14 February, 2011

Arena Al-Bukkhary


Salam semua, inilah pelan bagi pembinaan "Arena Al-Bukhary" yang menjadi teras kepada penganjuran program AMONIA 2 pada 5 Mac nanti. Pelan ini menunjukkan pembinaan gelanggang yang fleksibel untuk permainan bola jaring, tenis, bola tampar dan sepak takraw. Arena Al-Bukhary adalah keperluan yang mendesak kepada lebih 1000 pelajar SMKSMAB yang begitu memerlukan tempat untuk beraktiviti samada waktu Pendidikan Jasmani mahupun aktiviti Kokurikulum selepas persekolahan.
Sama-samalah kita menyokong pembinaan gelanggang serbaguna ini dengan sama-sama memeriahkan AMONIA 2 dengan membeli kupon yang berharga RM10.00 setiap satu. Para pelajar boleh mendapatkan kupon melalui guru tingkatan masing-masing. Kupon untuk waris dan jemputan lain juga disediakan. Nantikan hari AMONIA 2 pada 5 Mac nanti. Jangan lupa hari itu juga akan diseiringkan dengan satu lagi majlis iaitu Mesyuarat Agung PIBG. Selain itu pelbagai aktiviti seperti pertandingan Futsal, Sukaneka serta Peraduan Mewarna juga menanti penglibatan semua.

Inilah rupanya kupon yang boleh dibeli untuk aktiviti AMONIA 2 pada 5 Mac nanti. Kupon di atas adalah untuk waris dan orang perseorangan manakala kupon di bawah untuk semua pelajar.

Maulidurrasul VS Valentine Day.

Bulan Februari tahun ini mempunyai 2 tarikh berturutan dengan 2 event yang sangat kontradik. Hari ini 14 Februari 2011 adalah hari yang dinamakan Valentine Day, manakala esok 15 Februari 2011 merupakan ulangtahun kelahiran junjungan besar umat Islam Nabi Muhammad S.A.W. Satu menuju jalan syaitan, yang satu lagi menuju jalan Nabi SAW. Satu mengundang murka Allah, yang satu lagi mengundang redha Allah. Satu membawa ke neraka, yang satu lagi membawa ke syurga, dengan izin Allah.
Bagi generasi muslim yang jauh dari agama, terutama remaja, Valentine Day memberi makna sangat besar kepada mereka. Sayugia diharapkan pelajar-pelajar SMKSMAB tidak mengikut budaya ini!. Hari Valentine disalahertikan,  mereka menumpahkan kasih-sayang kepada boyfriend atau girlfriend mereka. Bukan setakat kasih-sayang, maruah, tubuh dan rasa malu juga melayang. Lantaran hal ini akan mengakibatkan gejala sosial semakin melarat. Mereka menurut jejak langkah syaitan yang menyesatkan mereka di dunia, dan di akhirat dihumban ke dalam neraka kalau tidak bertaubat.
Maulidurrasul pula menjadi di antara peluang mukmin meneliti diri sendiri. Setakat mana mereka berikan masa, diri, harta mereka untuk Islam sebagaimana Nabi SAW telah memberikan seluruh hidupnya untuk Islam. Setakat mana kelahiran Baginda itu dapat menjadi motivasi menyuburkan semangat juang bagi menegakkan Islam seperti yang pernah ditegakkan oleh Baginda sepanjang 23 tahun bergelumang dengan dakwah dan perjuangan.
Rasa cinta Nabi mesti disuburkan. Manakala menyubur rasa cinta melalui Ventine Day mesti dikuburkan. Semoga kita semua dapat menyuburkan rasa cinta kepada Nabi dan mengelakkan cinta ternoda melalui Valentine Day.

05 February, 2011

Happy New Year...surprise!

