakings, may ALLAH bless us always, take care and I LOVE YOU ALL.

To all my collegue, HAPPY TEACHERS’ DAY.

Thank you.
Wabillahitaufik wal hidayah,
Assalamualaikum wm.wb.

Bicara hati seorang Ibu Guru....cetusan ilham diari hati ibu,...semuanya untuk anak-anak didik tersayang.

14 May, 2011

Larian Bendang,...Al-Bukhary mendapat Pengiktirafan Sultan.

Larian Bendang adalah acara tahunan sempena Hari Penyayang yang dianjurkan oleh Pihak Yayasan Sultanah Bahiyah. Acara ini telah berjaya dilangsungkan pada hari Sabtu lepas bersamaan 7 hb Mei 2011. SMKSMAB juga menyumbang peranan istimewa dalam larian ini. Istimewanya adalah kerana berjaya mendapat pengiktirafan Sultan Kedah sebagai sekolah yang ke 2 menghantar peserta paling ramai.

Sultan Kedah, Duli Yang Maha Mulia Tunku Abdul Halim Muadzam Shah berkenan untuk menyampaikan piala dan sijil kepada wakil Al-Bukhary iaitu Ustaz Zaki.

Berkongsi kebanggaan...Kelihatan cikgu Ashraf dan Abang Wan bersama Ustaz Zaki dan peserta larian bendang.

AL~BUKHARY .... keluarga kerja yang mantap dan prihatin!

Dalam kesibukan menghadapi peperiksaan pertengahan tahun (PPT), pihak pengurusan SMKSMAB sempat juga mencuri ruang untuk menyampaikan sumbangan zakat kepada pelajar-pelajar yang memerlukan. Mereka dikenalpasti oleh guru kelas masing-masing. Peruntukan sebanyak  RM5,000.00 diagihkan dalam bentuk pakaian rasmi/koporat sekolah: track-bottom, t-shirt PJ, t-shirt Kokurikulum, vest dan tali leher. Diharapkan pelajar-pelajar Al~Bukhary yang kurang berkemampuan dapat tampil segak dan kemas seperti rakan-rakan yang lain.

Sepanjang minggu ini juga unit HEM menyampaikan sumbangan KWAPM kepada pelajar-pelajar yang dilanda banjir 2010. Strategi pihak pengurusan mengagihkan sumbangan mengikut tingkatan amat membantu melicinkan penyerahan. Untuk memudahkan lagi urusan, pihak sekolah meyediakan "sistem kaunter bayaran setempat" di mana para waris dan pelajar boleh terus menyelesaikan urusan-urusan lain bersama guru kelas masing-masing. Tahniah dan terima kasih atas kerjasama semua warga Al~Bukhary: staf sokongan yang mengira wang dengan tepat, penyelaras yang membuat pendaftaran yang lancar, guru-guru kelas yang mengendalikan kaunter dengan sistematik, para waris yang tenang dan sabar dan para pelajar yang berdisiplin.

Di celah-celah itu juga, unit kurikulum berjaya menganjurkan satu lagi LDP berbentuk "micro-teaching". Hasrat saya sebagai pengurus kurikulum ialah agar para guru sentiasa dibajai dengan pelbagai strategi dan pendekatan alternatif dalam P&P. Saya juga telah bersedia untuk menyampaikan motivasi XPLUS sebagai pembuka tirai, tetapi atas nasihat doktor saya diminta pulang berehat. Terima kasih sekali lagi kepada staf yang menghantar saya ke hospital dan pulang ke rumah.

Hari ini saya masih "mc" namun minda saya ligat membayangkan penganjuran Kejohanan Balapan dan Padang yang akan dilaksanakan bulan depan di Stadium Darulaman..satu venue yang mengujakan. saya yakin kita boleh laksanakan dengan baik.

Saya amat bersyukur mempunyai keluarga kerja yang mantap dan prihatin!

09 May, 2011

Contohi mereka....Idola sebenar seorang pelajar.

