23 December, 2010

Sejarah Anjung Al-Bukhary

Idea untuk membina ANJUNG AL~BUKHARY telah diilhamkan oleh pengetua SMK Syed Mohamed Al-Bukhary (SMKSMAB) yang ke-13, iaitu Pn. Hjh. Dewi Rosnah binti Radin Suhadi. Sebaik sahaja menerima memo pertukaran mulai 16 Januari 2010, beliau telah cuba untuk membayangkan apakah mercu tanda bagi sekolah ini. Apabila  mula bertugas secara rasmi pada 2 Februari 2010, beliau melihat pelajar-pelajar terpaksa berlari mengharungi hujan ketika dihantar dan diambil oleh para waris yang menunggu di luar pagar sekolah. Kenderaan mereka tidak boleh masuk kerana laman sekolah yang sempit. Bimbang akan keselamatan pelajar-pelajar, pengetua yang lebih mesra dipanggil “madam” lantas membawa hasrat ini ke meja perundingan bersama guru-guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kedah.
Disebabkan kegawatan, pihak JPN tidak dapat menyalurkan peruntukan kewangan tetapi bersedia memberi kerjasama dan sokongan teknikal. PIBG pula bersetuju untuk mencari dana melalui program “A Morning In Al~Bukhary” (AMONIA) yang telah diadakan pada 15 Mei 2010. Program yang bermula pada jam 7.30 pagi diisi dengan senamrobik, gotong royong kebersihan, jualan makanan dan cabutan bertuah sungguh meriah sehingga jualan kupon terpaksa diulang cetak. Kutipan kasar keseluruhan berjumlah RM 12746.00, agak jauh dari sasaran mengikut pelan asal yang telah dirancang iaitu sebanyak RM60,000.00 (termasuk dua balai menunggu di luar pagar sekolah).  Cikgu Maimunah bt Abdul Majid  berjaya menghubungi cucu Allahyarham Syed Mohamed Al-Bukhary, Pn. Hjh. Sharifah Fatimah bt. Syed Nor. Beliau yang  mewakili keluarga allahyarham amat prihatin dengan keperluan sekolah  tampil membantu. Akhirnya sejumlah RM 15200.00 telah berjaya dikumpul melalui sumbangan dari  pelbagai pihak penaja dan individu . Akhirnya, mesyuarat bersama PIBG bersetuju untuk membina anjung ini dengan rekabentuk yang diubahsuai mengikut bajet RM26 ribu. Berdasarkan beberapa sebutharga yang diterima, Syarikat Prisma telah dipilih untuk melaksanakan tugas ini dalam masa satu bulan. 


Warga sekolah begitu teruja. Namun banyak dugaan yang tiba. Tiga batang pokok “meranti laut” yang rimbun perlu dikorbankan. Dengan  penuh  rasa rendah hati “madam” mewakilkan PK HEM, Cikgu Azizan Saud untuk merayu kepada Majlis Bandaran Alor Setar (MBAS). Syukur alhamdulillah, Cikgu Azizan pulang dengan senyuman meleret kerana pihak MBAS memberi kebenaran bertulis tanpa mengenakan  sebarang bayaran gantirugi; satu amaun tiga angka yang memang tiada dalam bajet. Pada hari pokok itu ditebang, sebatang dahan telah menimpa kabel elektrik menyebabkan sebahagian kawasan kompleks pendidikan dan kampung sekitarnya tiada bekalan selama beberapa jam. Dalam keadaan kritikal itu sekali lagi “madam” menghantar wakil untuk merayu kepada pihak TNB. Niat yang murni sentiasa direstui Allah. Pihak TNB bukan sahaja datang memulihkan bekalan elektrik malah menyediakan “fork lift” dan tenaga kerja untuk memotong semua dahan yang melepasi kabel elektrik. Disebabkan gangguan ini, kerja-kerja  menebang dan mengangkut berlarutan selama tiga hari tetapi pihak kontraktor tidak mengambil sebarang kos tambahan. Satu lagi amaun tiga angka di luar jangkaan dapat diselamatkan. Terima kasih Mr. Alai yang demam  selepas itu akibat gigitan sekawan kerengga yang terganggu sarangnya.



Kerja-kerja pembinaan ANJUNG AL~BUKHARY dan LALUAN AL~BUKHARY berjalan mengikut jadual walau pun bulan puasa. Cikgu Aziz ditugaskan untuk memantau progres. Satu sepanduk diuruskan oleh PK Kokurikulum, Cikgu Fauziah Ahmad bertulis, “ANJUNG AL~BUKHARY: diusahakan bersama PIBG SMKSMAB..pelajar didahulukan, keselamatan diutamakan” menjadi tarikan semua yang lalu lalang. Ada juga yang terpanggil untuk terus menghulurkan bantuan tambahan.