Kejutan untuk semua guru-guru yang akan menyambut Tahun Baharu China dari Madam Dewi Rosnah, sekeping kad beserta lagu tahun baru.
Hari Isnin, 31 Januari 2011 adalah hari terakhir persekolahan sebelum sekolah bercuti sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan disambut di seluruh negara oleh penganut agama budha. Perhimpunan rasmi sekolah pagi Isnin ini diserikan dengan "surprise" buat guru-guru SMKSMAB yang berbangsa Tionghua...Mr Teoh, Pn Chong, Miss Teh, Pn Lai. dan Pn Ong Yain Chaing. Madam Dewi Rosnah telahpun berpakat dengan beberapa guru...irama lagu mandarin dengan lagu tahun baharu bergema memenuhi ruang dewan,...sambil madam secara simbolik menghadiahkan kad ucapan Selamat tahun Baharu" kepada semua guru terbabit. Pelajar bertepuk tangan gembira...peristiwa yang kecil ini memberikan makna yang besar..perasaan muhibbah berjaya disemai kepada semua pelajar..semuanya gembira dan merasakan perayaan ini adalah milik bersama. Happy new Year. Semoga tahun arnab dalam kalendar cina tahun ini membawa kemakmuran kepada semua..

Kem Smart Solat Tingkatan 1 sesi 2011

Setiausaha Kem Smart Solat Pn Rita Juraida sedang memberi taklimat kepada
para fasillitator daripada kumpulan pelajar tingkatan 5 yang akan membantu
perjalanan kem pada hari tersebut.
Setiap tahun Panitia Pendidikan Islam akan mengadakan Kem Solat kepada semua pelajar baru khususnya yang baru mendaftar di tingkatan satu. Pada sesi 2011, Kem Smart Solat telah berlangsung dengan jayanya pada 29 Januari 2011, dari jam 8.00 pagi sehingga 12.00 tengahari bersamaan hari Sabtu dan bertempat di surau SMKSMAB. Objektif Kem ini ialah memperbetulkan tatacara dan bacaan dalam solat pelajar serta mematuhi kaedah solat rasulullah saw.



 Semoga usaha murni ini menjadi asas pembinan pribadi dan akhlak mulai dalam kalangan pelajar SMKSMAB yang bakal mendokong kejayaan dalam hidup mereka di dunia dan akhirat. Amin.

02 February, 2011

Sessi Interaksi Bersama Waris (SISWA 1/ 2011)

Khamis 27 Januari 2011...pagi itu tidak seperti pagi-pagi biasa. Bagi ku pagi itu lebih istimewa, hening dan syahdu. Namun di hatiku agak mendebarkan. Sebenarnya aku telah "terlepas kata" ketika membuat ucapan dalam perjumpaan pertama dengan para waris pelajar Tingkatan 1 pada hari pendaftaran 29 Disember 2010. Dalam ucapan tersebut, aku telah pahatkan ke dalam hati anak-anak didikku betapa bertuahnya mereka kerana berjaya mendaftarkan diri di sekolah ini. Aku juga telah pasakkan ke dalam minda para waris agar sentiasa prihatin terhadap perkembangan pendidikan dan sahsiah anak-anak mereka. Aku yakinkan mereka bahawa strategi sekolah ini ialah "discipline first". Untuk itu, mereka mesti pastikan anak-anak mereka berada dalam kawasan tembok sekolah sebelum 7.30 pagi. Aku perkemaskan bahawa amanah dan tanggung jawab mendidik dan mentarbiahkan anak-anak mereka akan ku laksanakan sebaik-baiknya bersama rakan-rakan guruku. Aku ucapkan terima kasih kepada mereka kerana memberi kepercayaan kepada pasukan kerjaku dan aku juga mohon izin daripada mereka untuk menjalankan tugasku sebagai ibu mereka sepanjang masa mereka berada di sekolah. Aku jemput mereka melawat sekitar kawasan sekolah dan bilik darjah di mana anak mereka akan ditempatkan. Akhir sekali aku mempelawa mereka untuk hadir ke sekolah dalam masa sebulan, iaitu pada hari ini, untuk berinteraksi dengan para guru tentang perkembangan anak-anak mereka.