Musim peperiksaan sedang melanda bumi SMKSMAB sekarang. Semua pelajar sedang menghadapi Peperiksaan Pertengahan Tahun. Admin terpanggil untuk berkongsi sedikit pengalaman pelajar-pelajar cemerlang yang sedia kita maklum. Antara insan istimewa yang boleh pelajar SMKSMAB jadikan idola atau ikutan ialah Nur Madihah (pelajar cemerlang SPM 2008) dan Azali Azlan (pelajar cemerlang SPM 2007) peringkat negara.   Dua insan yang berbeza,...namun mempunyai hala tuju yang sama,..fokus terhadap pelajaran.  

Azali telah meraih 20 1A dalam matapelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Sains, Pendidikan Islam, Fizik, Kimia, Biologi, Geografi, Matematik Tambahan, Ekonomi Asas, Perdagangan, Prinsip Perakaunan, Bahasa Arab Tinggi, Kesusasteraan Melayu, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah, Tasawwur Islam serta Pendidikan Seni Visual. Di samping itu Azali mendapat 2A dalam mata pelajaran English for Science and Technology (EST).

Azali yang juga merupakan Tokoh Nilam Kebangsaan 2007 adalah satu-satunya calon yang mengambil 21 subjek dalam peperiksaan SPM 2007. Sebelum ini beliau mendapat keputusan lima A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan sembilan A dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Azali Azlan percaya kesabaran dan ketekunan belajar menjadi kunci kepada kejayaannya memperoleh keputusan 20 1A dan satu 2A dalam peperiksaan itu. Menurut anak kelahiran Butterworth itu, sikap tersebut terbukti berjaya membina kekuatan dalaman dalam dirinya bagi menghadapi sebarang cabaran yang mendatang. Beliau tidak pernah mengikuti tuisyen khusus, sebaliknya hanya menyertai tuisyen di sekolah untuk mata pelajaran Kimia dan Prinsip Perakaunan. Beliau juga belajar sendiri sembilan subjek yang tidak diajar di sekolah.


Sedikit berbeza dengan Azali, pelajar SPM terbaik 2008 iaitu Nik Nur Madihah mempunyai rentetan pilu sebelum berjaya meraih kejayaan. Pelajar miskin ini tidak pernah mengalah dengan nasib keluarganya malahan semakin bersemangat untuk merubah keadaan. Baginya, hidup tanpa peralatan canggih dan kemudahan sempurna bukan penghalang untuk seseorang menempa kejayaan. Malah kesukaran dan kekurangan itulah yang menjadi pendorong kepada usaha untuk mengubah nasib ke tahap lebih baik sambil membahagiakan ibu bapa.Siapa sangka rumah yang kelihatan hampir roboh ini menyimpan sebutir permata berharga yang bakal menyinar suatu hari nanti.Bahkan tidak seorang juga yang terfikir bahawa permata yang berlindung di rumah ini telah mencipta sejarah dengan memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM 2008).  Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2. Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu yang menjadi tempatnya untuk berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari.

 “Kadang-kadang saya menitiskan air mata sebab kakak (panggilan keluarga kepada Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal,  terpaksa berpuasa sebab tidak ada wang untuk beli makanan.“Tetapi alhamdulillah, kakak memahami keadaan keluarga. Malah kakak menjadikan ibadah itu sebagai rutin pada setiap hari Khamis dan Isnin sejak berumur 12 tahun.” Demikian luahan ibu kepada pelajar Nik Nur Madihah, Mariani Omar, 42, ketika ditanya mengenai kesusahan dia dan suami, Nik Mohd. Kamal Hussein, 41, membentuk seorang insan contoh. Katanya, biar susah bagaimana sekali pun, anak sulung daripada empat beradik itu tidak pernah merungut. Malah Nik Nur Madihah, menurutnya, melalui semua kepayahan itu dengan tabah dan menerimanya sebagai cabaran untuk berusaha dengan lebih keras.