Sebaik sahaja sesi sekolah bermula selepas cuti Hari Raya ia terus digunakan. Kebetulan pula pagi itu hujan lebat. Anjung tersebut boleh memuatkan tiga hingga lima kenderaan serentak bergantung kepada cara kenderaan berhenti menurunkan pelajar. Ucapan “madam” pada perhimpunan pagi itu berkisar tentang “ownership” mengajak seluruh warga Al~Bukhary menghargai kewujudan ANJUNG AL~BUKHARY yang menjadi mercu tanda sekolah. Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Tn. Hj. Asmee bin Tajuddin yang datang menjengah semasa perhimpunan dalam hujan pagi itu turut memuji kesungguhan dan kejayaan   warga sekolah membina anjung tersebut dengan usaha sendiri. 
Madam Dewi Rosnah mengiringi Pn Hajah Sharifah pada hari perasmian Anjung Al~Bukhary.

Pada 10 November 2010, ANJUNG AL~BUKHARY telah dirasmikan oleh Pn. Hjh. Sharifah Fatimah bt. Syed Nor, cucu kepada Allahyarham Syed Mohamed Al-Bukhary.Kini pelajar Al~Bukhary tidak basah kuyup lagi. Kejayaan dan "modus operandi"  ini digunakan sekali lagi untuk membina gelanggang serbaguna ARENA AL~BUKHARY sebagai projek 2011.

09 December, 2010

Agihan Kelas Pelajar Tingkatan 3 dan Tingkatan 2

Makluman:
Senarai nama pelajar tingkatan 2 dan tingkatan 3 telah dikeluarkan dan dipamerkan di sebelah bilik peperiksaan.  
Harap maklum.

10 November, 2010

Anugerah Kokurikulum

27 Oktober 2010 - Selepas majlis perasmian Anjung Al-Bukhary dan Pelancaran Dana Arena Al-Bukhary dilangsungkan dengan jayanya,...Kini tibalah masanya untuk dilangsungkan Anugerah  Kokurikulum  SMKSMAB  2010. Majlis dilangsungkan  selepas rehat, semua pelajar dan guru-guru berkumpul di Dewan Iltizam. Tujuan Majlis Kecemerlangan Kokurikulum 2010 ini ialah untuk mengiktiraf pencapaian pelajar dan guru yang cemerlang dalam bidang kokurikulum di sepanjang tahun 2010 ini. Pn Hajah Sharifah Fatimah sekali lagi meluangkan masanya untuk bersama-sama meraikan majlis ini sebagai tetamu utama.


Perasmian Anjung Al-Bukhary dan Pelancaran Dana Arena Al-Bukhary

Perasmian Anjung Al-Bukhary  dan  pelancaran Dana Arena  Al-Bukhary –  dirasmikan oleh Puan Sharifah Fatimah bt Syed Noor. iaitu waris bagi pengasas SMKSMAB.  Ketibaan tetamu jemputan disambut dengan iringan bunga manggar dan paluan kompang.  Hari ini bakal dilangsungkan satu lagi acara yang mempunyai  nilai bermakna buat semua warga Al-Bukhary iaitu Perasmian Anjung Al-Bukhary, suatu projek yang dirancang buat kemudahan semua pelajar. Projek ini berjaya dilaksanakan dengan cepat setelah dana yang terkumpul melalui Program Amonia berjaya mengumpul jumlah yang mencukupi. Kos laluan ini dianggarkan berjumlah RM 25 000 jauh lebih kecil berbanding perancangan sebelumnya. Kejayaan ini  sudah cukup untuk membuktikan semangat kekitaan yang padu dalam kalangan warga SMKSMAB. 
Ketibaan Pn Hajah Fatimah pagi ini turut membawa makna tersendiri kerana SMKSMAB bakal melancarkan satu  lagi dana yang dinamakan Dana Arena Al-Bukhary yang bertujuan mengumpul dana bagi pembinaan gelanggang serbaguna bagi tujuan semua kegunaan pelajar. Pada pagi yang cemerlang ini, setelah pelancaran  dana disempurnakan dengan jayanya oleh Pn Sharifah Fatimah,  Madam Dewi Rosnah menjadi orang pertama menderma.