Sebenarnya aku mengambil idea dari Hornsey School, London ketika menjadi "shadowing principal" di sana. No formal invitation; it is just an open session whereby  parents are welcomed to discuss about their children after a month being in the school"..itulah antara yang dijelaskan oleh Mr. Andy Yarrow, the head teacher kepada ku ketika itu. Justeru, perjumpaan pagi ini tiada persiapan khas, tiada back-drop atau banner, tiada jamuan dan minuman, tiada jawatan kuasa dan sebagainya. Tepat jam 7.20 pagi aku terus ke Anjung Mutiara. Aku agak tergamam melihat lebih 30 waris sudah berada di kawasan itu. Anak-anak didikku sudah duduk bersila mengikut barisan. Azriel, pengawas Tingkatan 2 mengingatkan adik-adik membaca sebarang nota. Tepat jam 7.30 pagi dua orang pelajar Tingkatan 4 naik ke pentas memulakan selawat dan terus dengan bacaan Ya Sin. Ustaz zaki menyempurnakannya dengan bacaan doa.



Sebaik selesai doa aku terus mencapai mikrofon. Tanpa pengacara, aku terus mengalu-alukan kehadiran waris yang sudah melebihi 50 orang. Aku perjelaskan bahawa apa yang mereka lihat pagi ini adalah senario biasa setiap hari. Mereka seterusnya dijemput berinteraksi dengan guru kelas bersama anak masing-masing di kantin. Angin pagi yang berhembus  nyaman menjadikan suasana sungguh santai dan tenang. Beberapa orang waris tampil kepadaku memberikan beberapa saranan antaranya; mengadakan kelas tusyen berbayar untuk penghuni asrama. Ada juga yang meminta sekolah meneruskan sahaja hukuman merotan.Seorang abang berkemeja T merah ranggi begitu optimis dengan disiplin yang diterapkan di sekolah ini. Seorang bapa berpakaian kemas pula  memaklumkan tentang anaknya yang kurang upaya namun begitu aktif dan ingin memasuki semua aktiviti sekolah. Namun paling aku insafi ialah ada yang begitu jujur dan berterus terang tentang kelemahan dan ketidakmampuan mereka memenuhi keperluan persekolahan anak-anak mereka. Air mata beberapa orang ibu yang ku temui pagi itu adalah pendorong untuk aku membantu mereka keluar dari kemelut dan kepompong mereka sekarang.

Bagiku SISWA 1/2011 memberi input yang sungguh bermakna untuk merangka strategi seterusnya.

Terima kasih  rakan-rakan guru.

Terima kasih para waris.
 THANK YOU BUKHARIAN.

nota: sessi bermula jam 7.30 hingga 9.30 pagi di dua tempat: Pelajar Tingkatan 1&2 di Anjung Mutiara manakala Tingkatan 3,4&5 di surau dan Dewan Iltizam.

31 January, 2011

Sekitar Aktiviti Gotong Royong bersama Bomba

Isnin, 24Jan 2011: Pelajar-pelajar 5MPV dengan penuh semangat telah berpadu tenaga dengan 4 anggota Bomba dan Penyelamat Alor Setar dalam operasi membersihkan longkang di sepanjang pagar sekolah. Misi yang diketuai oleh Cikgu Azizan telah berjaya disiapkan dalam masa 2 jam juga dengan bantuan semua pekerja syarikat pembersihan MTS. Gotong royong ini dijalankan sebagai menyahut seruan pengetua (madam) yang sentiasa mahukan kawasan sekolah bersih dan ceria, selaras dengan semangat "ownership" terhadap SMKSMAB. Walaupun cuaca agak panas tetapi semua pelajar mampu bertahan sehingga tamat. pada jam 11.30 pagi.
Puan Jaliah bt Juwani, En Azizan b. Saud bersama pelajar dan pegawai bomba yang bersedia berbakti.
Tarikkkk...(ini boleh dijadikan iklan "cap ibu dan anak"). Bagaimana pun, apa yang penting? KERJASAMA!