Dua insan istimewa yang berbeza cerita tetapi berkongsi kejayaan yang sama. Azali mungkin lebih bernasib baik daripada Nur Madihah yang terpaksa berperang dengan wang ringgit., namun mereka berdua adalah idola yang sewajarnya menjadi pendorong kepada semua pelajar SMKSMAB. Semoga coretan kali ini memberi sedikit keinsafan untuk lebih fokus terhadap pelajaran. Selamat menghadapi peperiksaan buat semua pelajar..ingatlah di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

28 April, 2011

Karnival Kesenian dan Kebudayaan Kota Setar.- Kombo Al-Bukhary menang lagi.

Khamis 28 April 2011-  Kombo al-Bukhary sekali lagi menunjukkan taringnya setelah berjaya menjuarai Pertandingan Kesenian dan Kebudayaan Peringkat Kota Setar kategori kugiran. Kejayaan yang sama telah diraih pada tahun 2010. Ini bermakna Kombo Al-Bukhary telah 2 tahun berturut-turut bergelar juara. Shabas.
Kategori Kugiran juga memperlihatkan SMK Sutanah Bahiyah menjadi Naib Johan manakala Kolej Sultan Abdul Hamid sebagai pemenang ketiga.

Juara lagi,..pasukan Kombo Al-Bukhary unggul menjuarai kategori Kugiran

Antara aksi yang menarik ditunjukkan oleh Kombo Al-Bukhary.

Para guru dan jurulatih berkongsi kegembiraan setelah berkorban masa dan tenaga melatih pasukan sekolah. Kelihatan Puan Azizahwati dan Pn Norazaina  yang bangga dengan kejayaan ini. tahniah.
Dalam kategori Nayanyian Solo, peserta SMKSMAB berjaya memberikan persembahan menarik walaupun tidak berjaya mendapat tempat pada kali ini. Cuba lagi tahun hadapan.

Penyanyi kategori solo dalam pertandingan Nyanyian lagu patriotik, Salsabela tampil menarik dengan pakaian yang direka beradaptasikan Jalur Gemilang.


22 April, 2011

Tahniah Pasukan Bola Baling SMKSMAB.

Pasukan Bola Baling sekolah berjaya meraih tempat ketiga dalam kejohanan Bola Baling Peringkat Daerah Kota Setar. Kejayaan ini telah menamatkan kemarau sejak 4 tahun lalu di mana kali terakhir kejayaan yang sama dikecapi pada tahun 2007. Tahniah diucapkan.

Kelihatan Pasukan Bola Baling SMKSMAB meraikan kejayaan mereka. Turut bersama berkongsi kegembiraan ini adalah Penolong Kanan Kokurikulum SMKSMAB, Puan Pauziah Bt Ahmad, Pengurus Pasukan Cikgu Sobri B Yusof dan penyokong kuat aktiviti sukan saudara Azuan. Tahniah.

Pasukan Bola baling SMKSMAB berjaya melepasi pusingan suku akhir dengan mengalahkan Pasukan kolej Abdul Hamid 3 -1 tetapi kalah di peringkat separuh akhir di tangan SMK Kubang Rotan 1 - 3. Biarpun hanya di tempat ketiga, ini tidak bermakna pasukan sekolah kita kalah. Insyaallah jika berusaha bersungguh-sungguh tidak mustahil impian untuk menjadi Juara pada tahun hadapan akan menjadi kenyataan. Cuba lagi ye..Sekalung tahniah.

MACA 2011... Luahan hati seorang "madam principal", guru dan....ibu...

"...makkkkkkk!!!!!!! ini Tanggang mak!!!benar ini Tanggang anak mak!! makkkkkkkkkkkkkkk!!!!!!!!!!!!!!!!!!!"

Laungan dan raungan penuh emosi watak si Tanggang yang dipamerkan oleh Syaqieren  begitu memilukan sehingga ramai para hadirin wanita menitiskan air mata manakala hadirin lelaki terkedu hiba...