Madam secara  simbolik memasukkan bermula wang siling 1 sen, 5 sen,  10 sen, 50 sen, RM 1.00. RM 10.00, RM 50.00 dan RM100.00 menjadikan tabung telah diisi dengan nilai RM 161.66 sen.  Seterusnya diikuti oleh derma oleh Pn Hajah Sharifah Fatimah serta para tetamu yang lain, serentak dengan itu juga tabung turut diedarkan kepada semua pelajar dan guru disitu. Pagi itu sahaja jumlah kutipan melebihi RM 600.00. Sememangnya bumi Al-Bukhary bumi yang bertuah.











Hujan yang turun tiba-tiba tidak menghalang acara utama pagi ini iaitu perasmian laluan Al-Bukhary, dengan berpayung dan iringan muzik dari pasukan Tambor sekolah, Pn Hajah merasmikan laluan itu dengan disaksikan oleh semua hadirin. Terima kasih Pn Hajah Fatimah. Semoga jasa anda sekeluarga berkekalan dalam memakmurkan sekolah ini dirahmati Allah. 

Jamuan Akhir Tahun 2010

Jamuan akhir tahun SMKSMAB berlangsung pada malam 26 Oktober 2010 bertempat di Hotel Seri Malaysia cawangan Alor Setar. Bermula jam 8.00 malam, guru-guru mula datang dan memenuhi ruangan jamuan. Suasana berlangsung dalam keadaan santai,  sambil menjamu selera, usik mengusik, ketawa gembira sambil saling menyapa, maklum sahaja walaupun staff berada dalam satu bumbung, namun kadang-kadang  semua orang tidak sempat bertegur sapa.  Makanan penuh meja, berusik ketawa mesra, kepuasan terlihat dilirik manja....itulah gambaran yang kelihatan dalam majlis tersebut.

Kehadiran penuh cuma beberapa orang yang uzur sahaja tidak dapat menghadirkan diri...Ustaz Zaki yang mengendalikan Majlis berlawak sepontan disusuli ketawa gembira, cikgu Shahidan penambah perisa dan diserikan oleh cikgu Pn Che Tom yang anggun lagi bergaya...
Madam Dewi Rosnah menunjukkan hadiah yang diterimanya pada malam itu, suasana riuh rendah dengan pelbagai aksi yang melucukan ketika masing-masing membuka hadiah yang ditukar-tukar,..he he memang lucu.  
Pn Che Tom yang mendapat anugerah guru yang paling anggun yang menerima hadiah penginapan di Hotel Seri Malaysia. Tahniah kak Tom,...


30 October, 2010

Menjelang SPM 2010

25 10 2010 - Perjumpaan waris para pelajar dengan guru SMKSMAB diadakan lagi – Pertemuan kali ini lebih menjurus ke arah membina persediaan mental para calon dan ibu bapa mereka menjelang SPM nanti. Program “Anakku Pintar Soleh & Bacaan Yasin SPM 2010.” ini bermula pada  jam 10.30 pagi – 2.10 petang dan  bertempat di surau SMKSMAB.


Bermula dengan pendaftaran para waris, mereka dijempput ke surau untuk mendengar taklimat terkini mengenai perkembangan anak-anak mereka, kemudian diikuti oleh solat hajat beramai-ramai bagi memperolehi keberkatan dan hidayah Allah dalam usaha memastikan anak-anak pelajar bersedia dalam peperiksaan dan mendapat ganjaran dengan memperolehi keputusan yang cemerlang.




Setiap ibu bapa pasti mengharapkan anak-anak mereka berjaya dalam setiap lapangan kehidupan, jadi calon-calon SPM SMKSMAB perlulah bersyukur kerana pihak sekolah dan ibu bapa saling berganding bahu bagi memastikan kejayaan mereka. Semoga kita sama-sama dapat menuai kejayaan nanti. Insyaallah.

Barisan kaum ibu yang turut serta dalam majlis berkenaan, semoga usaha kita bersama direstui Allah. Amin.

26 October, 2010

Persaraan 3 sahabat, SMKSMAB kehilangan...

26 10 2010 - Dewan Iltizam pagi ini menyaksikan warga sekolah meraikan Majlis Sanjungan Budi bagi mengucapkan selamat bersara kepada 3 orang pahlawan yang telah berbakti di bumi SMKSMAB selama ini. Masing-masing mempunyai peranan sendiri bagi memastikan sekolah mencapai tahap kecemerlangan. Majlis dimulakan dengan sambutan khas untuk yang diraikan ke Dewan Iltizam, bermula dari Bilik Pengetua, pelajar dan guru berbaris di sepanjang laluan ke dewan, suasana nostalgik ini pasti menjadi kenangan, iringan bunga manggar dan paluan kompang mengiringi perjalanan ini.