Ha ha..Pahlawan cangkul, Madam turut menyumbang tenaga bersama pelajar yang prihatin mengenai kebersihan persekitaran sekolah.

26 January, 2011

Perhimpunan Kokurulum kali pertama sesi 2011.

Kelihatan barisan pentadbiran SMKSMAB segak beruniform.
Selasa, 25 Januari 2011. Berlangsunglah majlis perhimpunan rasmi kokurikulum yang dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar dari pasukan unit berunifom. Perhimpuan kali pertama sesi persekolahan 2011 ini dikendalikan oleh pasukan Kadet Remaja Sekolah (KRS). Alhamdulillah, pasukan KRS berjaya melaksanakan tugasan kali ini dengan jayanya. Sudah menjadi ketetapan bagi semua sekolah bagi mengadakan perhimpuan kokurikulum pada minggu ke3 setiap bulan. Perhimpunan pagi ini berjalan lancar sekali. 

Perhimpunan dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku, Kedah Gemilang dan Lagu Sekolah “Usaha Sinar Kejayaan”. Istimewanya lagu sekolah diiringi dengan irama patriotik daripada Pasukan Tambor. Meremang bulu roma melihat kesungguhan pasukan tambor memainkan irama lagu sekolah dengan baik sekali.  Para guru dan pelajar segak berunifom mengikut unit masing-masing. Keadaan ini menimbulkan suasana keceriaan dalam disiplin yang tinggi. Syabas semua pelajar,..arahan memakai uniform dipatuhi dengan baik sekali. Tahniah.

Para pelajar SMKSMAB yang  berdisiplin tinggi...putera dan puteri pewaris Al-Bukhary.

23 January, 2011

Faizal...kau mendahului kami,..AL-Fatihah.

Salam semua warga SMKSMAB. Pagi ahad lepas, kita semua telah dikejutkan dengan berita pemergian buat selama-lamanya saudara Faizal b. Fadzil dari kelas 5 Perdagangan. Beliau telah menghembuskan nafas yang terakhir pada hari Sabtu, 22 Januari 2011 bersamaan 17 Safar 1432 Hijrah. Brliau juga selamat disemadikan pada jam 11.00 pagi  hari yang sama. Takziah diucapkan kepada keluarga beliau.

Sebenarnya umum tidak mengetahui bahawa beliau adalah pengidap leukimia dan juga dijangkiti demam denggi berdarah. Di sepanjang pergaulannya dengan guru dan rakan-rakan, Faizal merupakan seorang pelajar yang sangat berbudi bahasa dan menghormati orang lain. Raut wajahnya sentiasa mengukir senyuman. Justeru ramai yang menyangka beliau seorang yang sihat. Beliau juga merupakan pelajar yang tidak pernah menimbulkan masalah serta sangat tekun dalam pelajaran.
Beliau tidak sempat mendaftar pada sesi persekolahan 2011 kerana menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Pulau Pinang. Rupanya di saat kita semua sedang bercuti dulu, saudara Faizal sedang berjuang dengan maut. Sesungguhnya kita cuma milik Allah, tiba ketikanya, kita pasti merasai detik kematian. cuma mungkin sudah ditakdirkan saudara Faizal mendahului kita. Al-Fatihah.
Saudara Faizal, bersemadilah dengan aman, kami semua warga  SMKSMAB mendoakan kesejahteraanmu di sana.
"Ya Allah, cucurilah rahmatMu kepada saudara Faizal, tempatkan dirinya bersama roh para shuhada". Amin.


P/S : Pada perhimpunan rasmi pagi tadi (Isnin- 24 Januari), Pengetua SMKSMAB, Pn Hajah Dewi Rosnah bt Radin Suhadi telah mengumumkan jumlah kutipan kilat yang dilakukan bagi sumbangan ikhlas kepada keluarga saudara Faizal berjumlah  RM610.00. Semoga bantuan yang kita sumbangkan dapat merimgankan sedikit bebanan keluarga Faizal.
Related Posts with Thumbnails