Sebenarnya, MACA 2011 dengan tema "untukmu ayah dan ibu" telah memberi ruang untuk saya dan warga Al~Bukhary meluahkan perasan kami melalui ucapan, persembahan dan penganjuran secara keseluruhan. Bermula dengan acara sambutan oleh pesilat, perarakan , pemeriksaan barisan kehormat, gamelan, pengacaraan, penyampaian anugerah, persembahan dan penyajian, hampir semuanya dijayakan oleh pelajar dengan bimbingan para guru khusus untuk meraikan para ibu bapa. Sesi ucapan pengetua telah saya abadikan untuk meluahkan perasaan, kepercayaan, komitmen dan ketulusan hati saya untuk KEMENJADIAN anak-anak Al~Bukhary manakala sketsa si Tanggang dan lagu-lagu yang didendangkan semuanya untuk kita sama-sama hayati dan renungi tanggung jawab serta amanah yang diberikan kepada kita sebagai ayah dan ibu, juga untuk ayah dan ibu kita semua.

Hayatilah kandungan teks ucapan saya..luahan hati seorang "madam principal", guru dan...ibu...

Madam Dewi Rosnah Binti raden Suhadi.
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamulaikumwarahmatullahi wabarokatuh
Yang Berbahagia, Tn Hj. Mustafa b. Abd. Hamid,
Ketua Sektor Jaminan Kualiti.
Jabatan Pelajaran Negeri Kedah Darul Aman

Yang Berusaha En. Amry bin Abd Latib
Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kota Setar,
Unit Pengurusan Sekolah

Yang dihormati Pn. Hjh Sharifah Fatimah bt. Syed Nor mewakili keluarga Allahyarham Syed Mohamed Al-Bukhary

Yang dihormati En. Zainal Annuar b. Mohd Zain,
Naib Yang diPertua PIBG SMKSMAB

Para jemputan Khas, Mantan Pengetua dan Mantan Penolong Kanan SMK Syed Mohamed Al-Bukhary,

Pengetua-Pengetua dan Guru Besar-Guru Besar,
Dif-Dif Jemputan, Para Waris, Guru-Guru dan pelajar-pelajar sekalian.

Terlebih dahulu saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan rahmat-Nya kita berkesempatan hadir pada pagi ini ke majlis yang telah dirancang. Keutamaan, keperihatinan dan pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan untuk meluangkan masa amatlah kami hargai dan diucapkan jutaan terima kasih.

Hadirin yang dihormati sekalian,
Seperti yang saya nyatakan dalam ucapan saya dalam majlis yang sama tahun lepas, sebenarnya kami amat berhasrat untuk menjemput semua ibu bapa termasuklah para waris yang anak-anaknya terlibat dalam persembahan pada hari ini. Tambahan pula senarai penerima anugerah tahun ini semakin bertambah seperti yang tercatat dalam buku program. Namun begitu, disebabkan ruang dewan yang amat terhad dan kurang selesa, maka hasrat ini terpaksa sekali lagi ditangguhkan.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Majlis Anugerah Cemerlang Al-Bukhary (MACA 2011) pada tahun ini dirancang bertemakan “Untukmu ayah dan ibu”. Kami memilih tema ini sebagai menghargai jasa dan sumbangan para ibu bapa dalam memastikan kejayaan anak-anak masing-masing. Kegigihan para ibu bapa mendidik dan mentarbiahkan anak-anak di rumah menjadikan tugasan kami sebagai guru lebih lancar. Saya juga ingin meluahkan rasa syukur dan terharu atas kepercayaan penuh yang telah diberikan oleh para ibu bapa sekalian terhadap kami. Sepanjang 443 hari saya menerajui sekolah ini, tiada sebarang insiden yang melibatkan pertelingkahan atau konflik di antara pihak sekolah dengan para ibu bapa. Beberapa masalah memang pernah timbul tetapi dapat diselesaikan secara musywarah dan permuafakatan. Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kepada semua ayah dan ibu para pelajar Al-Bukhary. Saya mengharapkan agar kepercayaan dan keakraban kita akan berterusan. Saya juga berhasrat untuk terus berbakti
bersama-sama rakan guru dan staf yang lain demi kecemerlangan anak-anak yang diamanahkan oleh para ibu bapa kepada kami.