Ucapan dari yang diraikan, yang meninggalkan kesan di hati audien. Cikgu Nashir b. Nyak Putih - menjadi guru mungkin tidak boleh memberi kemewahan tetapi disebalik kepayahan dalam perjuangan akan dilimpahi dengan ketenangan
Cikgu Wan Ismail B. Wan Chik – Mengabadikan cinta pandang pertamanya terhadap SMKSMAB  untuk terus berbakti  di bumi Al-Bukhary hampir 31 tahun...penuh dengan kenangan yang manis sahaja kerana yang pahit telah dilontar jauh dari hati..ingin bersara dengan penuh ketenangan dan harmoni jiwa...prinsip JUJUR, RAJIN dan CERDIK diamalkan serta dijadikan wasiat buat semua pelajar.
Pn OOi Guat Kooi – Guru bahasa Inggeris yang bersahaja, sentiasa senyum dan meninggalkan kenangan kerana sering mendenda pelajar yang tidak selesai homework. 
Majlis ini dibungai oleh ucapan pantun-pantun dari guru-guru yang diraikan dan dari ucapan Tuan Pengetua sendiri, Madam Dewi Rosnah bt Raden Suhadi. Bertambah unik dan menarik bila ada pantun melayu diubah ke Bahasa Inggeris,...lucu tapi berkesan. Antara ungkapan pantun yang disampaikan oleh pengetua ialah seperti berikut, khusus buat tiga orang sahabat Bukhary.
Buah Rumia dari Rokan,
Buahnya masak berwarna merah,
Sepanjang usia sesehat badan,
Banyak jasa sudah dicurah.

Untuk cikgu Nasir:
Bintang barat terbit petang,
Bintang timur terbit pagi;
Jika tidak melarat panjang,
Ada umur bertemu lagi.

Untuk cikgu Ooi:
Buah jambu di sangka kandis,
kandis ada di dalam cawan;
Gula madu ku sangka manis,
Manis lagi senyuman puan.  (disambut dengan tepukan gemuruh untuk cikgu Ooi yg sememangnya suka tersenyum)

Untuk cikgu Wan, pantu alihbahasa "dua tiga kucing berlari...":
two three running cats,
where can I get a striped one;
two three teachers Al-Bukhary can get,
but where can we get like cikgu Wan!. ( disambut lagi tepukan "pecah dewan" oleh hadirin)

Pantun terakhir madam untuk mereka bertiga - pantun pulau pandan jauh ke tengah....:
Pandan Island beyond the waves,
hidden by the island of Two Geese;
our bones lay down the graves,
but not our good deeds.

Sebelum itu madam meminta hadirin memberi tepukan "pecah dewan" selama 30 saat untuk ketiga-tiga yang diraikan .

Selamat bersara diucapkan kepada guru-guru tersebut, diharapkan beroleh rahmat Allah dan sentiasa dalam pelioharaan Allah. datanglah menjenguk kami di sini jika berkelapangan. 

15 October, 2010

Majlis Persaraan Pengarah Pelajaran Negeri Kedah....

Bertempat di Dewan Al-Farabi pada 13 Oktober 2010, jam 8.00 malam, berlangsung satu lagi majlis yang dihadiri oleh warga Kompleks Pendidikan bagi meraikan Majlis Persaraan Pengarah Pelajaran Daerah, Tuan haji Shahidan b Abdul Rahman.
Berikut disiarkan foto-foto pada malam bersejarah ini..


Pada malam bersejarah itu juga..guru-guru SMKSMAB telah mempersembahkan satu teater klasik yang berkonsepkan sejarah. Teater yang diadaptasikan dari kisah "Sultan Mahmud Mangkat di Julang" itu mengisahkan kekejaman Sultan Mahmud  Shah yang sanggup membelah perut seorang isteri yang sarat mengandung kerana mengidamkan nangka yang telah dipersembahkan kepada baginda. Sangat mengkagumkan...ternyata guru-guru SMKSMAB semuanya berbakat, Tahniah.

Barisan pelakon teater dari kalangan guru-guru SMKSMAB...semuanya berbakat, semuanya hebat. Tahniah. Tentunya Tuan Haji Shahidan tidak dapat melupakan malam ini yang penuh gilang gemilang yang diadakan khusus untuk menghargai jasa beliau di sepanjang perkhidmatan beliau dalam bidang pendidikan.




Related Posts with Thumbnails