Hadirin yang dimuliakan,
Mengimbas kembali komitmen kami tahun lepas, kita telah membuat perancangan dan sasaran headcount , iaitu 89.4% PMR dengan GPS 2.28 dan 74.7 % SPM dengan GPS 4.60. Sebagai motivasi awal mulai tahun lepas juga kita bersetuju menawarkan pelbagai anugerah berserta hadiah iringan dan wang tunai sebagai insentif berdasarkan kriteria pencapaian seperti yang tercatat dalam buku program yang telah diedarkan. Contohnya, ANUGERAH KARISMA AL~BUKHARY, ANUGERAH MUMTAZ AL~BUKHARY, ANUGERAH TUNAS AL~BUKHARY, dan tahun ini ditambah dengan ANUGERAH PEKERTI AL~BUKHARY. Di kesempatan ini juga, saya bagi pihak seluruh warga sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang, khususnya untuk anugerah-anugerah atas nama keluarga yang akan disampaikan setiap tahun terutama kepada Pn. Hjh. Sharifah Fatimah mewakili keluarga Allahyarham Syed Mohamed AlBukhary. Terima kasih daun keladi.

Bagaimanapun terus terang saya katakan bahawa keputusan peperiksaan awam 2010 tidak begitu membanggakan; ibarat air laut, tentu ada pasang dan surutnya...namun tidaklah sampai berlaku tsunami... Untuk PMR kita berjaya meningkat sebanyak 3% iaitu dari 76.8% kepada 79.8% manakala GPS dapat dikekalkan kepada 2.5 Namun begitu, keputusan SPM yang begitu melonjak pada tahun 2009 kembali melorot ke posisi normalnya iaitu dari 70.9% kepada 62.2% manakala GPS turut menyusut dari 4.69 kepada 4.97 Keputusan penuh pencapaian mata pelajaran 2010 ada tertera dalam buku program. Namun begitu hadirin sekelian, kita sewajarnya bersyukur kerana keputusan keseluruhan sekolah ini masih lagi berada di tahap baik berpandukan keputusan keseluruhan daerah Kota Setar dan negeri Kedah. Saya yakin kita masih akan kekal di band 4 kalau pun tidak berpeluang memperolehi bai’ah.

Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah,
Bercakap tentang kejayaan pelajar, saya rasa kita sering kali tersilap tanggapan. Acap kali apabila keputusan peperiksaan awam diumumkan, maka anak-anak kita yang berjaya dengan cemerlang akan dijulang dan diberikan pengiktirafan, malah hebahan, keraian dan insentif istimewa. Sebagai seorang pengetua, madam principal, guru dan pendidik, tentulah saya turut berbangga dengan pencapaian mereka. Namun naluri hati saya sebagai ibu seringkali terlerai melihat lirik mata dan senyum pahit anak-anak kita yang kurang cemerlang dalam akademik. Jauh disudut hati mereka saya yakin bahawa mereka juga ingin mengecapi kejayaan. Hakikatnya, anak-anak kita memang berbeza-beza.. dari segi kecerdasan minda, IQ, bakat, kebolehan, latar belakang keluarga malahan fizikal anak-anak itu sendiri. Ada yang sangat beruntung tetapi ada juga yang kurang bernasib baik or under privileged. Bertitik tolak dari suasana itulah maka MACA 2011 mengambil inisiatif mempelbagaikan kategori
anugerah. Anak-anak Al~Bukhary bukan sahaja dinilai dan diiktiraf dari segi pencapaian akademik tetapi kita juga mempertimbangkan pencapaian mereka dalam bidang sahsiah dan kokurikulum. Kami benar-benar cuba memberi ruang kepada kemenjadian pelajar mengikut bakat dan kemampuan mereka dalam bidang masing-masing. Untuk itu, para ibu bapa sekalian, saya rasa bersyukur kerana anak-anak Al~Bukhary berjaya memperlihatkan aspek-aspek kemenjadian ini dengan baik. Misalnya, dalam bidang sukan dan permainan, kita seringkali mencuri perhatian kerana semangat juang, kesungguhan dan permainan bersih walaupun jarang sekali menjadi juara. Dalam bidang uniform pula, anak-anak Al-Bukhary segak bergaya mematuhi pemakaian pakaian seragam setiap hari Selasa dan aktif sehingga petang. Paling menyejukkan hati dan melapangkan dada ialah anak-anak Al-Bukhary siap siaga membaca surah Ya-Sin tepat jam 7.30 pagi setiap hari sebelum masuk ke kelas. Jadi, marilah sama-sama kita
menghargai dan membajai kemampuan dan kejayaan mereka dalam aspek bukan akademik ini.

Para ibu bapa dan hadirin yang dihormati sekelian,
Sesuai dengan tema MACA 2011, iaitu “Untukmu ayah dan ibu”, sebentar tadi tuan-tuan dan puan-puan telah menyaksikan sendiri bakat dan kebolehan anak-anak kita beraksi dengan silat, sambutan, barisan kehormat, tambur, gamelan dan pengacaraan. Bersesuaian rasanya dengan konsep majlis yang kita hadiri pada hari ini yang dahulunya lebih dikenali dengan panggilan Hari Ucapan atau Hari Ibu Bapa. Selain mendengar ucapan, selepas ini para ibu bapa akan menyaksikan pelbagai persembahan anak-anak Al~Bukhary serta turut dijemput menghadiri kenduri kesyukuran kami. Semoga kehadiran tuan-tuan dan puan-puan hari ini amat bermakna, diingati dan dihargai.
Sebelum mengundur diri, saya mewakili seluruh warga SMKSMAB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tn. Hj. Mustafa b. Abd. Hamid atas keprihatinan beliau terhadap kemenjadian SMKSMAB melalui program pemuafakatan sekolah-sekolah dalam kawasan kompleks pendidikan. Tidak ketinggalan, ucapan terima kasih kepada En. Amry b. Abdul Latib, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kota Setar yang sentiasa cuba memenuhi permintaan kami dalam pelbagai aspek. Seterusnya kepada Pn. Hjh Sharifah Fatimah bt. Syed Nor, keluarga dermawan Al-Bukhary atas keprihatinan keluarga mereka kepada kami, kepada mantan-mantan pengetua dan mantan-mantan Penolong Kanan SMKSMAB, sesungguhnya tuan-tuan / puan-puan sekalian telah gigih membangunkan sekolah dan sentiasa melekat di hati Al-Bukhary. Kepada dif-dif jemputan, para penyumbang serta hadirin sekalian, saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kerana sudi memeriahkan majlis kami. Tidak
lupa juga sekalung penghargaan kepada para guru dan staf, PIBG, waris dan pelajar-pelajar atas segala pengorbanan dan sumbangan material, idea, keringat dan masa demi Al-Bukhary Intergrasi.
Sebelum saya mengakhiri bicara, terimalah tiga rangkap pantun seloka:

Bagaimana tidak ku rebut,
Batu berendam dari hulu;
Bagaimana tidak kusebut,
Sudah ku pendam dari dahulu.

Di kiri jalan di kanan pun jalan,
Di tengah-tengah pohon meranti,
Diiri jangan dipuji pun jangan.
Sama-sama membina Al-Bukhary

Anakmu tuan anakku jua,
Berkembang bakat di Al-Bukhary;
Kemenjadian terserlah permata negara,
Untukmu ayah, ibu dan pertiwi.

Akhir sekali, marilah sama-sama kita menzahirkan rasa cinta dan komitmen kita terhadap anak-anak Al-Bukhary, menyokong segala usaha mereka memburu kecemerlangan yang seimbang, menghargai kemampuan mereka seadanya dan berdoa agar tercapai apa yang mereka idamkan.

SMAB: Sentiasa Menandingi Aura Bestari
Sekian. Terima kasih.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Related Posts with Thumbnails